Isnin, 15 Mac 2010

Alahai lintah !

Oleh : Salleh Saad

Kali ini saya ingin mencatatkan sedikit mengenai lintah, namun bukan secara sainstifik kerana saya tidak mempelajari dan bukan ahlinya , sebaliknya secara pengamatan dan pengalaman yang pernah saya lalui dengannya.

Sejak di zaman kanak-kanak hinggalah remaja, saya boleh dikatakan sentiasa bergelomiang dengan lintah. Ini kerana saya dilahirkan serta dibesarkan di kampung yang di kelilingi oleh sawah padi, atau lebih dikenali di tempat saya sebagai bendang.

Lintah ialah sejenis binatang yang tiada bertulang, lembut, buruk rupa parasnya, mempunyai saiz yang berbagai-bagai - ada yang besar dan yang kecil. Paling besar sebesar jari-jari tangan orang dewasa.

Berbeza dengan pacat, lintah hidup di dalam air yang berselut atau berlumpur seperti di bendang , kubang , parit dan sebagainya .

Salah satu makanan kegemarannya adalah darah - darah binatang dan darah manusia. Pada zaman saya kecil-kecil para petani kampung saya menggunakan kerbau sebagai `jentera' untuk membajak sawah iaitu untuk menarik tenggala dan sisir . Kedua-duanya ialah alat-alat untuk menghancur selut supaya menjadi lembut dan hancur.

Oleh demikian, boleh dikatakan setiap keluarga di kampung saya ada kerbau,termasuk keluarga saya . Paling sedikit pun seekor . Justeru saya sendiri terlibat juga dengan pemeliharaan kerbau. Kerbau juga suka berada di dalam bendang kerana mudah berkubang.

Ketika berada di dalam bendang itulah , sama ada manusia atau binatang akan berhadapan dengan lintah. Ia bukan sahaja merayap di tubuh badan `mangsanya' tetapi juga menggigit dan seterusnya menghisap darah. Inilah yang sangat ditakuti oleh sebahagian manusia, terutama wanita.

Pada zaman itu sesetengah orang melihat lintah dengan penuh rasa jijik , geli dan takut. Jijik mungkin kerana rupa parasnya yang huduh , geli kerana kulitnya yang berlendir menyentuh badan dan takut kerana ia suka merayap dan menghidap darah.

Tetapi zaman sekarang saya dapati lintah telah dijadikan barang dagangan dan bahan untuk mengubati pelbagai penyakit manusia. Baru-baru ini saya telah tertonton satu siaran televesyen yang menceritakan tentang lintah sebagai `perawat' pelbagai penyakit khususnya berkaitan dengan penyakit tekanan darah, resdung dan lain-lain.

Bagi mengubat penyakit-penyakit tersebut lintah dibiarkan atau `disuruh' menggigit dan menghisap darah penghidap penyakit. Bukan seekor atau dua sahaja tetapi beberapa ekor.

Nah ! binatang yang pernah dirasa jijik , geli dan dibenci di satu ketika dulu itu kini dilihat berguna kepada kehidupan dan kesihatan manusia.

Inilah tanda kebesaran Allah - Tuhan Yang maha Berkuasa - yang kita tidak terfikirkannay sebelum ini. Sesuatu yang kita rasa tidak berguna kepada kehidupan kita akhirnya sebenarnya ia sangat berguna.

Pengajaran kepada kita dari kisah lintah ini , antara lainnya kita tidak tidak boleh melihat sesuatu itu hanya dengan rasa semata-mata tetapi mesti dengan akal dan iman. Jika pada satu ketika kita hina pihak lain kerana kita tidak memerlukannya tetapi ingat mungkin di suatu ketika lain kita akan memerlukannya dengan kudrat serta iradat Allah.

2 ulasan:

Temuk berkata...

Assalamu'alaikum Sdr Salleh
Izinkan saya singgah ke blog sdr. Pemerhatian mengenai lintah itu amat menarik. Benarlah, setiap ciptaan Allah, walaupun mungkin kita tanggap buruk, atau tidak enak, ada guna & kebaikannya. Kita sahaja yg tidak atau belum mengetahuinya. Semoga Allah terus membantu kita memahami rahsia di sebalik semua kejadianNya.

Pandangan Orang Kampung berkata...

Terima kasih sdr,
Pandangan anda dihargai dan sama-samalah kita sentiasa merenungi kejadian-Nya dan bermuhasabah diri.