Sabtu, 13 Februari 2010

Marilah berdoa memohon kebaikan bersama

oleh Salleh Saad

Assalamu alaikum warahmatullah....Tajuk berita sebuah akhbar baru-baru ini berbunyi: Gempa bumi: Malaysia tidak terkecuali agak menarik perhatian. Saya tertarik dengan tajuk itu kerana bukan dilihat dari sudut geografi, geologi atau kejuruteraan bangunan tetapi juga dari sudut agama, terutama bagi umat Islam.Bagi saya , saya akan melihatnya dari sudut agama . Ini pun bukanlah bermakna saya alim sangat dalam selok belok agama, namun saya fikir ia juga ada relevansinya .

Berdasarkan kepada hadis-hadis Nabi SAW gempa bumi merupakan salah satu daripada tanda-tanda akan tibanya hari kiamat. Ertinya jarak masa untuk ketibaan hari kiamat itu adalah `amat dekat'. Bagi umat Islam ia sangat menggerunkan.Apa yang dikhuatiri sangat dengan ketibaan hari kiamat itu ?

Bagi orang-orang Islam mempercayai berlakunya hari kiamat itu adalah `wajib' kerana ia melibatkan akidah, iaitu keyakinan terhadap kekuasaan Allah untuk menjadikan sesuatu.Sesuatu yang melibatkan akidah mesti diberi perhatian serius kerana ia asas kepada segala ibadat yang lain seperti solat, puasa, zakat, sedekah dan sebaganya .

Makna hari kiamat itu sendiri dari segi ajaran Islam ialah merupakan `hari terakhir' bagi kehidupan di dunia ini. Ia akan muncul pula `alam' lain yang dinamakan hari akhirat. Pada ketika berlaku hari kiamat itu `pintu taubat' ditutup.Apa kesannya apabila pintu taubat ditutup.

Kesannya kepada orang Islam ialah segala permohonan untuk bertaubat atau memohon ampun daripada Allah SWT terhadap segala kesalahan yang dilakukan semasa menjalani kehidupan di dunia ini tidak diterima lagi oleh Allah SWT.Pada hal tiada siapa pun sebagai manusia biasa tidak melakukan kesalahan atau dosa lantaran `melanggar perintah Allah' atau pertaturan-peraturan yang ditetapkan oleh agama (Islam).

Justeru umat Islam digalakkan agar sentiasa memohon keampunan daripada Allah SWT atau dengan bahasa popular disebut `beristighfar' kepada Allah .Maka dalam hal ini penyediaan kepada berlakunya hari kiamat itu bagi orang Islam ialah dengan mengambil sikap lebih berhati-hati di dalam menjalani kehidupan di dunia ini , baik dari segi akidah mahupun dari segi yang melibatkan hukum-hukum syarak.Lebih lagi ketika keadaan kehidupan di dunia semakin mencabar seperti sekarang.

Ini tidak dapat dinafikan. Apatah lagi dengan berlakunya perkembangan teknologi moden dari segi komunikasi dan lain-lain .Akibat suasana yang sedemikian rupa tidak dapat tidak keimanan umat Islam juga turut tercabar.

Oleh itu dalam semua perkara umat Islam terpaksa menghadapinya dengan berhati-hati serta bijaksana.Saya rasa tidak keterlaluan dalam tulisan ini sekiranya saya memperingatkan diri saya sendiri dan sesiapa juga dari kalangan umat Islam agar kita melihat gempa bumi dan lain-lain `malapetkata' yang kerap sangat berlaku di dunia sekarang ini sebagai sesuatu yang dijadikan asas bagi kita untuk menambahbaikan lagi hubungan kita dengan Allah Azzawajalla. Marilah sama-sama kita memohon agar kita serta negara kita terselamat daripada segala malapetaka termasuk juga gempa bumi. Wallahu a'lam.

Tiada ulasan: