Selasa, 2 Februari 2010

Elak kemalangan eskalator

Oleh Salleh Saad

Insiden kanak-kanak tersangkut eskalator di sebuah pasar raya di Petaling Jaya baru-baru ini patut dijadikan pengajaran kepada semua pihak . Kejadian itu memang jarang berlaku, namun ia tidak boleh dilihat sebagai kejadian terpencil kerana ia melibatkan kanak-kanak.

Kita cukup bersimpati dengan kanak-kanak yang terlibat dengan kejadian seperti ini, sebab mereka bukan golongan selayaknya untuk memikirkan tentang kemungkinan risiko daripada sesuatu kejadian, maka orang dewasalah yang mesti mengambil tanggungjawab.

Saya lihat terdapat beberapa pihak yang harus memberi perhatian kepada kejadian seperti ini. Mereka adalah ibu bapa atau waris atau sesiapa orang dewasa yang membawa kanak-kanak ke tempat-tempat sedemikan rupa, pihak pengurusan pasar raya atau agensi kerajaan yang bertanggungjawab dengan keselamatan bangunan.

Kanak-kanak terjatuh atau tersangkut eskalator di pasar raya bukan kejadian pertama kali. Tetapi sudah beberapa kali, walau pun tidak begitu kerap. Dua tiga tahun lalu kejadian sama dilaporkan berlaku di Alor Setar. Oleh itu langkah yang paling baik saya fikir ialah semua pihak harus mengambil langkah sewajar bagi mengelak kejadian seumpama ini berulang.

Pihak pengurusan pasar raya misalnya , patut sediakan papan tanda amaran di setiap tingkat yang ada eskalator tentang kemungkinan kemlangan melibatkan kana-kanak. Ini supaya ibu bapa atau siapa juga yang membawa kanak-kanak menghampiri atau mengguna eskalator.

Selain itu , pihak yang perlu beri lebih perhatian dan berwaspada terhadap perkara ini ialah waris atau ibu bapa yang membawa bersama mereka kanak-kanak. Mereka tidak sepatutnya leka kerana teroja dengan barangan yang hendak dibeli hingga terlupa dengan kanak-kanak yang dibawa bersama.

Menuding jari kepada orang lain sepatutnya tidak dijadikan budaya di dalam menghadapi apa-apa kejadian tidak diingini. Mengambil langkah berhatihati saya rasa adalah lebih baik dan berkesan . Bak kata pepatah Melayu ," Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada guna".

Tiada ulasan: