Rabu, 3 Februari 2010

Syur hentikan perang mulut mengenai wang ihsan

Oleh Salleh Saad

Isu mengenai royalti dan wang ihsan untuk hasil minyak dari negeri-negeri di Semenanjung agak menarik pehatian umum. Kalau tidak silap saya isu ini mula timbul di negeri Trengganu ketika berlaku perubahan pemerintahan dari parti komponen Barisan Nasional kepada parti Pas pada sedekad lalu .

Kali ini membabitkan negeri Kelantan pula. Ia agak unik sedikit berbanding dengan Trengganu. Ini kerana negeri Kelantan adalah negeri bagi bekas Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah dan beliau pula adalah wakil rakyat BN.

Memang kedua-dua terminalogi itu ada perbezaannya. Secara umum dapat difahamkan royalti adalah bermaksud hak kerajaan negeri untuk memperoleh hasil galian minyak itu dengan kadar yang ditetapkan undang-undang . Sedangkan wang ihsan pula hak kerajaan pusat untuk memberikannya kepada negeri berkenaan dengan mengikut kadar yang diputuskan.

Tidak seperti wang ihsan , royalti bergantung banyak kepada aspek undang-undang. Ini termasuk jarak antara pantai negeri berkenaan dengan tempat galian minyak itu sendiri misalnya dijadikan asas kepada pemberian atau perolehannya. Pentafsiran kepada perkara-perkara `teknikal' ini telah menjadi sebahagian daripada inti pati `perang' antara kedua-dua belah pihak.

Kerajaan pusat dikatakan akan memberikan sejumlah berpuluh juta ringgit sebagai wang ihsan kepada negeri . Kerajaan negeri di bawah pimpinan Pas pula dikatakan tidak mahu menerimanya atas dasar wang ihsan. Yang unik lagi apabila Tengku Razaleigh selaku wakil rakyat BN dikatakan `memihak' kepada kerajaan negeri.

Bagaimana pun pada hemat saya `perang' antara Tengku Razaliegh dan kerajaan pusat itu patut dihentikan segera.

Dan kerajaan negeri pula harus ambil dulu wang ihsan itu demi kepentingan rakyat. Anggapkan pemberian sejumlah itu satu rahmat dan nikmat dari Allah. Sebagai Muslim kita digalakkan bersyukur terhadap nikmat Allah dan Allah janjikan sesiapa yang bersyukur dengan nikmat-Nya Dia akan tambah lagi; sebaliknya sesiapa yang tidak bersyukur akan menerima azab-Nya yang maha pedih itu.

Walahu `alam.

Tiada ulasan: