Sabtu, 13 Februari 2010

Sokong cadangan pindaan peraturan pilihan raya

Oleh Salleh Saad

Setelah mengalami beberapa insiden yang tidak diingini pada pilihan raya-pilihan raya yang lalu dan setelah mengendalikan berpuluh kali pilihan raya umum dan kecil sejak sekian lama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengambil keputusan meminda beberapa peraturannya. Cadangan pindaan beberapa peraturan itu dijangka akan dibentangkan di sidang Parlimen tahun depan.

Dipercayai langkah SPR itu adalah bertujuan untuk melicinkan proses pilihan raya yang diadakan dari masa ke semasa. Berdasarkan pengalaman kita semua maklum bahawa beberapa insiden yang tidak begitu baik dari segi ketenteraman awam telah berlaku pada beberapa pilihan raya yang lalu , baik semasa hari penamaan calon mahupun pada hari membuang undi.

Ini mungkin salah satu sebabnya dek kerana kaedah pengendaliannya tidak begitu kondusif atau sesuai dengan keadaan politik sekarang. Berbanding dengan beberapa puluh tahun lalu sekarang pengundi dan orang ramai bukan sahaja semakin bertambah tetapi parti-parti politik juga turut semakin bertambah.

Oleh itu cadangan SPR untuk meminda beberapa peraturan khususnya mengenai tempoh masa penamaan calon dan masa bertenang sangat-sangat dialukan.Mengikut laporan media tempoh hari penamaan calon akan ditambahkan lagi sehingga tiga hari berbanding hanya tidak sampai 10 jam sekarang. Begitu juga dengan tempoh bertenang yakni tempoh `berehat' setelah berkempen beberapa hari dilanjutkan lagi dari beberapa jam sekarang kepada 24 jam.

Saya lihat langkah ini amat wajar demi mengelak berulang berlakunya sesuatu insiden yang tidak diingini. Dengan adanya tempoh yang panjang bagi kedua-dua `sesi' yang boleh dianggap panas itu akan mengurangkan tekanan perasaan penyokong-penyokong parti-parti yang bertanding.

Dipercayai seseorang yang berada di dalam keadaan dan suasana yang tenang sukar untuk bertindak di luar kawalan akal yang waras. Semoga langkah SPR itu akan mendapat sokongan semua pihak.

Tiada ulasan: