Jumaat, 19 Februari 2010

Terimalah pelaksanaan hukum syarak dengan hati terbuka

Kisah tiga wanita Islam yang dihukum sebatan mengikut kaedah syarak di penjara wanita Kajang pada 9 Februari lalu amat menarik.

Ketiga-tiga mereka dikatakan mengalami episod kesalahan yang sama iaitu melakukan perbuatan persetubuhan haram.

Bagi mereka hukuman yang dijatuhi ke atas mereka itu tidak seburuk seperti yang digambarkan sesetengah pihak sebelum itu, malah mereka reda dengan hukuman itu kerana yakin hukuman di akhirat kelak lebih dahasyat lagi.

Tetapi kita rasa amat malang kerana masih ada sesetangah pihak dari kalangan kita sendiri yang memperlihatkan rasa tidak berpuasa hati dengan pelaksanaan hukum syarak itu . Mereka mempertikaikannya. Tidak kiralah sama ada mereka bercakap bagi pihak diri sendiri atau pertubuhan atau institusi tertentu .

Kita ingin mengajak semua pihak yang mendakwa diri sebagai Muslim agar renungilah ke dalam diri kita dan tanyalah diri kita, siapalah kita yang hendak mempertikaikan hukum syarak, sedangkan hukum syarak itu datangnya dari Allah Azzawajalla.

Diri kita sendiri pun dicipta oleh Allah, Dialah yang menghidupkan kita dan kemudian akan mematikan mengikut ajal ketentuan-Nya, Dialah yang memberikan kita rezeki sehingga sesetengah dari kita hidup mewah dan kaya raya.

Dialah yang mengangkat darjat kita sehingga sesetengah dari kita berada di tempat yang cukup tinggi, dan banyak lagi barang anugerah Allah kepada kita yang kita tidak mampu menghitungnya.

Oleh itu sama-samalah kita hentikan dari mempertikaikan hukum syarak, berprasangka tidak baik dengannya dan berbagai lagi. Sebaliknya mari kita sama-sama bersyukur kerana kita berpeluang menjalankan hukum mengikut ketetapan Allah ; semoga dengan itu kita terlepas dari dosa disebabkan tidak melaksanakannya.

Tiada ulasan: