Selasa, 30 Mac 2010

Satu pengorbanan besar AJK UMNO Bukit Bendera

Oleh : Salleh Saad


Saya cukup terharu dengan semua 36 orang ahli jawatankuasa (AJK) UMNO Bahagian Bukit Bendera, terutama sekali ketuanya, Abd. Jalil Ariffin yang telah mengambil kata sepakat melepaskan jawatan masing-masing kelmarin bagi membolehkan Datuk Ahmad Ismail, bekas Ketua Bahagian, mengambil alih semula jawatan tersebut.

Seperti sedia maklum, Datuk Ahmad Ismail terlepas jawatannya dan digantung dari parti (UMNO) pada tahun 2008 lalu atas sebab-sebab yang dikaitkan dengan membuat `kenyataan perkauman' pada suatu majlis ceramah semasa kempen Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh.

Pihak yang mengaitkan itu pula bukanlah dari dalam bahagian berkenaan tetapi dari luar bahagian, meski pun berada dalam satu `khemah'. Dari segi hala tuju perjuangan dan khidmat bakti, rasanya tiada perbezaan. Jadi, bila berlaku `peristewa' itu nampak seperti `kawan makan kawan' sahaja.

Bagaimana pun perkara itu telah beberapa tahun berlalu. Tapi kuasa Allah siapa tahu. Bila sampai masanya segala-galanya boleh berlaku tanpa disangka-sangka. Bak kata orang, kebenaran akan datang bila-bila masa sahaja, asalkan sabar dan jujur di dalam melakukan sesuatu untuk bangsa, agama dan negara.

Nah ! Sekarang tanpa didorong oleh perasaan `taksub' atau kerana `wang' mereka yang telah `mengambil alih' tempat beliau itu merasakan perlu melakukan sesuatu bagi mengembalikan `hak' kepada tuanpunya yang sewajarnya .

Oleh itu, atas prinsip kejujuran dan atas rasa kesedaran bahawa `yang benar itu benar' dan yang `batil itu batil' mereka dengan suka rela dan lapang dada menyatakan hasrat secara beramai-ramai untuk mengambalikan semula `hak' itu kepada Datuk Ahmad Ismail .

Justeru, masyarakat Melayu Islam, khususnya UMNO sendiri harus melihat perkara itu dengan penuh positif dan amat wajar menghargai pengorbanan yang ditunjukkan oelh mereka terbabit, terutama Ketua Bahagian sendiri, Abd. Jalil Ariffin.

Ini kerana kita harus akui bahawa dalam konteks persekitaran dunia sekarang tindakan seperti mereka lakukan itu sukar untuk kita temui, malah ramai yang lebih gemar kepada merebut-merebut. Maka itu tindakan mereka merupakan satu pengorbanan yang amat besar.

Sekiranya dari segi perlembagaan parti tidak menimbul apa-apa masalah dan kerumitan, eloklah ia terus direalisasikan . Tidak perlu banyak bicara lagi.

Bagaimanapun, apa yang telah berlaku ke atas Datuk Ahmad Ismail dulu itu amat baik untuk dijadikan pengajaran manakala apa yang dilakukan oleh semua AJK sekarang amat wajar dijadikan teladan .

Isnin, 29 Mac 2010

Fahamilah erti perkahwinan sebenar mengikut syariat

Pada Ahad 14 Mac lalu saya dan keluarga dijemput oleh saudara sepupu isteri saya yang tinggal di Kuala Lumpur untuk bersama-sama mereka mengiringi pengantin (anak perempuan) ke rumah pengantin lelaki di sebuah kampung dekat Kepala Batas, Seberang Prai.

Untuk tujuan tersebut mereka telah datang sehari lebih awal dan menginap di `home stay' yang disewakan di sebuah taman perumahan di Sungai Petani. Jarak antara Kepala dengan Sungai petani kira-kira 14 kilometer sahaja.

Setelah diberitahu kedatangan mereka menerusi telefon , saya dan isteri terus ke tempat penginapan mereka. Jarak antara rumah saya dengan tempat penginapan mereka itu kira-kira 10 km . Mereka datang dengan lima buah kereta, kira-kira 20 orang, termasuk kanak-kanak.

Apa yang menarik dan ingin di ketengahkan dalam ruang ini ialah pertemuan antara isteri saya, lebih-lebih diri saya sendiri, dengan keluarga saudara sepupu isteri saya itu boleh dianggap `bersejarah'.

Ini kerana sebelum itu , selama hampir 40 tahun sejak kami berkahwin saya tidak pernah bertemtu dengan saudara sepupu isteri saya itu serta keluarganya yang lain.

Sekalipun saya dan isteri kerap ke Kuala Lumpur kerana menziarahi anak-anak dan saudara-saudara lain di sana tetapi tidak pernah ke rumah mereka sebab tidak tahu di mana kawasan sebenar tempat tinggal mereka .

Apabila tiba hari mempelai pada keesokannya kami (saya dan isteri) menjemput bersama-sama kami anak-anak dan menantu serta cucu-cucu kami untuk bersama-sama mereka mengiringi pengantin perempuan (anak mereka) ke rumah pengantin lelaki. Bertambah meriah lagilah majlis mempelai pada hari itu.

Maka di situlah juga sekali lagi berlaku pertemuan antara ahli-ahli keluarga kami dengan ahli-ahli keluarga mereka dan diikuti dengan saling kenal mengenal antara kedua-dua pihak. Wujud silatur rahim baru !

Perpisahan selama hampir 40 tahun antara isteri saya dan mereka itu kerana disebabkan masing-masing membawa diri dan hal masing-masing untuk mencari rezeki Allah di bumi-Nya yang luas ini dan sebab-sebab lain . Dan pertemuan itu pun atas aturan dan kehendak-Nya jua.

Melihat detik-detik pertemuan itu saya teringat akan betapa besarnya hikmah yang Allah anugerahkan kepada umat Islam di sebalik syariat pernikahan itu sendiri.

Saya yakin jika tanpa berlakunya perkahwinan antara anak saudara sepupu isteri saya itu dengan pasangannya yang tinggal di Kepala Batas itu, dan secara kebetulan tempat tinggal kami berdekatan dengan rumah pengantin lelaki, pasti antara kami dan saudara sepupu tidak akan bertemu dan sudah tentu saya tidak akan mengenalinya serta keluarganya, yang secara tidak langsung menjadi saudara sepupu kepada saya juga.

Oleh itu, institusi rumah tangga atau perkahwinan itu tidaklah boleh dipandang ringan oleh umat Islam sendiri, ia bukan sekadar untuk menghalalkan persetubuhan tetapi lebih dari itu.

Ia adalah juga untuk menghubung serta mengeratkan silatu rahim antara kedua-dua pihak dan secara tidak langsung turut berperanan membesarkan saiz kekeluargaan antara kedua-dua belah pihak.

Menghubung silatur rahim serta memeliharanya dari terungkai sangat dituntut oleh Islam, sebab itu terdapat hadis sahih yang menyebut (maksudnya)," Tidak masuk syurga mereka yang memutuskan silatur rahim".

Namun, agak malang kebelakangan ini bila umat Islam sendiri dilihat tidak mengambil peduli pesanan Rasulullah SAW itu . Mereka seolah-olah melihat perkahwinan itu bukan dari syariat (peraturan) Allah dan Rasul-Nya, tetapi sebagai adat dan budaya sahaja yang mana boleh dipermudah-mudahkan.

Justeru, rumah tangga yang dibina mudah sangat diruntuhkan. Yang paling menyedihkan lagi apabila ada ibu bapa atau sekurang-kurangnya ibu mencampuri urusan rumah tangga anak menantu sehingga terjadi kucar kacir , malah sehingga bercerai berai.

Ia langsung tidak terbayang di fikiran mereka betapa azab Allah sedang menanti di akhirat kelak dek kerana menjadi penyebab kepada runtuhnya sebuah institusi keluarga dan terputusnya silatur rahim antara sesama umat Islam. Wa iyazubillah.

Perbuatan begini pasti tidak betul dari sisi Islam. Tanggapan sebuah rumah atau perkahwinan itu sebagai adat dan budaya adalah satu kesilapan besar kerana ia bertentangan dengan syarak.

Masyarakat Islam, terutama masyarakat Melayu perlu memahami bahawa sesebuah rumah tangga atau perkahwinan yang dibina mengikut cara Islam itu adalah satu sunnah dan justeru satu syariat , bukan adat dan budaya.

Maka dengan sebab itu , apa-apa juga yang berkaitan dengan hal-hal rumah tangga dan perkahwinan mestilah dilihat dari sudut ketetapan syarak . Maka sekiranya ada masalah berbangkit antara suami dan isteri atau anak menantu hendaklah diselesaikan mengikut cara syarak pada keseluruahnya di mana al-Quran dan al-Hadis dijadikan asas rujukan. Bukan ikut nafsu dan kata hati sahaja.

Ahad, 28 Mac 2010

Siapakah patut jadi calon BN Parlimen Hulu Selangor ?

Oleh : Salleh Saad

Siapakah yang akan mewakili Barisan Nasional (BN) untuk Parlimen Hulu Selangor yang kosong berikutan penyandangnya Datuk Dr. Zainol Abidin Ahmad 71, dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) meninggal dunia baru-baru ini?

Inilah persoalan yang berligar-ligar di kepala pemerhati politik di negara ini khususnya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dilaporkan akan bemesyuarat dan menugumumkan tarikh penamaan calon dan pembuangan undi pada 2 April (Jumaat) ini.

Antara UMNO dan MIC nampaknya awal-awal lagi sudah mencadangkan bakal calon masing-masing kerana mendakwa ada kemenasabahan untuk meletakkan tokoh masing-masing sebagai calon di kawasan tersebut.

Bagi MIC, mereka mendakwa menduduki kerusi kawasan itu sejak tahun 1990 lagi. Orang mereka yang dipilih mewakili BN ialah Datuk G. Palanivel. Beliau adalah Timbalan Presiden MIC, maknanya bukan calang-calang orang.

Beliau kalah pada pilihan raya umum lalu di tangan Datuk Dr. Zainol Abidin Ahmad dengan kekalahan tipis iaitu 198 undi sahaja.

Justeru, pada kali ini nama beliau sekali lagi dicadangkan pucuk pimpinan MIC, Datuk Seri Samy Vellu untuk dipilih pucuk pimpinan BN sebagai calon.

Pada masa sama UMNO juga dilihat ada kemenasabahan untuk mewakili kawasan itu kerana berdasarkan nisbah pengundi iaitu 53.94 peratus Melayu, India 18.98 peratus, Cina 26.67 peratus dan lain-lain 0.41 peratus.

Setakat ini, mengikut laporan media individu yang mungkin dipilih bagi pihak UMNO ialah Tan Sri Muhammad Muhd. Taib. Beliau adalah bekas Menteri Besar. Juga bukan calang-calang orangnya di Selangor.

Dari satu sudut `perebutan' ini memang tidak sihat kerana boleh berlaku perpecahan undi akibat adanya keadaan ketidakpuasan hati oleh pihak yang gagal dipilih.

Isu ini akan timbul sebab masing-masing mendakwa ada kemenasabahan. Maka keputusannya haruslah berdasarkan kebijaksanaan dan keterbukaan masing-masing dalam permuafakatan BN itu sendiri.

BN patut menang di kawasan itu . Ini kerana ketiga-tiga DUN di bawah kawasan Parlimen itu semuanya dibolot oleh BN. Oleh itu mengapa tidak Parlimennya ?

Maka mungkin kemenangan arwah Datuk Dr. Zainol Abidin Ahmad yang mewakili PKR pada PRU 2008 itu atas sifat ketokohan dirinya, bukan partinya.

Jika ini diambil kira, maka untuk kali ini BN harus memilih seseorang yang dilihat sebagai tokoh oleh pengundi. Tidak kira dari parti UMNO atau MIC.

Ketokohan seseorang itu hendaklah bukan darti sudut pandangan pucuk pimpinan BN sahaja tetapi hendaklah lebih kepada apa yang dilihat oleh pengundi.

Selain Tan Sri Muhammad Taib (UMNO) dan Datuk G. Palanivel (MIC) mungkin ada banyak lagi `tokoh-tokoh' yang disenaraikan oleh BN.

Untuk memastikan kedudukan siapakah tokoh yang sebenar dari sudut pandang pengundi saya rasa amat baik jika pihak BN mulai sekarang membuat satu kajian pendapat umum mengenai `ketokohan' individu yang dicadangkan.

Kaedah ini dlihat paling baik untuk mengelak kemungkinan berbangkit perasaan ketidakpuasan hati oleh pihak-pihak yang tidak terpilih dan sekali gus mengurangkan ketegangan perasaan dan mental menjelang hari berkempen dan seterusnya.

Sabtu, 27 Mac 2010

Orang Islam perlu miliki kopitiam sendiri.

Oleh : Salleh Saad


1 - Orang Islam perlu miliki kopitiam sendiri . Inilah pandangan saya . Ini kerana setakat ini saya belum dengar kopitiam diuasahakan oleh orang Islam.

2 - Baru-baru ini dan hingga sekarang kita masih hebuh di seluruh negara kerana pengusaha kopitiam tidak dapatkan sijil halal dari pihak berkuasa agama seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

3 - Dilaporkan hampir semua kopitiam yang diusahakan oleh beratus-ratus bukan Islam tidak memiliki sijil halal Jakim. Lebih memburukkan keadaan apabila dikatakan mereka mendakwa kononnya Jakim membuat peraturan yang menyusahkan dan tidak efisen.

4 - Jika demikianlah keadaannya , mengapa kita perlu sangat hebuh fasal itu ? Kenapa kita tidak mengambil sikap yang lebih positif iaitu membiarkan mereka dengan hal mereka dan mencari jalan keluar bersesuaian.

5 - Sekiranya mereka terus`enggan' mendapatkan sijil halal , mudah sahaja tindakannya:

* Orang Islam jangan masuk ke kopitiam yang tidak ada sijil halal.

* Orang Islam perlu mmengusaha sendiri restoran kopitiam.

* Pihak berkuasa dan berwajib yang bertanggungjawab dalam membantu masyarakat Islam/Melayu/Bumiputera dalam hal ehwal perniagaan hendaklah berikan galakan dan bantuan seberapa banyak mungkin kepada mereka yang berminat dengan perniagaan tersebut. Justeru:-

* Sekiranya mereka tiada pengalaman berikan mereka kursus dan sebagainya.

* Permudahkan mereka mendapat lot/tempat atau lokasi perniagaan.

* Permudahkan mereka mendapat lesen perniagaan.

6 - Apabila sudah ada orang Islam buka kopitiam, masyarakat Islam yang suka makan / minum di kopitiam hendaklah beriltizam beri kerjasama sepenuhnya.

7 - Tindakan seperti ini saya rasa tidak menyusahkan sesiapa serta tidak menjejas perhubungan dan perpaduan . Ini kerana ia suatu bentuk persaingan di dalam perniagaan dan suasana begini sekarang pun telah berlaku seperti misalnya pengusahaan restoran, gerai-gerai makan, kedai runcit , mini market dan sebagainya.

8 - Saya lihat jika ini dapat direalisasikan , hasrat kerajaan untuk melibatkan masyarakat Melayu/Bumiputera/Islam di dalam perniagaan yang pelbagai akan tercapai.

9 - Adalah menjadi tanggungjawab kita selaku rakyat menyokong hasrat kerajaan, manakala kerajaan berkewajipan membantu rakyat yang memerlukan bantuan.

Khamis, 25 Mac 2010

Hendaknya kita tidak terlalu ghairah berkata-kata

Oleh: Salleh Saad

Menurut al-Quran manusia dijadikan dalam hal keadaan lemah (daif). Lupa adalah sebahagian daripada sifat daif yang wujud secara semula jadi dengan kejadian manusia.

Dengan hal demikian kita mudah lupa apa yang kita cakap dan kita mudah lupa apa yang kita telah buat. Oleh itu, kita berkemungkinan akan mengulanginya semula pada suatu ketika yang kita tidak menjangkakanya.

Kita juga mudah lupa apa yang orang lain buat kebaikan kepada kita. Kita juga mungkin lupa segala pertolongan yang orang lain berikan kepada kita pada ketika kita perlukan pertolongan dan bantuan itu.

Inilah kelemahan kita dan beginilah keadaannya seperti kata peribahasa Melayu bagai "kacang lupakan kulit" dan "bagai menolong anjing tersepit".

Lantas dengan sebab itu, ada kalangan di antara kita yang sanggup `tikam kawan dari belakang ', membesarkan keaiban dari kebaikan dan sebagainya. Lebih parah lagi apabila iklim hubungan bertukar dari `kawan' menajdi `lawan'.

Justeru amat tepatlah seperti kata peribahasa Melayu," kalau nak tahu baik seseorang tanya kawan ; kalau nak tahu buruk seseorang tanya lawan (musuh).

Tidak mengapalah sebab kita manusia dan yang menjadi sasaran pun adalah juga manusia sama seperti kita . Tetapi bagaimana dengan Allah yang menciptakan kita, yang menghidupkan kita, dan akan mematikan kita . Yang memberikan kita rezeki sehingga sesetengahnya melimpah ruah dan sebagainya.

Dialah juga yang mengangkat darjat kita hingga sesetengah dari kita menjadi seseorang yang dihormati dan disegani di kalangan manusia dan sebagainya.

Semua ini sebenarnya kadang kala kita boleh lupa. Kita lupa darjat kita sudah diangkat, kita lupa rezeki kita telah dimewahkan, kita lupa kita diberikan kekuatan seperti akal, tenaga , kekuasaan dan lain-lain .

Atas sebab-sebab lupa itu juga kadang-kadang kita mudah terlajak, kita mudah terlajak dengan kata-kata, kita terlajak dengan kerja buat kita, dan kita terlajak dengan niat dan tujuan kita.

Misalnya jika ada ruang dan peluang untuk kita menghentam seseorang kita akan menghentamkannya habis-habisan, kita akan luahkan segala isi hati kita yang terpendam serta seolah-olah berdendam dengan penuh emosi dan seperti keterlaluan, bahkan sekali sekala dilihat dengan penuh keghairahan.

Tetapi kita lupa di dalam keghairahan itu ada makhluk lain bersama kita. Makhluk itulah juga yang akan membawa kita ke jalan yang tidak diredai Allah dan kita pula dek kerana dijadikan berkeadaan `lemah' kita tidak mampu mencongak bagaimana pula balasan Allah kepada kita . Oleh itu kita jangan terlalu ghairah berkata-kata kerana dibimbangi akan memakan diri kita sendiri pada satu ketika nanti.

Namun , Allah sediakan kita jalan keluar bagi kita mengatasinya. Sekiranya kita ambil jalan ajaran Islam sebagai pedumannya , maka ia sangatlah mudah . Ia sebagaimana kita sedia maklum bahawa kita disuruh supaya membanyakkan taubat dan istighfar .

Maksudnya , kita disuruh supaya memohon Allah ampunkan kita di atas segala kelupaan kita dan semoga Allah pulihkan semula ingatan kita bahawa Allah itu Maha Melihat lagi Maha Mendengar segala tutur kata kita, segala perbuatan kita dan bahkan segala bisikan hati nurani kita.

Rabu, 24 Mac 2010

Tidak perlu tukar prinsip Rukunegara

Oleh: Salleh Saad

Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Pas-Marang) mencadangkan di Parlimen baru-baru ini supaya prinsip pertama Rukunegara ditukar daripada kepercayaan kepada Tuhan kepada kepercayaan kepada Allah.

Menurut laporan media, alasan yang diberikan Hadi adalah kerana orang bukan Islam kini telah `menerima kalimah Allah'.

Membincang isu agama di Malaysia adalah sesuatu yang sangat sensitif dan memerlukan langkah lebih berhemah dan berhati-hati. Jadi, tidak perlulah kita bincang isu tersebut dengan lanjut.

Berbalik kita kepada isu cadangan menukar istilah `tuhan' dalam prinsip Rukunegara yang pertama itu kepada Allah. Pada pandangan saya ia tidak perlu . Lebih baik kekalkan sahaja dengan istilah tuhan seperti sedia ada.

Ini kerana, penggubalannya berasaskan penelitian terperinci serta mendalam oleh beberapa pihak terbabit, termasuk Majlis Perundingan Negara (MPN) yang diwujudkan tidak lama selepas peristewa 13 Mei 1969.

Persoalan mengapa memilih istilah tuhan dan tidak Allah ini telah dibangkitkan sejak lama. Jika tidak salah ingatan saya, sewaktu menghadiri kursus `pemahaman dasar-dasar kerajaan' di awal tahun 1970-an selepas memasuki perkhidmatan awam , persoalan ini telah dibangkitkan dan jawapan yang diberikan sangat mudah tetapi cukup meyakinkan, iaitu untuk disesuaikan dengan kepelbagaian agama di negara ini serta kepelbagaian `ketuhanan' mengikut kepercayaan agama masing-masing.

Fakta ini adalah satu realiti yang sangat jelas, bukan pada waktu itu dan sebelumnya sahaja tetapi hingga ke hari ini. Allah tuhan bagi penganut Islam, manakala agama lain ada tuhan-tuhan mereka tersendiri seperti budha, hindu, kristian, sikh dan sebagainya.

Tetapan kepercayaan kepada tuhan pada prinsip Rukunegara itu adalah, antara lain sebagai menunjukkan bahawa seluruh rakyat negara ini harus beragama, mengikut kepercayaan masing-masing dan menolak fahaman komunisme.

Seperti sedia maklum asas pemerintahan negara ini sejak merdeka adalah `sistem demokrasi berparlimen dan Raja berperlembagaan' . Rukunegara dianggap sebagai `ideologi negara'yang terdapat padanya lima cita-cita dan lima rukun (tidak perlu diperincikan)

Kepercayaan kepada Allah adalah menjadi salah satu rukun kepada Rukun Iman. Sesiapa yang suka rela menerima Islam sebagai agamanya maka wajib baginya mempercayai Allah sebagai tuhannya seperti tetapan dalam rukun iman.

Jadi, kenapa kita harus kelirukan antara rukun negara dan rukun iman ? Jangan banyak sangat wujudkan keadaan celaru dan keliru di dalam masayarakat kita, terutama masyarakat Melayu Islam yang disebabkan oleh sedikit kepentingan politik.

Selasa, 23 Mac 2010

Orang Melayu sangat sensitif dengan warna biru dan hijau

Oleh : Salleh Saad

Assalamu alaikum,

Hari ini saya akan mencatatkan pemerhatian dan pengalaman saya mengenai nilai, sikap, kelakuan serta sensitiviti masyarakat Melayu, khususnya di luar bandar atau kampung terhadap dua jenis warna- biru dan hijau .

Isu yang ingin saya ketengahkan ini meskipun bukan dari hasil penyelidikan atau kajian kes , namun saya rasa ia sangat baik untuk dijadikan bahan renungan dan iktibar terhadap sistem nilai yang ada dalam masyarakat orang Melayu sejak sekian lama dan masih lagi hingga kini.

Pengamatan serta pengalaman ini saya lalui sejak lebih 30 tahun lalu . Ini kerana kampung sangat nostalgik buat saya . Saya bukan sahaja dilahirkan dan dibesarkan di kampung tetapi lebih dari itu.

Sewaktu bekerja dulu `pelaggan' profesion saya sebahagian besarnya terdiri dari masyarakat Melayu kampung. Bahkan ketika ini pun saya masih lagi `berhadapan' dengan masyarakat kampung kerana sebahagian besar kawasan kariah di mana saya tinggal sekarang adalah kampung-kampung tradisional Melayu.

Proses pengalaman ini memberikan saya ruang untuk diamati dan dicatatkan di ruangan ini , dengan niat supaya dapat saya kongsikan dengan pengunjung halaman ini.

Berbalik kepada sensitiviti orang Melayu terhadap dua warna yang disebutkan di tas tadi, pada hemat saya berlakunya hal ini ada kaitan dengan sentimen terhadap ideologi-ideologi parti politik. Ia kerana kedua-dua jenis warna tersebut ada hubung kait dengan parti-parti utama orang-orang Melayu.

Justeru, tidak mengejutkan jika kita mengunjungi kampung-kampung tradisional Melayu , atau berhadapan dengan penduduk-penduduknya kita akan bertemu dengan susana pewarnaan ini, yang jika silap langkah kita akan berdepan dengan isu-isu lain pula.

Kedua-dua jenis warna itu boleh dilihat sama ada pada pakaian, rumah, pagar rumah , gerai-gerai makan, bangunan-bangunan awam seperti dewan `orang ramai', garaj kereta , bahkan bangunan-bangunan ibadat seperti surau atau masjid.

Realitinya warna-warna tertentu itu menjadi simbol kepada kecenderungan penduduknya terhadap mana-mana ideologi parti tertentu yang khusus bagi orang Melayu.

Juga ia memberi petunjuk baik kepada kita untuk cara mana kita boleh berinteraksi dengan mereka dengan lebih mudah, terutama sekiranya kita `orang luar' yang ingin berurusan dengan kampung-kampung tertentu.

Bagaimanapun sikap begini bukan berlaku pada setiap kampung dan setiap orangnya. Ia berlaku pada mereka yang sangat taksub dengan ideologi partinya sahaja. Namun kesannya agak besar juga, lebih-lebih lagi jika kita ingin berurusan dengan mereka.

Saya percaya perasaan terlalu sensitif sebegini akan terus membara dan berterusan pada kehidupan masayarakat Melayu di kampung-kampung jika ada pihak-pihak tertentu , khususnya pemimpin politik membakarnya dari luar.

Ini adalah satu bentuk `assabiah'. Warna dijadikan elemen dalam pembentukan assabiah terhadap ideologi politik di kalangan masyarakat Melayu. Tujuannya memang baik supaya pengikut menjadi lebih `setia' kepada parti. Tetapi dari segi kemasyarakatan dan perhubungan dilihat tidak begitu baik.

Saya rasa suasana seperti ini tidak berlaku dalam sistem nilai masyarakat bukan Melayu .

Kita juga perlu ingat bahawa warna adalah sebahagian makhluk ciptaan Allah yang indah bukan untuk dirinya sahaja tetapi juga untuk mengindahkan lagi kehidupan dan perasaan manusia.

Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab bersama supaya jangan mengambil dan menjadikan warna-warna tertentu sebagai elemen assabiah yang melampau kerana ia merugikan . Dekatilah ia dengan penuh kebijaksanaan.

Isnin, 22 Mac 2010

Amalan sedekah ....

Dicatat oleh: Salleh Saad

1 - Mari kita renungi maksud ayat-ayat al-Quran seperti berikut," Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menghilangkan (pahala sedekahmu) dengan menyebut-nyebutnya dan menyakiti (perasaan si penerima) , seperti orang yang menafkahkan hartanya kerana riyak (menunjuk-nunjuk) kepada manusia dan dia tidak beriman kepada Allah dan hari kemudian, maka perumpamaan orang itu seperti batu licin yang di atasnya ada tanah, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ia menjadi bersih (tidak bertanah). Mereka itu tidak mendapat sesuatu pun dari apa yang mereka usahakan; dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang kafir". al-Baqarah, 264.


* Amal kebajikan dan sedekah yang dilakukan hendaklah ikhlas kerana Allah dan bukan kerana tujuan lain , selain dari-Nya.

* Tidak boleh menyakiti hati penerima sedekah dengan kata-kata atau seumpamanya.

* Tidak boleh mengungkit-ungkit selepas memberi sedekah.


2 - Semoga kita beroleh faedah dari mesej ayat-ayat tersebut dan dapat beramal dengannya.

Ahad, 21 Mac 2010

Perjuangan Perkasa sama dengan perjuangan UMNO ?

Oleh : Salleh Saad

Selaku rakyat Malaysia saya sentiasa mengikuti perkembangan isu-isu yang berkaitan dengan kenegaraan. Ini termasuk pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan aktiviti-aktiviti yang dijalankan mereka seperti yang dilaporkan media.

Maka tidak ketinggalan dalam hubungan ini Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang dipimpin oleh Datuk Ibrahim Ali, seorang Ahli Parlimen (Bebas) dari Kelantan.

Mengikuti perkembangan , program dan aktiviti pertubuhan tersebut menerusi media massa, saya dapati ia sangat lantang memperjuang serta mempertahankan semua hak dan institusi yang berkaitan dengan orang Melayu di negara ini.

Perkara-perkara yang dipertahankannya itu saya lihat kesemuanya telah dimaktubkan dan institusikan di dalam Perlembagaan Persekutuan yang mana telah diterima oleh semua pihak dan menjadi teras kepada pemerintahan negara.

Namun, ia dikatakan mendapat kritikan dari beberapa pihak tertentu yang memandangnya sebagai condong kepada satu kaum tertentu sahaja.

Sebenarnya saya rasa kewujudan Perkasa adalah lantaran merasakan institusi-institusi yang berkaitan Melayu yang dimaktub di dalam Perlembagaan tercabar selepas Pilihan Raya Umum ke -12, 2008 lalu dan ada keperluan kepada sebuah badan sepertinya untuk mempertahankan kepentingan-kepentingan tersebut.

Justeru, sangat wajarlah saya kira baginya mendapat sokongan padu dari semua pihak agar perjuangan mempertahankan institusi-institusi berkaitan Melayu yang termaktub di dalam Perlembagaan itu dapat diteruskan dengan jayanya.

Jika UMNO pada zaman permulaan pertubuhannya di sekitar penghujung tahun 1940-an dahuluh mendapat bantahan dan kritikan sesetengah pihak yang berkepentingan pada waktu itu, maka Perkasa juga saya lihat menghadapi kekangan dan cabaran yang hampir sama.

Jika dahulu UMNO berjuang untuk menentang gagasan Malayan Union kerana dianggap mengancam kedudukan dan hak-hak tertentu orang Melayu tidak disenangi oleh sesetengah pihak , maka begitu juga kini dilihat Perkasa menghadapi keadaan yang hampir sama.

Cuma perbezaannya pada ketika itu UMNO memperjuangkan serta mempertahankan `hak-hak' dan kepentingan orang Melayu adalah untuk menginstitusikan hak-hak dan kepentingan itu di dalam Perlembagaan yang akan diwujudkan, sedangkan apa yang dilakukan Perkasa ketika ini adalah mempertahan hak-hak yang telah diinstitusikan supaya tidak hilang.

Saya amat bersetuju dengan pendapat sesetengah pihak bahawa Perkasa telah banyak berjasa kepada orang-orang Melayu khususnya dan negara negara amnya di mana hak-hak dan kepentingan institusi berkaitan Melayu tercabar.

Oleh itu,sebagai rakyat Malaysia saya kira wajarlah kita memberi sokongan kepada perjuangan Perkasa, selagi mana ia tidak bertentangan Perlembagaan dan undang-undang negara .

Saya amat bersetuju dengan pendapat sesetengah pihak bahawa Perkasa telah banyak berjasa kepada orang-orang Melayu ketika ini dan ketika hak-hak dan kepentingan institusi berkaitan Melayu tercabar.

Khamis, 18 Mac 2010

Nikah cilik , jangan buat mudah

Oleh : Salleh Saad

Tiba-tiba sahaja pada minggu lalu meletup cerita pernikahan cilik antara kanak-kanak yang berusia sekitar 10 -11 tahun dengan lelaki dewasa yang mana perbezaan usia agak jauh. Riuh rendahlah di seluruh negara dan mengejutkan banyak pihak, termasuk menteri.

Yang riuh rendah dan mengejutkan itu bukan kerana jarak usianya tetapi kerana pernikahan cilik itu sendiri. Ini kerana ia tidak lagi berlaku di zaman ini - zaman semua kanak-kanak perlu berada di bangku sekolah. Walaupun ia mungkin pernah berlaku di zaman dahulu kala. Itu cerita lain.

Barangkali agaknya ramai di antara kita sebenarnya tidak sedar bahawa bagi umat Islam di negara ini, mereka tertakluk dengan tiga jenis utama perundangan ; iaitu undang-undang syariah yang tertulis di dalam al-Quran, al-Hadis dan Ijmak Ulamak, undang pentadbiran Agama Islam yang digubal pihak berkuasa negeri-negeri dan Wilayah Persekutuan, dan undang-undang sivil.

Bahkan di samping terikat dengan undang-undang tersebut sebagai undang-undang bertulis , secara tidak langsung kita juga masih terikat dengan peraturan sosial dan budaya bangsa kita yang disifatkan sebagai undang-undang tidak bertulis, yakni kita ada norma-norma tertentu yang mungkin berbeza dengan masyarakat , bangsa atau negara lain.

Oleh kerana adanya berbagai undang-undang dan peraturan seumpama itu di negara kita maka sayugialah kita lebih berhati-hati di dalam mengorak langkah untuk melakukan sesuatu.

Sekiranya langkah kita itu bertentangan dengan undang-undang bersurat implaksinya ialah kita akan disiasat dan didakwa. Sebaliknya jika perlakuan kita itu bertentangan dengan norma-norma masyarakat atau budaya kita, masyarakat akan menghukum kita dan sudah tentu kita akan dipandang serung oleh masyarakat.

Bahkan seterusnya jika kita melanggari semua undang-undang itu - yang bertulis dan tidak bertulis - sudah tentu padahnya lebih dahsyat dan hebat lagi yang mana kita kena hadapi dan kena tanggung.


Oleh itu, halaman ini ingin berkongsi pandangan dengan masyarakat kita sekaliannya agar jangan kita mudah lalai dan `terpa' ikut suka dan begitu sahaja. Sebaliknya hendaklah lebih berhati-hati serta berfikir panjang tentang baik buruknya sesuatu perlakuan yang kita ingin lakukan itu.

Taatilah ajaran agama, patuhilah undang-undang negara dan hormatilah norma sosial dan budaya kita.

Selasa, 16 Mac 2010

Kempen beli barang tempatan mesti berterusan

Oleh : Salleh Saad


Khabarnya kempen beli barang tempatan akan dilancarkan semula tidak lama lagi dengan tema "pengguna patriotik" . Namun mampukah ia bertahan lama ?

Ini kerana sebelum ini pun kempen serupa telah diadakan beberapa lama tetapi dihentikan. Tidak diketahui secara jelas akan sebab-sebabnya.

Masyarakat Malaysia umumnya sangat suka kepada kerja seperti kata bidalan,"semangat tahi ayam". Maksudnya tidak bersungguh-sungguh dan berterusan.

Dan persoalan juga timbul kenapa kempen tersebut hendak diadakan semula ? Dan kenapa tema "pengguna patriotik" dipilih ?

Apakah kempen sebelum ini gagal dan disebabkan ada unsur ketidakpatriotisme di kalangan rakyat selaku pengguna?

Sekiranya kempen tersebut sebelum ini gagal kerana ia berpunca dari sikap tidak patriotik rakyat, maka sehubungan itu pasakkan dahulu semangat patriotisme di sanubari rakyat .

Tetapi siapakah dari kalangan rakyat yang tidak patriotik ? Adakah ia terdiri dari golongan bawahan, sederhana atau atasan ?

Masyarakat pengguna di Malaysia ada pelbagai. Sekurang-kurangnya terdapat tiga kumpulan utama, iaitu bawahan, sederhana dan atasan.

Rasanya rakyat bawahan dan sederhana kebanyakan mereka mempunyai semangat patriotik yang tinggi dan sukakan barang-barang tempatan. Salah satu sebabnya ialah kerana harganya lebih murah, senang diperoleh, tidak perlu tunggu lama-lama, dan sebagainya.

Namun bagi mereka yang mempunyai kuasa beli yang tinggi mungkin lebih suka memilih barang dari luar atau berjenama dan berkelas dunia (world class).

Keberkesanan kempen ini adalah bergantung kepada pemilihan barangan, tawaran harga, kumpulan sasar , kaedah pelaksnaan dan penggunaan medium kempen, pemilihan lokasi strategik bagi penyebaran bahan kempen dan sebagainya.

Apapun, diharapkan kempen kali ini tidak akan berkubur seperti yang pernah berlaku sebelum ini . Sebaliknya ia hendaklah lebih meluas, bersungguh-sungguh, berterusan , dan jika nak tukar pun hanya tukar tema sahaja untuk disesuaikan dengan keperluan dan kehendak semasa khalayak pengguna terhadap barangan.

Isnin, 15 Mac 2010

Alahai lintah !

Oleh : Salleh Saad

Kali ini saya ingin mencatatkan sedikit mengenai lintah, namun bukan secara sainstifik kerana saya tidak mempelajari dan bukan ahlinya , sebaliknya secara pengamatan dan pengalaman yang pernah saya lalui dengannya.

Sejak di zaman kanak-kanak hinggalah remaja, saya boleh dikatakan sentiasa bergelomiang dengan lintah. Ini kerana saya dilahirkan serta dibesarkan di kampung yang di kelilingi oleh sawah padi, atau lebih dikenali di tempat saya sebagai bendang.

Lintah ialah sejenis binatang yang tiada bertulang, lembut, buruk rupa parasnya, mempunyai saiz yang berbagai-bagai - ada yang besar dan yang kecil. Paling besar sebesar jari-jari tangan orang dewasa.

Berbeza dengan pacat, lintah hidup di dalam air yang berselut atau berlumpur seperti di bendang , kubang , parit dan sebagainya .

Salah satu makanan kegemarannya adalah darah - darah binatang dan darah manusia. Pada zaman saya kecil-kecil para petani kampung saya menggunakan kerbau sebagai `jentera' untuk membajak sawah iaitu untuk menarik tenggala dan sisir . Kedua-duanya ialah alat-alat untuk menghancur selut supaya menjadi lembut dan hancur.

Oleh demikian, boleh dikatakan setiap keluarga di kampung saya ada kerbau,termasuk keluarga saya . Paling sedikit pun seekor . Justeru saya sendiri terlibat juga dengan pemeliharaan kerbau. Kerbau juga suka berada di dalam bendang kerana mudah berkubang.

Ketika berada di dalam bendang itulah , sama ada manusia atau binatang akan berhadapan dengan lintah. Ia bukan sahaja merayap di tubuh badan `mangsanya' tetapi juga menggigit dan seterusnya menghisap darah. Inilah yang sangat ditakuti oleh sebahagian manusia, terutama wanita.

Pada zaman itu sesetengah orang melihat lintah dengan penuh rasa jijik , geli dan takut. Jijik mungkin kerana rupa parasnya yang huduh , geli kerana kulitnya yang berlendir menyentuh badan dan takut kerana ia suka merayap dan menghidap darah.

Tetapi zaman sekarang saya dapati lintah telah dijadikan barang dagangan dan bahan untuk mengubati pelbagai penyakit manusia. Baru-baru ini saya telah tertonton satu siaran televesyen yang menceritakan tentang lintah sebagai `perawat' pelbagai penyakit khususnya berkaitan dengan penyakit tekanan darah, resdung dan lain-lain.

Bagi mengubat penyakit-penyakit tersebut lintah dibiarkan atau `disuruh' menggigit dan menghisap darah penghidap penyakit. Bukan seekor atau dua sahaja tetapi beberapa ekor.

Nah ! binatang yang pernah dirasa jijik , geli dan dibenci di satu ketika dulu itu kini dilihat berguna kepada kehidupan dan kesihatan manusia.

Inilah tanda kebesaran Allah - Tuhan Yang maha Berkuasa - yang kita tidak terfikirkannay sebelum ini. Sesuatu yang kita rasa tidak berguna kepada kehidupan kita akhirnya sebenarnya ia sangat berguna.

Pengajaran kepada kita dari kisah lintah ini , antara lainnya kita tidak tidak boleh melihat sesuatu itu hanya dengan rasa semata-mata tetapi mesti dengan akal dan iman. Jika pada satu ketika kita hina pihak lain kerana kita tidak memerlukannya tetapi ingat mungkin di suatu ketika lain kita akan memerlukannya dengan kudrat serta iradat Allah.

Ahad, 14 Mac 2010

Bersatulah bangsaku di mana berada

Oleh : Salleh Saad

Perpecahan masyarakat Melayu Islam yang disebabkan oleh perbezaan ideologi politik di kampung-kampung dan kawasan pedalaman di negara kita bukan satu perkara yang anih lagi kerana terlalu biasa dengannya.

Cerita mengenai dua imam, nikah kahwin tidak sah, kafir mengkafir, buruk sangka antara satu sama lain sering sangat didengari mulai dekad enam puluhan hingga ke dekad lalu .

Dengan bentuk sistem nilai, sistem kekeluargaan , sosio budaya dan beberapa faktor lain yang terdapat di kampung-kampung tradisional dan pedalaman di negara kita, perkara seperti itu tidak susah untuk berlaku apabila dihasut dan diprovokasikan oleh pihak-pihak tertentu .

Namun apabila keadaan seperti itu wujud di kawasan-kawasan perumahan moden yang kebanyakan penghuninya terdiri dari kumpulan masyarakat yang jauh berbeza dari kampung tradisional , kita pasti rasa pelik.

Bagaimanapun ini cerita benar kebelakangan ini. Ketika menghadiri satu majlis kenduri kahwin di sebuah taman perumahan di daerah Pendang kelmarin (Sabtu) saya terperanjut ketika diberitahu di taman itu kini "ada dua puak".

Sejauh pengetahuan saya selama bekerja serta tinggal berbelas tahun di daerah itu saya tidak pernah temui masalah seperti itu berlaku di taman-taman perumahan moden, meskipun wujud perbezaan fahaman politik .

Tidak dinafikan di beberapa buah kampung tradisional ia memang wujud tetapi tidaklah serius sangat . Dan ia dikira sebagai `perkara biasa' kerana berlaku di kawasan perkampungan.

Dengan berlakunya perubahan dalam sistem nilai, budaya, pendidikan, sosial, sumber maklumat, pendedahan kepada pola kehidupan yang lebih baik , kita percaya cerita seumpama ini tidak patut wujud.

Oleh itu saya harap maslah ini tak usah berlaku lagi di mana-mana kawasan sekalipun, lebih lagi di kawasan taman perumahan.

Kenapa kita orang Melayu Islam yang tidak seberapa jumlahnya ini suka kepada perpecahan antara kita sesama kita. Sebaik-baiknya kita berpolitiklah secara lebih matang dan kebal dengan kasih sayang dan baik sangka sesama kita. Kita sepatutnya elakkan diri kita dari diperalatkan oleh ekstrimis politik yang merugikan masyarakat kita.

Khamis, 11 Mac 2010

Warga emas bukan warga `sampah'


Sebuah akhbar harian arus perdana melalui laporan beritanya 10 Mac lalu memetik kenyataan Pengarah Bahagian Warga Tua dan Keluarga Jabatan kebajikan Masyarakat (JKM) , Mohd. Hafizal Mohd. Salleh sebagai berkata, statistik Jabatan Perangkaan menunjukkan jumlah warga emas meningkat dua kali ganda antara 2010 hingga 2035.

Menurutnya , bilangan warga emas di Malaysia ketika ini adalah 1.8 juta orang atau tujuh peratus daripada jumlah penduduk. Ia dijangka meningkat kepada 3.4 juta orang atau 10 peratus menjelang tahun 2020 dan seterusnya 5.1 juta pada 2035.

Ketika ini saya adalah termasuk dalam jumlah warga emas yang dinyatakan itu . Saya bersyukur kerana dipanjangkan umur dan masih boleh membuat sesuatu untuk agama, masyarakat dan negara.

Warga emas adalah umumnya mereka yang berusia 50 tahun ke atas. Mereka adalah salah satu kelompok dalam kehidupan manusia . Mereka wujud dalam semua sektor sosio ekonomi. Sebahagian dari mereka terdiri dari kumpulan yang telah meninggalkan bidang kerjaya masing-masing kerana `cukup umur' untuk bersara atau sebab-sebab lain .

Namun terdapat juga segelintir yang terus mencari kerjaya baru atau ditawarkan menyambung kerjaya lama sesudah bersara apabila tenaganya masih diperlu oleh institusinya.

Apapun yang pentingnya warga emas bukan warga `sampah'. Mereka boleh terus memberi khidmat atau bakti kepada agama, masyarakat dan negara menerusi pelbagai cara mengikut bakat, kebolehan, idea dan sebagainya yang dianugerahkan tuhan kepada mereka .

Sementara bagi orang Islam, di samping mereka boleh terus menyumbang khidmat bakti kepada masyarakat dan negara mereka sepatutnya juga mengambil peluang serta ruang yang semakin sedikit itu untuk lebih mendekati tuhan. Maknanya membanyakkan amal soleh dan ibadat (sunat). Ini sebagai bekalan untuk akhirat.

Menganggap warga emas sebagai `beban' kepada sesiapa adalah sesuatu yang tidak wajar. Adalah menjadi kewajipan kepada setiap individu, lebih lagi anak-anak untuk `menjaga' orang tuanya sementara mereka masih hidup.

Kita di Malaysia agak bernasib baik kerana pihak kerajaan sangat prihatin terhadap warga emas. Sebuah kementerian diwujudkan khusus yang antara lain berfungsi untuk menjaga warga emas yang tiada dipedulikan waris. Kempen masyarakat penyayang pernah diadakan bagi menyedarkan masyarakat , namun kesannya kurang jelas.

Masyarakat harus melihat isu ini dengan penuh perhatian serta keinsafan. Dengan itu barulah wujud keadaan di mana sesetengah warga emas tidak terbiar .

Oleh itu , peningkatan jumlah warga emas di negara ini tidak harus dilihat sebagai cabaran kepada pihak kerajaan sahaja bagi menyediakan mereka prasarana tertentu, seperti tempat kediaman, perubatan , kesihatan dan lain-lain. Seluruh masyarakat termasuk NGO, institusi dan orang perseorangan perlu mengambil bersama tanggungjawab ini. Harus diingat semua orang akan menjadi warga emas bila sampai masanya.

Terima kasih kerajaan kerana mansuhkan bayaran wad hospital

Oleh: Salleh Saad


Selaku pesara kerajaan dan mempunyai sebahagian anak-anak dan menantu yang sedang berkhidmat dengan kerajaan, saya rasa tidak adillah jika saya tidak berterima kasih kepada kerajaan kerana memansuhkan bayaran wad bagi kakitangan kerajaan dan pesaranya yang mendapat rawatan di hospital kerajaan mulai 1 April ini.

Saya percaya bukan saya seorang sahaja yang patut berasa demikian tetapi juga hampir dua juta lagi kakitangan kerajaan dan pesaranya di seluruh negara. Tindakan kerajaan itu menggambarkan betapa kerajaan mengambil berat terhadap kebajikan kakitangannya , bahkan bekas kakitanganya juga.

Ini kerana ia dapat mengurangkan sebahagian dari bebanan kewangan yang terpaksa dihadapi oleh kakitangan kerajaan dan pesaranya ketika memerlukan rawatan perubatan dan kesihatan di hospital, terutama bagi mereka di peringkat sederhana dan rendah. Langkah itu juga amat bertepatan dengan slogan "rakyat didahulukan".

Ini bermakna segala `titik peluh' yang dicurahkan kepada kerajaan selama berkhidmat dan sesudahnya tidak dipersia-siakan begitu sahaja. Malah sekali gus saya lihat ia memperlihatkan satu lagi ciri ketokohan dan kebijaksanaan Datuk Seri Najib Razak dalam strategi mewujudkan `repo' yang baik antara kerajaan dengan kakitangan dan pesara perkhidmatan awam. Terima kasih kerajaan !

Rabu, 10 Mac 2010

Pilihan raya kerajaan tempatan tidak perlu

Oleh: Salleh Saad

Kerajaan negeri Pulau Pinang baru-baru ini dilaporkan telah membuat permohonan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengadakan pilihan raya bagi memilih ahli-ahli majlis mesyuarat kerajaan tempatan. Juga turut mengambil langkah sama negeri Selangor. Kedua-duanya adalah negeri yang ditadbir parti Pakatan Rakyat.

Memilih ahli majlis mesyuarat kerajaan tempatan melalui sistem pilihan raya telah pertama kali diadakan beberapa tahun sebelum merdeka. Saya masih ingat ketika itu di tempat saya ada beberapa calon mengambil bahagian. Waktu itu saya dalam darjah satu.

Setelah merdeka pilihan raya seumpama itu sudah tidak ada lagi. Saya kurang jelas sama ada ia dimansuhkan atau tidak. Dalam Perlembagaan dinyatakan ada tiga jenis kerajaan, iaitu kerajaan Persekutuan, kerajaan Negeri, dan kerajaan Tempatan. Sesudah merdeka hingga sekarang yang diadakan pilihan raya untuk memilih ahli-ahlinya ialah kerajaan Persekutuan dan kerajaan Negeri.

Melihat kepada bagaimana pilihan raya untuk kedua-dua jenis kerajaan itu diadakan, saya berpendapat pilihan raya untuk kerajaan Tempatan yang dicadangkan itu tidak perlu lagi. Sudah cukup setakat ini dengan dua jenis kerajaan itu.

Ia kerana salah satu elemen yang dilihat sangat popular dalam sistem pilihan raya yang diadakan ialah kempen . Tetapi gaya berkempen di Malaysia nampaknya lain dari yang lain kerana ia digunakan untuk menghentam peribadi `lawan' habisa-habisan , semata-mata bagi menawan hati pengundi.

Gaya berkempen semacam inilah yang dilihat tidak sihat kerana boleh membawa kepada perpecahan masyarakat dan seterusnya rakyat. Lihatlah sejak pilihan raya umum 2008 diadakan hingga sekarang, seolah-olah kita masih berada di dalam `suasana' kempen pilihan raya. Inilah gaya kita berkempen.

Lainlah jika gaya kita berkempen lebih mmengutamakan atau menjurus kepada menonjol atau mempamerkan kebolehan diri seperti gaya kepimpinan, hala tuju yang jelas, dan sebagainya sebagai senjata menawan hati pengundi dan orang ramai.

Selain itu, jika sistem pilihan raya diwujudkan untuk memilih ahli-ahli majlis mesyuarat kerajaan tempatan saya lihat akan wujud beberapa kerumitan , terutama untuk menentukan siapakah `pengundi' sebenar ? Apakah ia perlu kepada pendaftaran ? Adakah ia hanya untuk pemastautin sahaja atau terlibat juga mereka yang tinggal sementara ? Dan banyak lagi.

Oleh itu, saya fikir tidak perlulah memilih ahli majlis mesyuarat kerajaan tempatan melalui sistem pilihan raya. Sebaliknya buatlah seperti yang sedia ada. Lantiklah mereka yang layak yang boleh memberi perkhidmatan yang cemerlang, adil dan saksama kepada orang ramai. Lagi pun sistem yang sedia ada masih boleh diterima rakyat .

Selasa, 9 Mac 2010

Bahasa Melayu untuk semua

Oleh: Salleh Saad

Sejak berlangsungnya penganjuran pertandingan pidato antarabangsa bahasa Melayu (PABM) di Putrajaya pada 5 Mac 2010 lalu, banyak pihak di kalangan rakyat Malysia yang terdiri para cedakiawan Melayu dan bukan Melayu hingga ke orang awam memberi komen. Ia bukan sangat atas penganjuran itu tetapi lebih kepada keserlahan keupayaan penuturan bahasa Melayu oleh pelbagai bangsa di peringkat antarabangsa.

Penganjuran itu yang dikendalikan oleh Kementerian Pengajian Tinggi, pimpinan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, disertai oleh 56 orang peserta dari 51 buah negara dan enam buah benua. Peserta dari negara China diumumkan menjuarai pertandingan itu di peringkat antarabangsa.

Penganjuran itu sebenarnya telah memberi isyarat jelas kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan status sosio ekonmi mereka bahawa bahasa Melayu layak diletakkan setaraf dengan bahasa-bahasa utama lain di peringkat antarabangsa.

Justeru, tanpa perlu berhujah lebih panjang, tidak harus ada dari kalangan mana pihak atau dalam keadaan apa jua sekalipun untuk meragui penggunaanya. Ini maknanya bertutur dalam bahasa Melayu bukanlah sesuatu yang harus dianggap `lekeh' atau boleh membawa `malu' dan `jatuh' maruah.

Selain itu, tidak harus juga ianya dilihat dalam konteks perkauman (racisme)yang sempit. Ia tidak harus dianggap sebagai bahasa orang Melayu sahaja tetapi adalah bahasa orang Malaysia. Sebab itu ia tidak perlu ditukar namanya kepada bahasa Malaysia semata-mata untuk `menjaga hati' kaum lain. Sebaliknya wajar dikekalkan atas namanya yang sebenar, iaitu bahasa Melayu.

Selagi ada di kalangan kita berpegang kepada anggapan bahawa ia adalah `bahasa orang Melayu' maka ini dalam konteks orientasi politik di Malaysia akan menyukarkan penggunaannya bagi sesetengah pihak.

Tetapi apabila semua pihak membentuk satu tanggapan bahawa ia adalah bahasa `orang Malaysia", maka masalah itu akan seselasi dengan mudah. Sesungguhnya ia tidak wajar dilihat dari sudut perkauman tetapi hendaklah dilihat dari sudut semangat kenegaraan . Jika ini dapat dilakukan saya yakin usaha untuk memertabatkan kedudukannya sebagai bahasa rasmi negara akan berjaya sepenuhnya. Pun begitu ia perlu ada komitmen semua pihak.

Isnin, 8 Mac 2010

Faktor negeri Kedah aman , tenteram

Oleh: Salleh Saad

Pilihan raya umum ke 12 pada Mac 2008 menyaksikan landskap politik Malysia berubah dengan agak dahsyat. Parti Barisan Nasional (BN) yang memerintah lebih 50 tahun hilang 2/3 kerusi di Parlimen. Sementara di peringkat negeri (DUN) pula pakatan parti pembangkang telah menguasai beberapa buah negeri seperti Pulau Pinang, Selangor, Perak, Kelantan dan Kedah.

Namun, jika dibanding dengan beberapa negeri lain yang ditawan pakatan pembangkang itu, negeri Kedah tidak dilanda ribut politik yang dahsyat sehingga menjadi kucar kacir dan tidak tenteraam, malah sehingga ada negeri yang kemudiannya terserah kembali kepada BN.

Barangkali sesuai dengan namanya "Kedah Darul Aman" yang bermaksud Kedah negeri yang aman, ia tidak dilanda ombak besar isu-isu politik. Sebaliknya berada di dalam suasana yang aman, tenteram dan tidak memeningkan kepala rakyat.

Ketenteraman politik di negeri Kedah itu besar kemungkinan dipengaruhi oleh beberapa beberapa faktor . Antaranya ialah faktor kepimpinan. Negeri Kedah dipimpin oleh Dato' Seri Azizan Abd. Razak (Pas) yang lebih dikenali sebagai ustaz Azizan.

Saya tidak bermaksud berbincang dari segi kepartian tertentu tetapi lebih menjurus kepada karektor peribadi . Secara jauh ustaz Azizan dilihat seorang yang tenang di dalam membuat sesuatu keputusan, bijak mengurus isu , khususnya isu politik, pintar, kurang bercakap , dan mesra.

Saya rasa mungkin ciri-ciri peribadi tersebut mempengaruhi beliau di dalam kempimpinannya , baik di dalam kepimpinan partinya mahupun di dalam kepimpinan kerajaan negeri Kedah yang diterajuinya.

Selain itu rasa saya faktor lain yang boleh dikaitkan dengan `ketenangan ' politik di negeri Kedah itu ialah kemungkinan disebabkan wujudnya `repo' yang baik antara kerajaan negeri pimpinannya dengan pihak pegawai-pegawai tadbir negeri dan institusi lain di peringkat negeri.

Faktor ini pun penting, sejauh pemerhatian saya selama lebih 30 tahun berkecimpung di dalam dunia `separa politik' hubungan baik antara `orang politik' dengan `orang pentadbiran' perlu ada, terutama di peringkat negeri. Jika tidak, akan timbul masalah pentadbiran dan menyulitkan proses pelaksanaan dasar serta program dan sistem penyampaian. Implikasinya agak besar, sama ada kepada pemimpin terbabit atau parti di bawah pimpinannya. Tidak kiralah parti mana sekalipun.

Apabila rakyat jelata (massa) tidak mengetahui atau tidak terima apa-apa program atau projek pembangunan impaknya kepada politik tentulah `berat'. Saya kira ini perlu diberi perhatian oleh `orang politik', jika ingin penerimaan rakyat terhadap prtinya berterusan .

Melihat senario dan susana yang ada di negeri Kedah setakat ini saya lihat kerajaan negeri di bawah pimpinan `ustaz' Azizan sukar dilanda ombak besar, melainkan jika ada sesuatu yang tidak diduga. Bagaimanapun terpulang kepada kehendak dan ketentuan Allah Azzawajalla.

Bukti tamadun awal Kedah

Oleh: Salleh Saad

Dengan terjumpanya monumen dan batu bersurat di kampung Sungai Batu, dekat Merbok dalam daerah Kuala Muda, Kedah oleh sepasukan pengkaji arkiologi dari Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang beberapa hari lalu membuktikan negeri Kedah sebuah negeri terawal maju di rantau Asia Tenggara.

Batu bersurat dan monumen yang dijumpai itu menggambarkan ketemadunan yang dicapai negeri Kedah melebihi 1,900 tahun lama iaitu di sekitar abad pertama masihi.

Penemuan itu dan beberapa penemuan lain sebelum ini seperti candi di Batu Pahat, Merbok , menjadikan Lembah Bujang sebagai kawasan penting pusat ketamadunan awal negeri Kedah.

Kawasan Lembah bujang memang terkenal dengan `sejarah awal negeri Kedah' kerana terdapat beberapa barang bukti ketamadunan itu . Di sekitar kawasan itu, yang dahulunya dipenuhi dengan kebun dan ladang getah serta perkampungan tradisonal Melayu, kini kelihatan seperti sebuah pekan kecil.

Betapa tidaknya ! Kawasan itu kini di samping perkampungan tradisional , terdapat beberapa kawasan perumahan apabila beberapa projek perumahan dibangunkan di situ, sama ada yang telah diduduki atau sedang dalam proses pembinaan .

Selain itu, juga terdapat dua pusat pendidikan penting iaitu Uinversiti Teknologi Mara UiTM, cawangan Kedah dan Maktab Rendah Sains Mara.

Apakah penemuan itu akan menjadi inspirasi bagi meningkatkan lagi usaha untuk memajukan negeri Kedah supaya setanding dengan negeri-negeri lain di Malaysia ?

Bersama mencegah penyakit diabetes

Oleh: Salleh Saad

Catatan ini pada kali ini hanya sekadar untuk berkongsi senario penyakit kencing manis (diabetes) yang sedang dihadapi oleh sebahagian masyarakat kita di negara ini dan pada masa sama mengajak berkongsi usaha melindungi diri masing-masing daripada terkena penyakit tersebut, dengan izin Allah.

Menurut kenyataan Persatuan Diabetes Malaysia (PDM) seperti disiarkan oleh sebuah akhbar sisipan dianggarkan jumlah penghidap penyakit diabetes di negara ini hampir mencecah 2 juta orang.

Dari jumlah itu dilaporkan Melayu 1,028160, Cina 432,288, dan India 226,064. Perangkaan ini menunjukkan orang Melayu adalah yang teramai. Mungkin ada sebab-sebab tertentu terjadi demikian.

Kenapa orang Melayu mendahulu kaum lain ?

Menurut pakar ia berpunca daripada, " amalan pemakanan masyarakat Melayu banyak menyumbang kepada peningkatan kes diabetes".

Menurutnya lagi," Faktor keturunan juga menjadi penyumbang kepada penularan penyakit diabetes di kalangan kaum Melayu."

Maka di sini secara umumnya kita telah pun tahu puncanya. Apa yang patut kita usahakan bersama ialah cuba mengelak diri kita dan juga ahli keluarga daripada penyakit tersebut melalui beberapa cara, antara lain :

i) - Menjaga pemakanan kita mengikut nasihat dan panduan perubatan.

ii - Menjaga kesihatan diri mengikut keperluan serta kaedah yang digalakkan oleh bidang kesihatan.

iii - Mengamalkan cara makan mengikut garis panduan agama (Islam). Islam mengajar cara-cara tertentu dari pemakanan dan makan/minum.

iv - Mengamalkan doa-doa tertentu mengikut ketetapan agama seperti yang diajarkan oleh Rasulullah SAW dan para ulama .

v - Atau lain-lain cara yang boleh membantu pencegahan penyakit tersebut yang tidak bercanggah dengan syariat agama.

Semoga Allah melindungi kita dan ahlim keluarga dan sahabat-sahabat kita daripada menghidapi penyakit-penyakit merbahaya, amin.

Ahad, 7 Mac 2010

Pendidikan urus emosi penting untuk kawal gejala sosial

Oleh: Salleh Saad

Kebelakangan ini kalau diperhatikan masyarakat kita sedang berhadapan dengan masalah kehilangan daya mengawal emosi . Dengan sebab itu boleh dikatakan saban hari ada sahaja laporan media mengenai pergaduhan, perceraian, pertengkaran, penderaan, pembunuhan dan pelbagai gejala lagi yang boleh dihubungkait dengan emosi amarah.

Bidalan Melayu lama menyebutkan, " Ikut rasa binasa, ikut hati mati". Itu cara orang zaman dahulu kala. Orang zaman sekarang tiada lagi bidalan seumpama itu . Bahasa sekarang tiada kiasan. Terus terang sahaja. Maka dalam hal ini orang zaman sekarang menyebutnya sebagai `tekanan emosi'. Jika kita sebutnya dalam bentuk `formula' ia akan menjadi begini: rasa + hati = emosi. Namun natijahnya adalah sama: kecelakaan/kebinasaan !

Saya bukan pakar psikologi. Namun dengan berasaskan pada pemerhatian mata kepala dan mata hati saya, saya dapati senario pematuhan sesetengah manusia akan tuntutan emosi dewasa ini semakin membesar . Ini menyebabkan mereka hilang pertimbangan kewarasan akal, lalu terjadilah pelbagai angkara dan gejala `jenayah'.

Secara tanpa kajian ilmiah , kita dapat rasakan sesuatu kejadian yang bersifat jenayah itu berlaku akibat tekanan emosi marah atau geram atau dendam dan sebagainya oleh pelakunya. Sementara itu keupayaan untuk mengurus atau mengawal emosi itu hilang atau tiada.

Perbuatan seperti mencabul, merogol, mendera bayi, membuang bayi dan sebagainya dapat disimpulkan sebagai berpunca daripda terlampau ditekan oleh emosi tertentu yang tidak mampu diurus lagi .

Tekanan emosi boleh ditangani dengan banyak cara dan dari pelbagai perspektif seperti perspektif pysikologi dan agama . Jika merujuk kepada Islam ia ada caranya tersendiri . Dalam satu artikel saya yang disiarkan oleh Utusan Mlaysia pada 16 Mac 2006 saya telah sebutkan salah satu cara daripada beberapa cara yang digariskan.

Memandangkan kesan berleluasanya angkara dari kesan buruk tekanan emosi , saya berpendapat sudah sampai masanya pihak berwajib perlu mengenengahkan pendidikan pengurusan emosi ke dalam kehidupan masyarakat kita sekarang, terutama kepada golongan muda remaja . Ia mungkin boleh dimasukkan ke dalam korikulum sekolah, latihan khidmat negara, kursus-kursus di pusat latihan belia, kursus perkahwinan dan lain-lain lagi.

Pelbagai sudut pendekatan saya rasa boleh digunakan. Sama ada cara Islam, cara psikologi atau lain-lain perspektif mengikut kesesuaian atau secara gabungan kepelbagaian perspektif.

Pihak kerajaan sendiri menerusi kementerian tertentu , rasanya harus mengambil langkah dahulu untuk diikuti oleh pihak lain.

Sabtu, 6 Mac 2010

Mewajibkan pelajar asing di IPT ambil subjek bahasa Melayu: satu langkah betul

Oleh Salleh Saad

Bahasa Melayu telah dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai bahasa rasmi negara. Maknanya ia harus diperkembangkan penggunaanya secara rasmi oleh kerajaan menerusi segala saluran rasmi yang ada, termasuk kementerian, jabatan dan agensi kerajaan.

Sehubungan itu, sekalung tahniah wajar diberikan kepada kementerian pengajian tinggi yang mengembil langkah mengenengahkan dasar mewajibkan semua 65,000 orang pelajar asing yang sedang belajar di negara ini mengambil subjek bahasa Melayu. Ia merangkumi mereka yang sedang belajar di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan instititusi pengajian tinggi swasta (IPTS)

Langkah itu amat wajar. Ia bukan sahaja menepati kehendak perlembagaan tetapi juga menepati sebahagian maksud pribahasa Melayu," di mana bumi di pijak di situ langit dijunjung".

Memperkembangkan bahasa Melayu kepada pelajar asing adalah satu langkah betul bagi mengantarabangsakan penggunaan bahasa itu. Inilah salah satu kesempatan yang ada bagi kita di dalam memenuhi tujuan tersebut.

Justeru, kesempatan ini wajar dimanfaatkan sebaik-baiknya, terutama bagi yang mempunyai wibawa seperti kementerian berkenaan, untuk memperkembangkan dan sekali gus memperkasakan bahasa Melayu di peringkat global.

Saya yakin ia tidak sukar untuk dilakukan . Ini kerana kita mempunyai tenaga parkar yang mencukupi untuk merangka sukatannya bagi menyesuaikan dengan `orang asing' mempelajarinya sehingga membolehkan mereka lulus di dalam peperiksaan. Apa yang penting dasar baru itu mesti diterima baik oleh semua pihak dan bersedia untuk merealisasikannya.

Jumaat, 5 Mac 2010

Tertarik dengan cara penyelesaian isu KIBFG

Oleh Salleh Saad

Saya ikuti isu penggunaan Kotak Ikan Berinsulasi Bergred Makanan (KIBFG) dengan penuh minat. Ini kerana ada beberapa perkara yang menarik perhatian serta meruntun perasaan saya:-

i - Ia melibatkan harga ikan di pasaran. Saya suka makan ikan. Naik turun harga ikan mempengaruhi bajet harian saya.

ii - Pendekatan dan strategi serta hujah yang digunakan oleh Menteri Pertanian dan Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar dalam menangani isu ini dengan para pengimport dan pemborong ikan Malaysia.

iii - Cara para pengimport dan pemborong ikan melihat isu penggunaan KIBFG dan cara mereka memohon kerajaan menerima cadangan mereka untuk tidak menggunakan KIBFG.

Akhirnya isu ini yang pada mulanya kelihatan agak `panas' menjadi sejuk dan dapat diselesaikan secara baik dan boleh diterima oleh pihak-pihak yang terlibat.

Apa yang saya nampak pendekatan, strategi dan hujah yang digunakan oleh menteri berkenaan adalah lebih condong kepada `pendekatan perhubungan awam' (PR). Dalam hal ini nampaknya beliau berjaya. Syabas Datuk Seri !

Antara lain yang boleh dilihat ialah beliau turun padang berjumpa dengan pihak pengimport dan pemborong serta memberi penjelsan kepada mereka tentang baik buruk penggunaan KIBFG itu dari beberapa segi. Antaranya dari segi nilai maruah bangsa, ekonomi , keperluan serantau dan sebagainya.

Di samping itu beliau kelihatan dapat merungkaikan tanggapan awal terhadap akibat penggunaan KIBFG itu sebagai mewujudkan suasana `monopoli', kerana didakwa ia dipunyai oleh satu syarikat pembekal sahaja.

Namun, berasaskan laporan media (termasuk laporan wawancara dengan beliau) beliau bukan sahaja telah menjelaskan kedudukan sebenar perkara ini kepada mereka tetapi `menyediakan' mereka ruang alternatif untuk memilih pembekal.

Kaedah ini tentulah menggembirakan mereka dan sekali gus mengurangkan ketegangan emosi yang mereka hadapi terhadap isu itu.Lalu isu itu dapat diselesaikan dengan masing-masing mengambil jalan `tolak ansur' di antara satu sama lain. Inilah jalan terbaik.

Perkara pokok yang boleh dilihat di sebalik `kemelut' isu ini ialah masalah komunikasi (communication gap). Masalah jurang komunikasi ini bukan sahaja berlaku terhadap isu ini tetapi dilhat berlaku pada beberapa isu lain lagi sebelum ini. Tetapi mungkin ia kurang atau tidak diberi perhatian oleh pihak-pihak tertentu. Justeru kaedah penyelesaiannya tidak berorientasikan PR.

Jadi, apa yang saya ingin rumuskan di sini ialah jika isu-isu yang melibatkan kelompok tertentu maka diharapkan pihak-pihak berwajib lebih baik gunakan pendekatan dan strategi PR dengan sebaik mungkin. Turun padang, berjumpa, berbincang, cari jalan keluar dan dapat persetujuan secara `menang-menang' antara kedua-dua pihak dan sebagainya. Saya yakin cara ini mampu merungkaikan kekusutan dan masalah .

Nota: Pandangan ini berasaskan laporan media sahaja.

Khamis, 4 Mac 2010

Kaji dulu kesan pendidikan seks sebelum ia dilaksanakan

Bukan bertujuan untuk menafikan kebaikan pendidikan seks di sekolah , memang setiap sesuatu ada baik buruknya. Tetapi terasa ragu-ragu terhadap kesan pendidikan itu ke atas remaja kita. Setakat ini dilihat kesan buruknya lebih banyak dari kesan baiknya.

Sejauh mana ia boleh membawa kesan baik kepada para remaja kita dan mengurangkan masalah sosial di kalangan muda mudi kita. Ia masih terlalu samar. Ini kerana sekarang ini pun senario masalah tingkah laku dan masalah sosial di kalangan remaja agak menggerunkan.

Kini `pendidkian seks' boleh dikatakan berlaku secara tidak formal, atau secara `curi-curi' yang diberikan oleh media, terutama media alternatif . Itu pun sudah cukup menakutkan . Berapa banyak anak luar nikah, berapa banyak bayi dibuang di merata tempat,berapa banyak lagi bayi-bayi dibunuh dan sebagainya.

Itu adalah kesan keburukan yang boleh dilihat menerusi laporan media. Yang tidak dilaporkan tidak diketahui jumlahnya. Pendidikan seks ini jika dijadikan subjek dalam sistem persekolahan ia sudah tentu berteraskan teori di bilik darjah sahaja. Mustahil untuk dibuat praktikalnya sekali. Ini Malaysia, bukan negara Barat. Orang Timur bukan orang Barat. Agama berbeza, budayanya berbeza, sistem nilainya, norma sosialnya juga berbeza. Boleh diproseskan menjadi satu kebiasaannya. Namun hukum agama tidak akan berubah, khasnya agama Islam.

Kenyataan Persatuan Perguruan Kebangsaan (NUTP) baru-baru ini adgak menarik. Ia menyatakan guru-guru belum dilatih mengajar dalam bidang itu secara profesional. Maslah ini pun mungkin dapat diatasi menerusi pengwujudan modul latihn dan kursus tertentu. Namun masalahnya ialah kesan dari pendidikan itu jika diajar secara formal di sekolah.

Bagi pelajar Islam pendidikan seks ini terdapat dalam banyak subjek seperti fikah secara khusus dan lain-lain bidang secara umum. Oleh itu , mengapa tidak skop pengajiannya dikaji dan perdalamkan . Setakat ini pun dipercayai perkara-perkara yang berkaitan dengan `bersuci'' seperti mandi hadas dan sebagainya sudah diajar diajar . Boleh diperluas dan diperdalamkan lagi. Itupun ada kaitan dengan seks, dan banyak lagi.

Oleh itu sebelum pendidikan seks itu direalisasikan , diharap kajian yang mendalam dan meluas harus dilakukan terlebih dahulu dengan melibatkan banyak pihak , termasuk para cendakiawan Islam, agar pandangan mereka boleh dijadikan ukuran dan sebagainya, kerana sebahagian dari pelajar yang akan terdedah dengan pendidiakn itu termasuk pelajar Islam.

Rabu, 3 Mac 2010

Rakyat Malaysia patut kongsi kejayaan bersama Proton

Oleh Salleh Saad

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohammad telah diberi penghormatan untuk menyempurnakan pelancaran tiga kereta baru (konsep) Proton hasil kerjasama dengan Lotus yang dilangsungkan di Pusat Konvensyen Geneva Palexpo pada hari pertama Pameran Motor Antarabangsa Geneva ke-80 di Geneva 2 Mac lalu. Tiga kereta baru itu dikatakan sebagai `langkah strategik' untuk keupayaannya bersaing di peringkat global.

Syabas Proton Holdings Bhd ! Sebagai rakyat Malaysia saya patut berasa gembira dengan pelancaran itu, meskipun dari segi metrialnya saya tidak memperolehi apa-apa. Namun demikian, atas kesedaran bahawa proton merupakan satu-satunya syarikat kereta nasional yang ditubuhkan sejak 25 tahun lalu telah membukti kejayaannya.

Lebih jauh dari itu sebagai rakyat Malaysia, kita juga harus berterima kasih kepada Tun Dr. Mahathir kerana mengilhamkan pengeluaran kereta nasional pertama dan penubuhan Proton Holdings Bhd.

Kita semua patut ada perasaan bangga dengan kejayaan itu kerana ia mencerminkan kejayaan negara dan rakyat Malaysia seluruhnya. Kejayaan itu dan seterusnya harus menjadi kebanggaan semua rakyat Malaysia. Kini Tun Dr. Mahathir adalah penasihat kepada Proton dan perlantikan beliau ke jawatan itu adalah amat tepat , bukan sahaja sebagai untuk mengenang jasanya tetapi juga untuk menimba ideanya sama.

Sokong isu royalti minyak diselesaikan di mahkamah

Oleh Salleh Saad

Saya kira Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan mengambil langkah betul apabila mengusulkan isu royalti minyak untuk negeri itu dibawa ke mahkamah menerusi usul tergempar di dewan itu baru-baru ini dan mendapat persetujuan sebulat suara dari 45 ahli, termasuk pembangkang.

Saya berkata cara itu betul kerana saya lihat sejak isu itu timbul hanya `perbalahan' yang tidak habis-habis antara kerajaan negeri di bawah pimpinan Pas dan kerajaan pusat di bawah pimpinan Umno. Kedua-duanya parti orang Melayu. Rakyat negeri Kelantan pun majoritinya orang Melayu.

Perbelahan yang berpanjangan tidak membawa apa-apa kebaikan. Biarlah mahkamah memberi kata putus atau muktamad yang berdasarkan fakta perundangan. Kita harus percaya mahkamah akan berlaku adil terhadap semua pihak . Tidak kisah siapa yang menang atau kalah. Yang pentingnya ia tidak lagi menjadi episod perbalahan yang panjang .

Sebelum ini pun rasanya kerajaan pusat seolah-olah mahukan isu itu dimuktamadkan di mahkamah , meskipun royalti itu `diganti' dengan wang ehsan. Beberapa kenyataan daripada pemimpin tertentu Umno menggambarkan keinginan itu. Jika langkah itu menjadi kenyataan , semua kita harus terima dengan lapang dada, sekalipun mungkin ada implikasi poltiknya.

Isnin, 1 Mac 2010

Jangan ganggu suasana perkelahan dengan ceramah

Oleh Salleh Saad

Menjadikan kawasan air terjun di kaki gunung dan di pinggir hutan sebagai tempat berkelah memang patut dipuji. Ini kerana ia dapat memenuhi tujuan perkelahan itu sendiri iaitu untuk berehat-rehat dan bersantai. Lebih-lebih lagi dengan seisi keluarga.

Namun apabila di tempat-tempat begitu digunakan juga untuk tujuan mengadakan kursus-kursus tertentu seperti kursus politik ia dilihat kurang sesuai, terutama jika menggunakan pembesar suara untuk berceramah. Ini kerana yang berceramah itu bisanya orang politik. Orang politik bila berceramah biasanya menghentam pihak lawan, khususnya antara orang Melayu dari satu parti politik tertentu dengan orang Melayu di pihak parti politik lain.

Biasanya yang menjadi mangsa `hentaman' itu adalah pemimpin parti. Apabila ini berlaku di tempat-tempat perkelahan yang nyaman, aman damai, di pinggir hutan, dengan desiran air terjun ia tidak begitu sesuai. Segala-galanya itu akan hilang dek bunyinya pembesar suara dengan sekali sekala mengeluarkan nada marah, kutuk, dan macam-macam lagi.

Pengalaman saya bersama ahli keluarga dan cucu-cucu ketika berkelah di sebuah tempat perkelahan hutan lipur di selatan negeri Kedah pada 27 Februari kelmarin agak terganggu dengan bunyi suara ceramah seperti itu.

Mana-mana pihak yang hendak memilih tempat-tempat perkelahan sebagai tempat mengadakan kursus seumpama itu , saya fikir adalah lebih baik jika dibuat dalam dewan tertutup. Bagi peluang orang-orang lain yang tak berkenaan yang datang dengan niat semata-mata untuk berehat bersama keluarga dapat menikmati niat itu dengan sempurna.

Pihak yang berwajib dengan pelacongan dan penyediaan tempat-tempat seumpama itu patut sediakan dewan sesuai bagi tujuan majlis ceramah, misalnya berdinding dan tidak terbuka sehingga suara penceramah boleh didengari hingga lebih 100 meter.

Hidupkan semula budaya nasihat menasihati bagi membendung kemungkaran berleluasa

Oleh Salleh Saad

Kemungkaran boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Ia tidak memilih bulu. Siapa yang lemah jati diri kegamaannya kumngkaran akan datang melingkari diri dan hidupnya. Oleh itu jangan biarkan kemungkaran atau aktiviti kemungkaran melingkari kehidupan kita begitu lama kerana nanti akan menerima padahnya yang amat dahsyat daripada Allah SWT.

Kadang-kadang boleh jadi seseorang itu terleka dengan keseronokan kemungkaran itu sehingga terlupa siapa kita dan siapa di sekeliling kita dan siapa yang sedang memelihat pergerakan kita. Tetapi ini biasalah kerana manusia biasa.

Namun sebagai orang Melayu dan Muslim, kita ada banyak jalan keluar untuk membawa kita keluar dari lingkaran bahaya itu. Orang-orang di sekliling kita seperti ahli keluarga terdekat, rakan-akan sekerja, sahabat-sahabat, jiran-jiran tetangga dan beberapa pihak lain lagi boleh membantu kita.

Pun begitu pada mereka ada kekangan tertentu. Kekangan itu sebahagiannya adalah dari sikap kita sendiri yang mungkin disemai sejak lama menerusi proses pembudayaan dan sebagainya. Malah ia mungkin ada kaitan dengan sikap masyarakat yang sekarang ini sudah menjadi amalan hidup iaitu `tidak perlu ambil tahu hal orang lain'. Ini berikutan kesan yang akan diterima daripadanya tidak kurang juga hebatnya.

Ini semua adalah satu kepincangan sosial yang dilihat semakin hari semakin tenat. Ubat yang paling mujarab untuk menghadapi kepincangan ini ialah keperluan kepada menghidup semula budaya tegur menegur dan nasihat menasihati antara satu sama lain bagi membendung kemungkaran berleluasa dan mewujudkan kebaikan. Lagi pun `budaya' ini disuruh oleh agama kita.

Kerajaan boleh memulakannya dan harus menerajuinya sepanjang waktu, terutama menerusi kementerian yang bertanggungjawab dalam hal ehwal kebudayaan dan komunikasi. Kempen menghidup semula budaya lama yang malar faedah untuk semua itu perlu diwar-warkan dan dibesar-besarkan. Biarlah ia menjadi daging dan darah kepada generasi semasa.

Selain itu, kita sendiri yang terlibat secara langsung dengan kemungkaran yang sama ada disengajai atau tidak disengajai harus bersikap terbuka bagi menerima cara hidup begini agar segala kemungkaran yang melingkari hidup kita dapat dibendung. Segeralah memohon ampun kepada Allah dan bertekad untuk tidak mengulanginya lagi. Ingatlah ! Allah itu maha pengampun dan tiada yang boleh mengampun dari segala kemungkaran (fahisyah) melainkan Allah jua.