Selasa, 9 Mac 2010

Bahasa Melayu untuk semua

Oleh: Salleh Saad

Sejak berlangsungnya penganjuran pertandingan pidato antarabangsa bahasa Melayu (PABM) di Putrajaya pada 5 Mac 2010 lalu, banyak pihak di kalangan rakyat Malysia yang terdiri para cedakiawan Melayu dan bukan Melayu hingga ke orang awam memberi komen. Ia bukan sangat atas penganjuran itu tetapi lebih kepada keserlahan keupayaan penuturan bahasa Melayu oleh pelbagai bangsa di peringkat antarabangsa.

Penganjuran itu yang dikendalikan oleh Kementerian Pengajian Tinggi, pimpinan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, disertai oleh 56 orang peserta dari 51 buah negara dan enam buah benua. Peserta dari negara China diumumkan menjuarai pertandingan itu di peringkat antarabangsa.

Penganjuran itu sebenarnya telah memberi isyarat jelas kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan status sosio ekonmi mereka bahawa bahasa Melayu layak diletakkan setaraf dengan bahasa-bahasa utama lain di peringkat antarabangsa.

Justeru, tanpa perlu berhujah lebih panjang, tidak harus ada dari kalangan mana pihak atau dalam keadaan apa jua sekalipun untuk meragui penggunaanya. Ini maknanya bertutur dalam bahasa Melayu bukanlah sesuatu yang harus dianggap `lekeh' atau boleh membawa `malu' dan `jatuh' maruah.

Selain itu, tidak harus juga ianya dilihat dalam konteks perkauman (racisme)yang sempit. Ia tidak harus dianggap sebagai bahasa orang Melayu sahaja tetapi adalah bahasa orang Malaysia. Sebab itu ia tidak perlu ditukar namanya kepada bahasa Malaysia semata-mata untuk `menjaga hati' kaum lain. Sebaliknya wajar dikekalkan atas namanya yang sebenar, iaitu bahasa Melayu.

Selagi ada di kalangan kita berpegang kepada anggapan bahawa ia adalah `bahasa orang Melayu' maka ini dalam konteks orientasi politik di Malaysia akan menyukarkan penggunaannya bagi sesetengah pihak.

Tetapi apabila semua pihak membentuk satu tanggapan bahawa ia adalah bahasa `orang Malaysia", maka masalah itu akan seselasi dengan mudah. Sesungguhnya ia tidak wajar dilihat dari sudut perkauman tetapi hendaklah dilihat dari sudut semangat kenegaraan . Jika ini dapat dilakukan saya yakin usaha untuk memertabatkan kedudukannya sebagai bahasa rasmi negara akan berjaya sepenuhnya. Pun begitu ia perlu ada komitmen semua pihak.

Tiada ulasan: