Isnin, 29 Mac 2010

Fahamilah erti perkahwinan sebenar mengikut syariat

Pada Ahad 14 Mac lalu saya dan keluarga dijemput oleh saudara sepupu isteri saya yang tinggal di Kuala Lumpur untuk bersama-sama mereka mengiringi pengantin (anak perempuan) ke rumah pengantin lelaki di sebuah kampung dekat Kepala Batas, Seberang Prai.

Untuk tujuan tersebut mereka telah datang sehari lebih awal dan menginap di `home stay' yang disewakan di sebuah taman perumahan di Sungai Petani. Jarak antara Kepala dengan Sungai petani kira-kira 14 kilometer sahaja.

Setelah diberitahu kedatangan mereka menerusi telefon , saya dan isteri terus ke tempat penginapan mereka. Jarak antara rumah saya dengan tempat penginapan mereka itu kira-kira 10 km . Mereka datang dengan lima buah kereta, kira-kira 20 orang, termasuk kanak-kanak.

Apa yang menarik dan ingin di ketengahkan dalam ruang ini ialah pertemuan antara isteri saya, lebih-lebih diri saya sendiri, dengan keluarga saudara sepupu isteri saya itu boleh dianggap `bersejarah'.

Ini kerana sebelum itu , selama hampir 40 tahun sejak kami berkahwin saya tidak pernah bertemtu dengan saudara sepupu isteri saya itu serta keluarganya yang lain.

Sekalipun saya dan isteri kerap ke Kuala Lumpur kerana menziarahi anak-anak dan saudara-saudara lain di sana tetapi tidak pernah ke rumah mereka sebab tidak tahu di mana kawasan sebenar tempat tinggal mereka .

Apabila tiba hari mempelai pada keesokannya kami (saya dan isteri) menjemput bersama-sama kami anak-anak dan menantu serta cucu-cucu kami untuk bersama-sama mereka mengiringi pengantin perempuan (anak mereka) ke rumah pengantin lelaki. Bertambah meriah lagilah majlis mempelai pada hari itu.

Maka di situlah juga sekali lagi berlaku pertemuan antara ahli-ahli keluarga kami dengan ahli-ahli keluarga mereka dan diikuti dengan saling kenal mengenal antara kedua-dua pihak. Wujud silatur rahim baru !

Perpisahan selama hampir 40 tahun antara isteri saya dan mereka itu kerana disebabkan masing-masing membawa diri dan hal masing-masing untuk mencari rezeki Allah di bumi-Nya yang luas ini dan sebab-sebab lain . Dan pertemuan itu pun atas aturan dan kehendak-Nya jua.

Melihat detik-detik pertemuan itu saya teringat akan betapa besarnya hikmah yang Allah anugerahkan kepada umat Islam di sebalik syariat pernikahan itu sendiri.

Saya yakin jika tanpa berlakunya perkahwinan antara anak saudara sepupu isteri saya itu dengan pasangannya yang tinggal di Kepala Batas itu, dan secara kebetulan tempat tinggal kami berdekatan dengan rumah pengantin lelaki, pasti antara kami dan saudara sepupu tidak akan bertemu dan sudah tentu saya tidak akan mengenalinya serta keluarganya, yang secara tidak langsung menjadi saudara sepupu kepada saya juga.

Oleh itu, institusi rumah tangga atau perkahwinan itu tidaklah boleh dipandang ringan oleh umat Islam sendiri, ia bukan sekadar untuk menghalalkan persetubuhan tetapi lebih dari itu.

Ia adalah juga untuk menghubung serta mengeratkan silatu rahim antara kedua-dua pihak dan secara tidak langsung turut berperanan membesarkan saiz kekeluargaan antara kedua-dua belah pihak.

Menghubung silatur rahim serta memeliharanya dari terungkai sangat dituntut oleh Islam, sebab itu terdapat hadis sahih yang menyebut (maksudnya)," Tidak masuk syurga mereka yang memutuskan silatur rahim".

Namun, agak malang kebelakangan ini bila umat Islam sendiri dilihat tidak mengambil peduli pesanan Rasulullah SAW itu . Mereka seolah-olah melihat perkahwinan itu bukan dari syariat (peraturan) Allah dan Rasul-Nya, tetapi sebagai adat dan budaya sahaja yang mana boleh dipermudah-mudahkan.

Justeru, rumah tangga yang dibina mudah sangat diruntuhkan. Yang paling menyedihkan lagi apabila ada ibu bapa atau sekurang-kurangnya ibu mencampuri urusan rumah tangga anak menantu sehingga terjadi kucar kacir , malah sehingga bercerai berai.

Ia langsung tidak terbayang di fikiran mereka betapa azab Allah sedang menanti di akhirat kelak dek kerana menjadi penyebab kepada runtuhnya sebuah institusi keluarga dan terputusnya silatur rahim antara sesama umat Islam. Wa iyazubillah.

Perbuatan begini pasti tidak betul dari sisi Islam. Tanggapan sebuah rumah atau perkahwinan itu sebagai adat dan budaya adalah satu kesilapan besar kerana ia bertentangan dengan syarak.

Masyarakat Islam, terutama masyarakat Melayu perlu memahami bahawa sesebuah rumah tangga atau perkahwinan yang dibina mengikut cara Islam itu adalah satu sunnah dan justeru satu syariat , bukan adat dan budaya.

Maka dengan sebab itu , apa-apa juga yang berkaitan dengan hal-hal rumah tangga dan perkahwinan mestilah dilihat dari sudut ketetapan syarak . Maka sekiranya ada masalah berbangkit antara suami dan isteri atau anak menantu hendaklah diselesaikan mengikut cara syarak pada keseluruahnya di mana al-Quran dan al-Hadis dijadikan asas rujukan. Bukan ikut nafsu dan kata hati sahaja.

Tiada ulasan: