Sabtu, 13 Februari 2010

Terima nasihat TPM, elak prasangka buruk

Prasangka buruk terhadap pihak lain adalah satu sikap dan sifat yang keji dan wajar dijauhi oleh mana-mana pihak juga. Ini kerana ia memberi kesan yang sangat buruk kepada kedua-dua pihak yang terlibat sama ada secara individu mahupun secara berpuak. Antara kesan buruk daripada sikap itu ialah wujudnya perasaan hasad dengaki dan dendam. Lebih panjang sikap itu disimpan di hati lebih lama perasaan dendam membara di dada.

Bertambah buruk apabila ia melibatkan sesuatu kaum. Di Malaysia jika sikap dan sifat itu dijadikan amalan di dalam kehidupan , sosial , ekonomi, pendidikan dan lain-lain ia akan mendatangkan kesan yang amat buruk, bukan sahaja kepada antara pihak atau kaum terbabit tetapi juga rakyat dan negara secara keseluruhannya.

Oleh itu berhati-hatilah daripada terjebak dengan sikap prasangka dan seberapa boleh dari semasa ke semasa kikiskan sikap dan sifat itu daripada melekat di hati setiap orang rakyat negara ini. Kita hendaklah sama-sama pentingkan serta dahulukan kesejehteraan , keharmonian , keamanan, dan kemakmuran negara. Ia penting supaya setiap orang dapat menjalankan kehidupan masing-masing dengan selamat dan licin.

Bagi Muslim sikap prasangka ini dilarang sama sekali oleh ajaran Islam dan ia tergolong dalam dosa, (surah al-Hujrat, 12). Maka peringatan Timbalan Perdana Menteri , Tan Sri Muhyiddin Yasin seperti disiarkan media pada 13 Februari 2010, wajar diambil perhatian serius oleh semua pihak.

Tiada ulasan: