Khamis, 18 Februari 2010

Perihal lambakan pendatang asing

Secara umumnya kita ketahui mengenai kewujudan pendatang asing di negara kita kerana beberapa sebab; antaranya sebab keperluan di sektor industri, sektor perkhidmatan, sektor perladangan, galakan pelacongan dan galakan pendidikan. Terdapat dua jenis utama keberadaan mereka, iaitu secara sah dan tidak sah.

Sebenarnya tidak menjadi kesalahan `mengundang' mereka datang ke negara kita bagi tujuan seperti tersebut di atas, cumanya ia pelu dikawal dengan ketat dan tegas. Lebih penting lagi hadkan dengan tegas jumlah yang diperlukan. Dasar kita haruslah jelas bahawa keperluan kita kepada mereka hanya sebagai `pelakon pembantu' bukan `pelakon utama'.

Pelakon utama mesti rakyat kita sendiri. Ia membabitkan semua sektor, kecuali pelancongan sahaja. Dengan dasar yang jelas lagi tegas itu saya yakin fenomena lambakan itu tidak akan berlaku.

Berdasarkan prinsip tersebut, pada pandangan saya negara kita perlu tetapkan peratus keperluan orang asing di semua sektor, termasuk pendidikan. Pastikan semua pengusaha sektor perindustrian, perladangan, pembinaan, institusi pendidikan swata dan lain-lain benar-benar ikut dasar yang ditetapkan kerajaan .

Bagi sektor-sektor tertentu alasan klasik yang sering kita dengar untuk menjustifikasikan pengambilan orang asing ialah `rakyat tempatan minta gaji tinggi'. Usaha mesti dicari bagi mengikis alasan seperti ini.

Saya rasa tidak salah kalau bagi gaji tinggi sedikit kepada rakyat tempatan kerana kerajaan boleh ambil cukai daripada pendapatan mereka serta lain-lain cukai.
Sedangkan orang asing pendapatan yang diperolehi dihantar balik ke negara asal mereka. Tidak banyak cukai yang negara boleh dapat dari mereka.

Selain itu beberapa dasar mengenai kepelacongan juga pelu diteliti semula seperti dasar visa waktu ketibaan (VOA). Dasar yang longgar juga menjadi penyebab kepada lambakan pendatang asing.

Saya fikir cara ini boleh menghadkan kebanjiran pekerja asing yang melebihi dari sepatutnya sehingga merisaukan banyak pihak. Memang kedatangan warga asing membantu pertumbuhan ekonomi negara tetapi kalau hingga sampai memberi kesan negatif kepada negara pun tidak berbaloi juga.

Tiada ulasan: