Selasa, 9 Februari 2010

Nostalgia usung rumah & bubur kacang

Oleh Salleh Saad


Melihat gambar gotong royong usung rumah di muka depan Utusan malaysia, 8 Februari 2010 oleh penduduk-penduduk kampung Wang Belimbing, Kangar Perlis teringat saya semasa remaja dahulu sewaktu tinggal di kampung, pada sekitar tahun-tahun 1960-an , turut mengambil bahagian dalam gotong royong usung rumah yang sering diadakan di kampung saya - sebuah perkampungan sawah padi di desa negeri Kedah.

Amalan itu diwarisi sejak berpuluh-puluh tahun sebelumnya dan berpanjangan sehingga tahun-tahun 1970-an. Ini kerana sejak tahun 1970-an dan hingga sekarang rumah-rumah di kampung saya yang terdiri dari rumah-rumah papan yang dulunya selapis'(setingkat) sahaja telah bertukar menjadi dua tingkat.

Rumah yang boleh diusung adalah yang berbentuk setingkat dan seratus peratus dibuat sama ada dari buluh atau kayu (papan). Sebahagian cirinya tiang itu mesti ada kaki yang diletak di atas pelapik simen atau kayu. Jarak antara lantai dan tanah biasanya melebihi satu meter. Di kaki tiang inilah buluh diikat untuk diusung (pikul).

Namun sekarang ciri-ciri seperti itu sudah tiada lagi. Ciri popular rumah-rumah kampung sekarang adalah lantai di atas tanah dan separuh bersimen di bahagian bawah dan separuh lagi papan di sebelah atas. Ciri-ciri seperti ini tidak boleh diusung kerana tiada ruang untuk diletak buluh sebagai alas usungan.

Istimewanya sewaktu gotong royong usung rumah yang diadakan di kampung saya waktu itu adalah dengan menghidangkan bubur kacang kepada yang mengambil bahagian , sekali sekala ada juga dihidangkan bihun. Ini pun dilakukan dengan gotong royong juga.

Begitulah meriahnya suasana di kampung tradisi Melayu pada zaman itu. namun suasana seperti itu saya dapati kini tiada lagi. Bahkan gotong royong memasak untuk kenduri kahwin pun sesetengahnya sudah tiada lagi, kerana mereka menggunakan masakan cara `kontrak' oleh pembekal tertentu.

Beginilah kesan kemajuan pesat serta pemodenan dan budaya dan masyarakat. Ciri-ciri kekampungan dan kedesaan dilihat semakin hari semakin pupus. Di perkampungan tradisi juga kini bukan lagi dihuni oleh seratus peratus masyarakat petani yang mengerja sawah dan sebagainya tetapi adalah juga terdiri dari pegawai-pegawai kerajaan, malah yang bersara pun ada yang balik bermastautin di kampung.

Oleh itu, gotong royong usung rumah, pesta makan bubur kacang dan sebagainya semuanya sudah menjadi nostalgia sahaja kerana ciri-ciri itu begitu pantas berlalu, kecuali segelintir lagi yang masih mengekekalkannya. Elok sangatlah inisaitif negeri Perlis mempropmosinya sekarang, sekurang-kurangnya dapat dilihat oleh generasi baru.

Tiada ulasan: