Sabtu, 27 Februari 2010

Fahami dulu perkahwinan mengikut syarak, elakkan perceraian

Pemahaman secara umum dari sudut pandang agama Islam perkahwinan adalah satu ibadah, justeru ia mesti berlandaskan tuntutan agama , bukan budaya atau adat.

Sehubungan itu perkahwinan tidak boleh dilihat semata-mata dari sudut budaya, adat resam, biologi, psykologi, emosi dan sebagainya. Ia bukan sekadar memenuhi tuntutan nafsu tetapi tuntutan agama sekali gus.

Oleh itu, banyak perkara dan peraturan yang mesti dipatuhi oleh setiap insan Muslim dan Muslimah apabila timbul keinginan untuk berkahwin.

Ia merangkumi dari segi proses, kaedah pelaksanaan, pengurusan, pengisian ketika sudah berkahwin seperti hubungan anatar suami isteri, pergaulan antara keduanya sehingga ke peringkat perceraiannya sekalipun mesti berlandaskan syiarat atau pertauran agama (Islam).

Sama ada perkahwinan sesama keturunan, kaum, bangsa, atau bukan ia hanya tertakluk dengan satu jenis peraturan sahaja iaitu syariat. Jika dicampur aduk dengan `kehendak' selain dari syariat seperti budaya, bangsa , status sosial, kategori sosial tertentu dan sebagainmya ia akan timbul masalah.

Sebab itu sesetengah pihak suka mengaitkan dengan `takdir' apabila ada tanda-tanda akan berlaku perceraian. Kenapa ambil jalan mudah ? Memang segala-galanya atas ketentuan Allah, namun kita dibekal dengan peraturan agama untuk dikuti , justeru kita hendaklah sandarkan tindakan itu dengan hukum yang ditetapkan.

Untuk tujuan itu kita kenalah mempelajari selok belok perkahwinan itu dari kaca mata agama terlebih dulu sebelum mengambil keputuasan untuk berkahwin atau bercerai. Jika tidak sesuatu perkahwinan itu akan berhadapan dengan perceraian mudah, sedangkan syariat tidak membuka ruang penceraian dengan sebegitu mudah.

Tidak timbul sama ada kahwin campur atau tidak . Yang penting mesti mempelajari dan memahami dulu kehendak syiarat mengenai perkahwinan dan perceraian. Perceraian boleh berlaku dengan mudah apabila suami isteri tidak memahami pertauran agama.

Suami isteri mesti tahu kedudukan masing-masing mengikut kehendak agama dan mesti juga tahu mengurus perasaan, tingkah laku, tutur kata, hubungan, gurau senda dan sebagainya di dalam rumah tangga mengikut peraturan syarak.

Turut harus memahami kehendak agama tentang perkahwinan adalah ibu bapa sendiri. Ini kerana Islam telah menetapkan cara tertentu untuk kedua-dua ibu bapa `masuk campur' dalam hal ehwal rumah tangga anak menantunya, bukan dengan sewenang-wenangnya atau dengan cara selain syariat seperti emosi dan sebagainya .

Sekiranya ini dapat dilakukan saya percaya angka perceraian tidak akan meningkat dengan mudah, tak kiralah dengan siapa yang dikahwini.

Tiada ulasan: