Khamis, 1 April 2010

Harap penuhi dahulu harapan rakyat

Oleh : Salleh Saad

Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dilaporkan berlaku lagi suasana `kecuh' dan `huru hara' dan dikatakan penuh dengan `lakonan' dan `dialog' di luar konteks dan `skrip' apabila memulakan sesi kelmarin.

Ia mungkin baik untuk `diilustrasikan' tetapi tidak baik untuk ditonton. Ini kerana mereka yang melakukan itu bukan sebarangan orang dan tempat berlakunya itu juga bukan sebarangan tempat.

Sebagaimana kita semua maklum orang yang melakukan itu adalah orang terpilih dan dipilih .

Terpilih kerana kebolehan, kepakaran, keilmuan, kebijaksanaan dan sebagainya yang ada pada mereka dan barangkali tidak ada pada sesetengah orang lain.

Dipilih kerana mereka adalah segolongan individu yang dipilih oleh orang ramai yang dikenali sebagai pengundi yang berdaftar dengan sebuah suruhanjaya , dengan tujuan dan harapan yang amat jelas iaitu untuk membela nasib mereka mengikut lunas Perlembagaan dan undang-undang, sesuai dengan nilai dan sistem demokrasi bagi sesebuah negara.

Itulah harapan pengundi khususnya dan orang ramai amnya . Harapan itu terlalu tinggi, melebihi tingginya sebuah gunung yang paling tinggi di dunia ini.

Sekiranya itulah harapan pengundi dan rakyat, eloklah jika harapan itu dipenuhi terlebih dahulu sebelum memenuhi yang selain daripada itu.

Oleh itu, teramat patut mana-mana pihak sekalipun menggunakan kesempatan yang ada di tempat yang `mulia' itu sebagai wadah dan medan untuk berhujah mengenai sesuatu yang boleh mendatangkan faedah kepada rakyat secara keseluruhannya.

Tiada ulasan: