Sabtu, 13 Februari 2010

Bergaul dengan orang soleh

Oleh Salleh saad

Islam bukan semat-mata agama akidah tetapi ia juga sebagai addin. Yakni menurut pandangan para ulama Islam ia mencakupi semua aspek kehidupan manusia di dunia ini. Allah jadikan manusia bukan sahaja dengan mengisikan ke dalam diri mereka organ-organ tertentu yang boleh disaksikan dengan mata kasar atau sekalipun dengan peralatan teknologi canggih.

Jauh dari itu Allah SWT ciptakan nafsu keinginan dan akal fikiran.Dengan adanya unsur-unsur itu manusia perlukan berkawan, berpakaian, berkasih sayang , berkahwin dan sebagainya selain dari makan, minum, tidur, bercakap dan lain-lain.

Namun untuk menjadikan kesemua itu berada di dalamkesempurnaan serta tidak tersasar dari syariat dan akidah Islam menggariskan peraturan-peraturan tertentu supaya tidak melampaui batas `fitrah' yang ditetapkan Tuhan.Misalnya dari segi mengambil makanan dan minuman, percakapan malah pergaulan sekalipun ada peraturan-peraturan tertentu yang mesti dipatuhi, terutama bagi mereka yang menerima Islam sebagai agamanya.

Untuk mendapatkan kebaikan dalam pergaulan lebih-lebih lagi dari segi ilmu dan akhlak yang mulia mengikut syariat Islam, agama itu menggalakkan umatnya agar sentiasa berdamping rapat dengan `orang-orang soleh'.Mereka itu adalah golongan yang sentiasa mengingati Allah dan Rasul-Nya pada setiap masa.

Justeru mereka rajin beribadat kepada Allah dan sentiasa mempamirkan akhlak yang mulia yang boleh dicontohi mengikut perspektif Islam.Dalam surah al-Kahfi, ayat 28 Allah menerangkan seperti berikut (maksudnya), " Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang yang menyeru Tuhannya di pagi hari dan senja hari dengan mengharapkan keredaan-Nya; dan janganlah kedua matamu berpaling dari mereka (kerana) mengharapkan perhiasan kehidupan di dunia ini, dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya telah Kami lalaikan dari mengingati Kami serta menurut hawa nafsunya dan mereka adalah kaum yang melampaui batas".

Begitulah Islam megatur dan mengajar umatnya dari segi pergaulan dengan orang-orang yang soleh atas dasar untuk mendapat kebaikan, ketakwaan, dan akhlak yang baik dan juga untu memperoleh tambahan ilmu pengetahuan yang boleh diamalkan di dunia ini dan sebagai bekalan ke akhirat kelak.

Dalam hal ini Nabi Musa menjadi contoh terbaik apabila baginda sanggup mengambil perjalanan yang jauh lagi meletihkan demi mendapatkan ilmu pengetahuan yang lebih dan berfaedah dengan mengikut bersama seorang hamba Allah yang soleh (Nabi Khidir) . Nabi Musa a.s. amat menghormatinya seperti digambarkan di dalam al-Quran surah al-Kahfi. Nabi Musa berkata (seperti firman Allah yang bermaksud," Musa berkata;" Bolehkah aku mengikutmu supaya kamu mengajarku mengenai ilmu yang benar di antara ilmu-ilmu yang telah diajarkan kepadamu". ( al-Kahfi: 661)Untuk berdampingan dengan orang-orang soleh sabar adalah salah satu sifat yang sangat-sangat diperlukan kerana dalam perjalanan hidup mereka banyak ranjau dan `ujian' .

Allah menguji iman seseorang melalui pelbagai ujian . Lagi tinggi kedudukan imannya lagi tinggilag unjian yang dihadapinya. Justeru kesabaran mengahdapi setiap ujian adalah nilai yang amat berharga bagi orang Mukmin. Allah SWT menyebutnya di dalam al-Quran," Wahai orang-orang yang beriman mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah tuhan) dengan bersabar dan dengan mengerjakan (sembahyang), kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar." (al-Baqarah, 153.

Kesimpulannya sebagai orang Islam dan demi mendapatkan ilmu pengetahuan mengenai syariat , amal ibadat dengan sempurna serta bekalan untuk hari akhirat , kita seharusnya memilih orang-orang yang soleh sebagi salah satu kumpulan rakan . Dengan harapan agar kita memperoleh kebaikan di dunia dan akhirat.

Wallahu a'lam.

Tiada ulasan: