Khamis, 1 April 2010

Gerabak komuter khas wanita satu transformasi

Oleh : Salleh Saad

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) khabarnya akan memperkenalkan gerabak khas komuternya untuk penumpang wanita bagi menjamin keselamatan dan keselesaan mereka .

Syabas ! Ia satu idea yang cukup baik - satu transformasi.

Idea itu bila direalisasikan kelak bukan sahaja dapat memberi keselesaan serta keselamatan kepada wanita tetapi juga dilihat sejajar dengan ajaran Islam dan keperluan kemanusiaan dan keadaan sosial semasa .

Namun ia perlu diperincikan lagi. Kita tunggu pengumuman mengenai keperinciannya daripada pihak KTMB. Sementara itu halaman ini ingin tahu wanita yang berkeadaan macam mana yang hendak `dikhaskan' gerabak untuk mereka.

Barangkali agaknya bukan semua. Mungkin hanya untuk mereka yang bersendirian tanpa ditemani oleh lelaki, khususnya ahli keluarga terdekat atau muhram seperti suami, anak lelaki, anak saudara lelaki, bapa, bapa saudara dan seumpama. Tetapi bukan `boy friend'.

Sedangkan mereka yang bersama dengan golongan lelaki seperti disebut di atas dan seumpama, rasanya tentu tidak menasabah untuk diasingkan.

Ini kerana logiknya apabila mereka ditemani oleh golongan lelaki berkenaan keselesaan dan keselamatan mereka, baik dari segi jenayah mahupun gangguan seksual adalah lebih terjamin.

Apapun cetusan idea itu adalah satu langkah yang sangat baik yang sewajarnya disokong. Ia tidak harus dilihat dari sudut `penganiaan atau diskriminasi gender' seperti pendapat sesetengah pihak yang kononnya `membela' nasib wanita.

Tiada ulasan: