Isnin, 1 Mac 2010

Hidupkan semula budaya nasihat menasihati bagi membendung kemungkaran berleluasa

Oleh Salleh Saad

Kemungkaran boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Ia tidak memilih bulu. Siapa yang lemah jati diri kegamaannya kumngkaran akan datang melingkari diri dan hidupnya. Oleh itu jangan biarkan kemungkaran atau aktiviti kemungkaran melingkari kehidupan kita begitu lama kerana nanti akan menerima padahnya yang amat dahsyat daripada Allah SWT.

Kadang-kadang boleh jadi seseorang itu terleka dengan keseronokan kemungkaran itu sehingga terlupa siapa kita dan siapa di sekeliling kita dan siapa yang sedang memelihat pergerakan kita. Tetapi ini biasalah kerana manusia biasa.

Namun sebagai orang Melayu dan Muslim, kita ada banyak jalan keluar untuk membawa kita keluar dari lingkaran bahaya itu. Orang-orang di sekliling kita seperti ahli keluarga terdekat, rakan-akan sekerja, sahabat-sahabat, jiran-jiran tetangga dan beberapa pihak lain lagi boleh membantu kita.

Pun begitu pada mereka ada kekangan tertentu. Kekangan itu sebahagiannya adalah dari sikap kita sendiri yang mungkin disemai sejak lama menerusi proses pembudayaan dan sebagainya. Malah ia mungkin ada kaitan dengan sikap masyarakat yang sekarang ini sudah menjadi amalan hidup iaitu `tidak perlu ambil tahu hal orang lain'. Ini berikutan kesan yang akan diterima daripadanya tidak kurang juga hebatnya.

Ini semua adalah satu kepincangan sosial yang dilihat semakin hari semakin tenat. Ubat yang paling mujarab untuk menghadapi kepincangan ini ialah keperluan kepada menghidup semula budaya tegur menegur dan nasihat menasihati antara satu sama lain bagi membendung kemungkaran berleluasa dan mewujudkan kebaikan. Lagi pun `budaya' ini disuruh oleh agama kita.

Kerajaan boleh memulakannya dan harus menerajuinya sepanjang waktu, terutama menerusi kementerian yang bertanggungjawab dalam hal ehwal kebudayaan dan komunikasi. Kempen menghidup semula budaya lama yang malar faedah untuk semua itu perlu diwar-warkan dan dibesar-besarkan. Biarlah ia menjadi daging dan darah kepada generasi semasa.

Selain itu, kita sendiri yang terlibat secara langsung dengan kemungkaran yang sama ada disengajai atau tidak disengajai harus bersikap terbuka bagi menerima cara hidup begini agar segala kemungkaran yang melingkari hidup kita dapat dibendung. Segeralah memohon ampun kepada Allah dan bertekad untuk tidak mengulanginya lagi. Ingatlah ! Allah itu maha pengampun dan tiada yang boleh mengampun dari segala kemungkaran (fahisyah) melainkan Allah jua.

Tiada ulasan: