Isnin, 15 Februari 2010

Seorang suami yang baik

Oleh Salleh Saad


Dalam agama Islam suami adalah ketua rumah tangga . Oleh kerana itu suami diberikan tanggungjawab yang amat berat untuk menguruskan rumahtangganya. Ia bukan sahaja dari segi memberi makan minum bahkan termasuk pergaulan dengan mereka. Berasaskan tugas tersebut seorang suami wajar memiliki ciri-ciri kepimpinan yang baik agar semua ahli keluarganya dapat bernaung dengan selamat serta selesa.

Antara ciri-ciri penting itu ialah sikap amanah serta tanggungjawab terhadap isteri dan anak-anak. Memberi perhatian dan kasih sayang sepenuhnya kepada mereka . Memberikan mereka pendidikan dan pengetahuan agama serta memberikan mereka pendidikan akhlak yang baik dan sebagainya.

Allah SWT menyuruh suami bersikap baik terhadap isterinya. Firman-Nya yang bermaksud," dan bergaullah kamu (suami) dengan mereka (isteri) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu merasa benci kepada mereka disebabkan tingkah laku mereka , janganlah terburu-buru mencerai mereka kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu sedangkan Allah jadikan pada apa yang kamu bencikan itu kebajikan yang banyak (untuk kamu).

Terdapat riwayat yang menyebutkan Sayedina Umar Al-Khattab pernah dileteri oleh isterinya , Umi Khalthoum, lalu Sayedina Umar berkata," Kami telah memaafkannya kerana beberapa hak yang harus aku tanggung . Pertama, kerana dia menjadi dinding bagiku daripada api neraka , sehingga hatiku tenang dan jauh dari api neraka ; kedua dia menjaga rumahku dan hartaku ketika aku keluar. Ketiga dia menjadi tukang cuci pakaianku; keempat dia menjadi ibu kepada anak-anakku , dan kelima dia adalah tukang masak makananku.

Begitulah serba ringkas gambaran ciri-ciri seorang suami yang baik dan tanggungjawabnya terhadap ahli keluarganya selaku ketua dan pemimpin dalam institusi rumah tangga mengikut pandangan Islam. Sekian, wassalamu alaikum; wallahu a'lam.

Tiada ulasan: