Ahad, 14 Mac 2010

Bersatulah bangsaku di mana berada

Oleh : Salleh Saad

Perpecahan masyarakat Melayu Islam yang disebabkan oleh perbezaan ideologi politik di kampung-kampung dan kawasan pedalaman di negara kita bukan satu perkara yang anih lagi kerana terlalu biasa dengannya.

Cerita mengenai dua imam, nikah kahwin tidak sah, kafir mengkafir, buruk sangka antara satu sama lain sering sangat didengari mulai dekad enam puluhan hingga ke dekad lalu .

Dengan bentuk sistem nilai, sistem kekeluargaan , sosio budaya dan beberapa faktor lain yang terdapat di kampung-kampung tradisional dan pedalaman di negara kita, perkara seperti itu tidak susah untuk berlaku apabila dihasut dan diprovokasikan oleh pihak-pihak tertentu .

Namun apabila keadaan seperti itu wujud di kawasan-kawasan perumahan moden yang kebanyakan penghuninya terdiri dari kumpulan masyarakat yang jauh berbeza dari kampung tradisional , kita pasti rasa pelik.

Bagaimanapun ini cerita benar kebelakangan ini. Ketika menghadiri satu majlis kenduri kahwin di sebuah taman perumahan di daerah Pendang kelmarin (Sabtu) saya terperanjut ketika diberitahu di taman itu kini "ada dua puak".

Sejauh pengetahuan saya selama bekerja serta tinggal berbelas tahun di daerah itu saya tidak pernah temui masalah seperti itu berlaku di taman-taman perumahan moden, meskipun wujud perbezaan fahaman politik .

Tidak dinafikan di beberapa buah kampung tradisional ia memang wujud tetapi tidaklah serius sangat . Dan ia dikira sebagai `perkara biasa' kerana berlaku di kawasan perkampungan.

Dengan berlakunya perubahan dalam sistem nilai, budaya, pendidikan, sosial, sumber maklumat, pendedahan kepada pola kehidupan yang lebih baik , kita percaya cerita seumpama ini tidak patut wujud.

Oleh itu saya harap maslah ini tak usah berlaku lagi di mana-mana kawasan sekalipun, lebih lagi di kawasan taman perumahan.

Kenapa kita orang Melayu Islam yang tidak seberapa jumlahnya ini suka kepada perpecahan antara kita sesama kita. Sebaik-baiknya kita berpolitiklah secara lebih matang dan kebal dengan kasih sayang dan baik sangka sesama kita. Kita sepatutnya elakkan diri kita dari diperalatkan oleh ekstrimis politik yang merugikan masyarakat kita.

Tiada ulasan: