Ahad, 21 Februari 2010

Selaras cuti bersalin di antara sektor awam dan swasta

Melihat kepada keperluan mendapat rehat yang cukup untuk seorang wanita yang bersalin di samping keperluan masa yang menasabah untuk seorang ibu yang baru bersalin menyusui bayinya , saya bersetuju dengan pandangan bahawa ada keperluan bagi kerajaan meminda peraturan bagi membolehkan `cuti bersalin' dipanjangkan dari 60hari seperti yang ada sekarang kepada 90 hari seperti yang diminta oleh sesetengah pihak dan kesatuan sekerja.

Ia juga dilihat harus ada penyelarasan di antara sektor awam dan swasta. Ini bermakna hak mendapat cuti bersalin selama 90 hari itu bagi seseorang wanita yang bersalin itu ada di kedua-dua sektor -awam dan swasta.

Maka jika untuk pekerja di sektor awam peraturan yang berkaitan dengannya terdapat di bawah peraturan tertentu `Perintah Am' , pekerja di sektor swasta pula tertakluk di bawah peraturan di bawah Akta Pekerjaan 1955. Justeru kedua-dua `undang-undang' berkaitan harap dapat perhatian kerajaan untuk dipertimbangkan pindaannya.

Pada saya ini adalah salah satu langkah yang mencerminkan kerajaan `mesra rakyat' serta bertepatan dengan slogan`rakyat didahulukan'. Rasanya ia tidak menjejaskan produktiviti baik di sektor awam mahupun di sektor swasta. Kerana tempoh 90 hari merupakan `tempoh pemulihan' yang cukup bagi mereka terbabit mengumpul semula tenaga yang susut.

Lagi pun difahamkan sebahagian negara-negara ASEAN telah pun melaksanakannya sebagai langkah `menerima pakai Konvensyen 183 Pertubuhan Buruh Antarabangsa mengenai Perlindungan Bersalin yang menetapkan tempoh cuti bersalin lebih panjang serta peyusuan ibu dan penjagaan anak.

2 ulasan:

The Spiral Eyes berkata...

saya sokong pandangan tuan haji itu

Pandangan Orang Kampung berkata...

Terima kasih