Khamis, 4 Februari 2010

Penyelarasan gaji polis memang wajar

Oleh Salleh Saad

Tahniah kepada pasukan polis kerana mendapat penyelarasan gaji baru. Pada pandangan saya kerajaan telah mengambil langkah yang amat tepat dengan membuat penyelarasan gaji untuk pasukan polis. Langkah itu memang wajar.

Ini kerana berdasarkan tanggungjawab serta kerja yang dijalankan oleh pasukan itu amat berat dan ada kala berhadapn dengan risiko bersabung nyawa.

Peningkatan kegiatan penjenayahan yang pelbagai lagi kompleks di negara kita sekarang memerlukan komitmen yang amat tinggi dari pasukan keselamatan negara, terutama polis.

Mereka bukan bekerja lapan jam sehari seperti kebanyakan sektor lain tetapi lebih daripada itu. Juga mereka bukan sahaja berada di dalam pejabat berhawa dingin tetapi di merata ceruk dan pelusuk negara. Segala-galanya disebabkan demi untuk menjaga keselamatan negara dan ketenteraman rakyat.

Justeru penyelarasan serta kenaikan gaji yang diberikan untuk mereka itu adalah satu-satunya penghargaan kerajaan kepada mereka. Namun rakyat juga perlu ada perasaan penghargaan terhadap mereka .

Jasa mereka menjaga kepentingan orang ramai tidak boleh dipandang kecil. Keselamatan adalah satu nikmat yang amat besar bagi kehidupan manusia, tanpa keselamatan dan ketenteraman manusia tidak dapat memenuhi keperluan hidupnya.

Saya bersimpati dengan kerja-kerja polis. Merekalah yang mengawal lalu lintas di jalan raya dan dalam bandar, merekalah yang menjaga perairan negara dari ancaman segala bentuk pelanunan dan penyeludupan, merekalah yang menjaga kawasan-kawasan kediaman di bandar raya, bandar dan luar bandar daripada ancaman segala bentuk penjenayahan.

Oleh itu, penyelarasan gaji yang diberikan itu diharap akan menggembirakan mereka dan keluarga mereka yang sentiasa berkorban untuk mereka . Orang ramai juga diharap harus turut menyambut baik langkah kerajaan itu.

Tiada ulasan: