Isnin, 15 Februari 2010

Hidup di dunia perlu berbakti

Oleh Salleh Saad

Secara umum semasa hidup, yakni sebelum mati setiap manusia memerlukan berbagai keperluan asas seperti makan, minum, tidur, bersosial, beragama, berkahwin, berkeluarga, tempat kediaman, ilmu pengetahuan dan sebagainya.Sebagai seorang Muslim dan Mukmin pula mereka wajib mempercayai (beriman) bahawa hidup mereka akan menempuhi sekurang-kurangnya empat `alam' iaitu alam rahim, alam dunia, alam barzakh (kubur) dan alam akhirat.

Jelas di sini bahawa sebelum mati mereka akan berada di alam rahim terlebih dahulu . Alam ini bermaksud mereka berada di dalam kandungan ibu mereka, biasanya sembilan bulan. Setelah itu mereka pun dilahirkan.

Setelah dilahirkan mereka terus hidup di alam dunia. Semasa di alam dunia inilah mereka secara sedar atau tidak sedar akan mengalami dan memikul berbagai tanggungjawab demi mengisi keperluan asas tadi.

Bagi orang Islam antara perkara yang wajib mereka lakukan semasa hidup di dunia ini ialah berbakti kepada Tuhan mereka, iaitu Allah SWT, dengan mematuhi segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya.

Selain dari berbakti atau mengabdikan diri kepada Tuhan mereka juga mesti berbakti kepada kedua-dua ibu bapa mereka yang memelihara mereka sejak dari alam rahim sehingga mereka membesar dan dewasa di alam dunia ini, di samping itu mereka juga disuruh berbakti kepada bangsa dan negara .

Mengikut syariat Islam , mereka wajib mendirikan solat sehari semalam lima kali, membayar zakat jika cukup nisab serta haulnya, beramal soleh, memelihara perhubungan (silatur rahim) sesama ahli keluarga, saudara mara, jiran tetangga dan sebagainya.

Dengan lain-lain perkataan perjalanan hidup seseorang sebelum mati adalah terlalu banyak yang harus dilakukan baik untuk diri sendiri, keluarga, agama, negara dan sebagainya.

Bagi seorang Muslim selain dari tanggung untuk alam dunia mereka wajib membekalkan diri mereka dengan bekalan untuk alam-alam lain seperti alam barzakh dan alam akhirat. Maksud bekalan di sini ialah iman,amal soleh, hubungan silaturrahim, dan lain-lain amalan yang dibernarkan syariat.

Oleh itu , sebagai seorang Muslim marilah kita sama-sama bermuhasabah diri sejauh mana kita dapat melakukannya mengikut keupayaan kita . Di samping itu kita perlu juga menyediakan seberapa banyak bekalan untuk hidup bahagia di dua lagi alam - alam kubur dan alam akhirat. Wallahu a'lam.

Tiada ulasan: