Rabu, 10 Februari 2010

Berakhirlah sudah kemelut politik di Perak

Oleh Salleh Saad

Dengan keputusan mahkamah Persekutuan kelmarin mengenai kedudukan `muktamad' Menteri Besar Perak , hendaknya kemelut politik di Perak yang memakan masa kurang lebih setahun itu sudah berakhir. Menurut keputusan sebulat suara lima Hakim itu, Menteri Besar adalah Dr. Zambry Abdul Kadir.

Tidak kiralah siapa yang `menang' atau siapa yang `kalah'. Yang penting kemelut itu perlu diselesai dan ditamatkan. Ini kerana ia tergantung agak lama. Kesannya meletakkan minda orang ramai berteka teki siapa yang sepatutnya memerintah negeri itu.

Teka teki itu bukan sahaja di kalangan rakyat negeri Perak tetapi juga di seluruh negara. Kini teka teki itu sudah habis . Oleh itu pihak yang `menang' harus bersyukur dan teruskan usaha untuk memberikan rakyat hidup lebih selesa. Yang `kalah' pula harus terimanya dengan penuh sabar. Anggaplah ia satu takdir, yakni berlaku atas kehendak Allah jua.

Atas prinsip itu kedua-dua pihak harus bersikap tidak menyinggung pihak lain, dan harus ada pihak lain tidak berdendam terhadap pihak tertentu, sebaliknya harus berada di dalam suasana ukhuwah dan jalinan hubungan yang baik. Dengan itu diharap rahmat Allah akan mencurah dan kemakmuran harus dapat dikecapi oleh semua yang berhak.

Tiada ulasan: