Jumaat, 5 Februari 2010

Keselamatan jalan raya tanggungjawab bersama

Oleh Salleh Saad

Plus Expressway (Plus) menganggarkan lebih kurang 1.3 juta kenderaan akan mengguna laluan lebuh raya itu setiap hari pada musim perayaan tahun baru Cina mulai 12 Februari minggu depan.

Berikutan itu mereka menyusun beberapa strategi bagi melicin perjalanan, termasuk menyusun jadual waktu sepatutnya pergerakan lalu lintas antara Kuala Lumpur ke arah utara dan selatan semenanjung dan sebaliknya.

Polis Di Raja Malaysia (PDRM) pula mengumumkan akan mengguna kira-kira 5,000 pegawai dan anggotanya bagi mengawasi dan memantau kelicinan pergerakan lalu lintas dan juga keselamatan jalan raya di dalam operasi `ops sikap ke 21. Ini tidak termasuk beberapa lagi agensi kerajaan yang berkaitan jalan raya dan kenderaan.

Pendek kata pihak berkuasa dan pihak bertanggungjawab mengenai jalan raya dan kenderaan telah bersiap sedia sejak awal-awal lagi bagi menghadapi `pesta' kenderaan di jalan raya dan lebuh raya pada musim perayaan nanti.

Kini hanya giliran pihak pengguna pula yang perlu membuat pendirian tertentu atau membentuk sikap sesuai dengan kesesakan yang dijangka berlaku di atas jalan raya dan lebuh raya itu.

Sikap biasa sebelum ini seperti ditunjukkan sesetangah pihak pengguna dengan tidak menghormati pengguna lain, memandu laju, tidak mematuhi sistem lampu isyarat, memotong ikut rasa dan beberapa lagi sikap negatif perlu diubah segera atau paling tidak, ada keazaman untuk mengubahnya.

Sekiranya kita tergolong di dalam pihak berjumlah 1.3 juta itu pula , marilah sama-sama kita tanamkan perasaan cintakan diri orang lain sama seperti kita cintakan diri kita sendiri dan hargai hak orang lain sama seperti kita hargai hak kita sendiri dan begitulah selanjutnya.

Pada pandangan saya jika ini dapat dipraktikkan secara bersama insya Allah kita akan dapat sama-sama menghindar perkara-perkara yang tidak diingini berlaku seperti kemalangan - kecil atau besar- yang mana akan menyusahkan kita kemudiannya.

Di samping itu, mari kita sama-sama mendoakan agar kita dan semua rakan kita yang sama-sama mengambil perjalanan yang sama berada di dalam keadaan selamat dari mula bertolak ke destinasi sehingga sampai ke destinasi yang dituju. Keselamatan jalan raya tanggungjawab bersama.

Tiada ulasan: