Isnin, 8 Mac 2010

Faktor negeri Kedah aman , tenteram

Oleh: Salleh Saad

Pilihan raya umum ke 12 pada Mac 2008 menyaksikan landskap politik Malysia berubah dengan agak dahsyat. Parti Barisan Nasional (BN) yang memerintah lebih 50 tahun hilang 2/3 kerusi di Parlimen. Sementara di peringkat negeri (DUN) pula pakatan parti pembangkang telah menguasai beberapa buah negeri seperti Pulau Pinang, Selangor, Perak, Kelantan dan Kedah.

Namun, jika dibanding dengan beberapa negeri lain yang ditawan pakatan pembangkang itu, negeri Kedah tidak dilanda ribut politik yang dahsyat sehingga menjadi kucar kacir dan tidak tenteraam, malah sehingga ada negeri yang kemudiannya terserah kembali kepada BN.

Barangkali sesuai dengan namanya "Kedah Darul Aman" yang bermaksud Kedah negeri yang aman, ia tidak dilanda ombak besar isu-isu politik. Sebaliknya berada di dalam suasana yang aman, tenteram dan tidak memeningkan kepala rakyat.

Ketenteraman politik di negeri Kedah itu besar kemungkinan dipengaruhi oleh beberapa beberapa faktor . Antaranya ialah faktor kepimpinan. Negeri Kedah dipimpin oleh Dato' Seri Azizan Abd. Razak (Pas) yang lebih dikenali sebagai ustaz Azizan.

Saya tidak bermaksud berbincang dari segi kepartian tertentu tetapi lebih menjurus kepada karektor peribadi . Secara jauh ustaz Azizan dilihat seorang yang tenang di dalam membuat sesuatu keputusan, bijak mengurus isu , khususnya isu politik, pintar, kurang bercakap , dan mesra.

Saya rasa mungkin ciri-ciri peribadi tersebut mempengaruhi beliau di dalam kempimpinannya , baik di dalam kepimpinan partinya mahupun di dalam kepimpinan kerajaan negeri Kedah yang diterajuinya.

Selain itu rasa saya faktor lain yang boleh dikaitkan dengan `ketenangan ' politik di negeri Kedah itu ialah kemungkinan disebabkan wujudnya `repo' yang baik antara kerajaan negeri pimpinannya dengan pihak pegawai-pegawai tadbir negeri dan institusi lain di peringkat negeri.

Faktor ini pun penting, sejauh pemerhatian saya selama lebih 30 tahun berkecimpung di dalam dunia `separa politik' hubungan baik antara `orang politik' dengan `orang pentadbiran' perlu ada, terutama di peringkat negeri. Jika tidak, akan timbul masalah pentadbiran dan menyulitkan proses pelaksanaan dasar serta program dan sistem penyampaian. Implikasinya agak besar, sama ada kepada pemimpin terbabit atau parti di bawah pimpinannya. Tidak kiralah parti mana sekalipun.

Apabila rakyat jelata (massa) tidak mengetahui atau tidak terima apa-apa program atau projek pembangunan impaknya kepada politik tentulah `berat'. Saya kira ini perlu diberi perhatian oleh `orang politik', jika ingin penerimaan rakyat terhadap prtinya berterusan .

Melihat senario dan susana yang ada di negeri Kedah setakat ini saya lihat kerajaan negeri di bawah pimpinan `ustaz' Azizan sukar dilanda ombak besar, melainkan jika ada sesuatu yang tidak diduga. Bagaimanapun terpulang kepada kehendak dan ketentuan Allah Azzawajalla.

Tiada ulasan: