Ahad, 20 Disember 2009

Jangan gembar gemburkan perkara kecil

Oleh Salleh Saad

Saya hairan kenapa segolongan orang Melayu kita asyik menggembar gemburkan perkara kecil supaya menjadi besar kerana semata-mata perkara itu tercetus daripada pihak yang bukan menyebelahi kita. Contoh terakhir yang saya nampak ialah ada segolongan ahli masyarakat kita membesarkan isu `Salam 1 Malaysia'.

Apakah ia satu kesalahan yang sangat besar dari segi akidah sehingga dipertikaikan ? Jika dilihat dari segi sebutannya saya lihat lebih kurang sama sahaja dengan `salam hormat', salam perkenalan, salam muhibah dan sebagainya.

Mungkin fahaman agama saya cetek. Namun saya rasa ada lagi perkara-perkara lebih besar besar yang harus diberi perhatian sewajarnya oleh masyarakat Islam di negara ini seperti masalah perpecahan yang sedang melanda umat Islam di seluruh dunai, termasuk di negara kita.

Semua kita tahu bahawa perpecahan yang berlaku dalam mana-mana masyarakat sekalipun akan memberi ruang kepada pihak lain untuk mengambil peluang bagi kepentingan masyarakat mereka. Ini jelas seperti kata peribahasa Melayu `Bersatu teguh bercerai roboh'.

Selain itu ia juga telah menjadi fakta sejarah di seluruh dunia bahawa perpecahan yang berlaku di dalam sesebuah masyarakat itu sama sekali tidak akan menguntungkan mereka dan seterusnya generasi mereka sehingga berabad-abad lamanya.

Oleh itu, harapan kita agar lebih baiklah kita memberi perhatian lebih kepada perkara-perkara yang lebih besar yang akan memberikan kebaikan kepada bangsa dan agama kita . Sewajarnya janganlah menggembar gemburkan isu yang kecil.

Tiada ulasan: