Sabtu, 13 Februari 2010

Jadikan bencana untuk bermuhasabah

oleh Salleh Saad

Hari kiamat bermaksud anatara lainnya ialah hari yang dibangkitkan. Ia merujuk kepada `peristiwa besar' yang pasti akan berlaku sebagai penyudah kepada kewujudan alam dunia ini. Menurut Islam peristiwa itu berlaku mengikut proses insiden-insiden tertentu dari masa kemasa mengikut ketentuan Allah - Tuhan Yang Maha Berkuasa.Setiap orang Islam wajib percayainya tanpa banyak helah lagi.


Ini kerana ia adalah juga sebahagian dari cabang akidah Islam.Menurut Islam ia pasti akan berlaku. Cuma tarikh sebenar berlakunya sahaja yang tidak diketahui oleh sesiapapun , kerana Allah tidak memberitahu sesiapapun hatta Rasul-Nya, Nabi Muhammad SAW sekalipun.

Walaupun begitu baginda Rasulullah SAW telah menerangkan menerusi hadis-hadisnya akan petanda-petanda tertentu yang berkaitan dengan peristiwa hari kiamat itu untuk menjadi pengajaran serta peringatan kepada umatnya .Antaranya hadis dari Abu Hurairah r.a. yang menyebut Nabi Muhammad SAW bersabda (maksudnya) , " Tiada berlaku hari kiamat itu hingga diambil ilmu pengetahuan dan banyak berlakunya gempa bumi, dan masa menjadi amat pantas, dan timbul banyak fitnah dan kacau bilau - pembunuhan dan peperanganm - hingga banyaklah pada kamu harta benda yang melimpah ruah".

Keterangan

Pada hadis tersebut baginda Rasulullah SAW menerangkan tanda-tanda hari kiamat. Baginda menjelaskan hari kiamat itu tidak akan berlaku sehinggalah wujudnya perkara-perkara berikut:

1. Terhapusnya ilmu pengetahuan (agama) iaitu dengan matinya ulama-ulama yang ikhlas, dan banyaknya orang-orang bodoh dilantik menjadi ketua.

2. Banyak terjadinya gerak gempa di sana sini hingga meranap sama sekali bangunan dan sebagainya.

3. Masa menjadi semakin suntuk dan pantas sehingga setahun dirasakan seperti sebulan, sebulan seperti seminggu dan begitulah seterusnya. Dalam hal ini ada sesetengah ulama mengatakan maksud `kesuntukan masa' itu ialah sebagai persamaan berlakunya banyak `kejahatan' dari `kebaikan'.

4. Banyaknya berlaku fitnah serta bala bencana di seluruh pelusuk dunia.5. Banyak berlaku hura hara yang membawa kepada permusuhan, bunuh membunuh dan peperangan di sana sini di antara satu sama lain. Ada pula sesetengah pihak mengambil kesempatan mengumpul harta benda sehingga melimpah ruah.

Pengajaran

Berpandu kepada hadis di atas kita boleh melihat apa yang sedang berlaku di dalam kehidupan dan persekitaran kita pada masa ini. Semoga ia kita dapat dijadikan sebagai satu peringatan serta pengajaran untuk kita memperbaiki dan bermuhasabah diri sendiri dan keluarga serta memohon doa agar sentiasa mendapat hidayah-Nya. Wallahu a'lam.

Tiada ulasan: