Selasa, 16 Mac 2010

Kempen beli barang tempatan mesti berterusan

Oleh : Salleh Saad


Khabarnya kempen beli barang tempatan akan dilancarkan semula tidak lama lagi dengan tema "pengguna patriotik" . Namun mampukah ia bertahan lama ?

Ini kerana sebelum ini pun kempen serupa telah diadakan beberapa lama tetapi dihentikan. Tidak diketahui secara jelas akan sebab-sebabnya.

Masyarakat Malaysia umumnya sangat suka kepada kerja seperti kata bidalan,"semangat tahi ayam". Maksudnya tidak bersungguh-sungguh dan berterusan.

Dan persoalan juga timbul kenapa kempen tersebut hendak diadakan semula ? Dan kenapa tema "pengguna patriotik" dipilih ?

Apakah kempen sebelum ini gagal dan disebabkan ada unsur ketidakpatriotisme di kalangan rakyat selaku pengguna?

Sekiranya kempen tersebut sebelum ini gagal kerana ia berpunca dari sikap tidak patriotik rakyat, maka sehubungan itu pasakkan dahulu semangat patriotisme di sanubari rakyat .

Tetapi siapakah dari kalangan rakyat yang tidak patriotik ? Adakah ia terdiri dari golongan bawahan, sederhana atau atasan ?

Masyarakat pengguna di Malaysia ada pelbagai. Sekurang-kurangnya terdapat tiga kumpulan utama, iaitu bawahan, sederhana dan atasan.

Rasanya rakyat bawahan dan sederhana kebanyakan mereka mempunyai semangat patriotik yang tinggi dan sukakan barang-barang tempatan. Salah satu sebabnya ialah kerana harganya lebih murah, senang diperoleh, tidak perlu tunggu lama-lama, dan sebagainya.

Namun bagi mereka yang mempunyai kuasa beli yang tinggi mungkin lebih suka memilih barang dari luar atau berjenama dan berkelas dunia (world class).

Keberkesanan kempen ini adalah bergantung kepada pemilihan barangan, tawaran harga, kumpulan sasar , kaedah pelaksnaan dan penggunaan medium kempen, pemilihan lokasi strategik bagi penyebaran bahan kempen dan sebagainya.

Apapun, diharapkan kempen kali ini tidak akan berkubur seperti yang pernah berlaku sebelum ini . Sebaliknya ia hendaklah lebih meluas, bersungguh-sungguh, berterusan , dan jika nak tukar pun hanya tukar tema sahaja untuk disesuaikan dengan keperluan dan kehendak semasa khalayak pengguna terhadap barangan.

Tiada ulasan: