Isnin, 1 Mac 2010

Jangan ganggu suasana perkelahan dengan ceramah

Oleh Salleh Saad

Menjadikan kawasan air terjun di kaki gunung dan di pinggir hutan sebagai tempat berkelah memang patut dipuji. Ini kerana ia dapat memenuhi tujuan perkelahan itu sendiri iaitu untuk berehat-rehat dan bersantai. Lebih-lebih lagi dengan seisi keluarga.

Namun apabila di tempat-tempat begitu digunakan juga untuk tujuan mengadakan kursus-kursus tertentu seperti kursus politik ia dilihat kurang sesuai, terutama jika menggunakan pembesar suara untuk berceramah. Ini kerana yang berceramah itu bisanya orang politik. Orang politik bila berceramah biasanya menghentam pihak lawan, khususnya antara orang Melayu dari satu parti politik tertentu dengan orang Melayu di pihak parti politik lain.

Biasanya yang menjadi mangsa `hentaman' itu adalah pemimpin parti. Apabila ini berlaku di tempat-tempat perkelahan yang nyaman, aman damai, di pinggir hutan, dengan desiran air terjun ia tidak begitu sesuai. Segala-galanya itu akan hilang dek bunyinya pembesar suara dengan sekali sekala mengeluarkan nada marah, kutuk, dan macam-macam lagi.

Pengalaman saya bersama ahli keluarga dan cucu-cucu ketika berkelah di sebuah tempat perkelahan hutan lipur di selatan negeri Kedah pada 27 Februari kelmarin agak terganggu dengan bunyi suara ceramah seperti itu.

Mana-mana pihak yang hendak memilih tempat-tempat perkelahan sebagai tempat mengadakan kursus seumpama itu , saya fikir adalah lebih baik jika dibuat dalam dewan tertutup. Bagi peluang orang-orang lain yang tak berkenaan yang datang dengan niat semata-mata untuk berehat bersama keluarga dapat menikmati niat itu dengan sempurna.

Pihak yang berwajib dengan pelacongan dan penyediaan tempat-tempat seumpama itu patut sediakan dewan sesuai bagi tujuan majlis ceramah, misalnya berdinding dan tidak terbuka sehingga suara penceramah boleh didengari hingga lebih 100 meter.

Tiada ulasan: