Khamis, 25 Mac 2010

Hendaknya kita tidak terlalu ghairah berkata-kata

Oleh: Salleh Saad

Menurut al-Quran manusia dijadikan dalam hal keadaan lemah (daif). Lupa adalah sebahagian daripada sifat daif yang wujud secara semula jadi dengan kejadian manusia.

Dengan hal demikian kita mudah lupa apa yang kita cakap dan kita mudah lupa apa yang kita telah buat. Oleh itu, kita berkemungkinan akan mengulanginya semula pada suatu ketika yang kita tidak menjangkakanya.

Kita juga mudah lupa apa yang orang lain buat kebaikan kepada kita. Kita juga mungkin lupa segala pertolongan yang orang lain berikan kepada kita pada ketika kita perlukan pertolongan dan bantuan itu.

Inilah kelemahan kita dan beginilah keadaannya seperti kata peribahasa Melayu bagai "kacang lupakan kulit" dan "bagai menolong anjing tersepit".

Lantas dengan sebab itu, ada kalangan di antara kita yang sanggup `tikam kawan dari belakang ', membesarkan keaiban dari kebaikan dan sebagainya. Lebih parah lagi apabila iklim hubungan bertukar dari `kawan' menajdi `lawan'.

Justeru amat tepatlah seperti kata peribahasa Melayu," kalau nak tahu baik seseorang tanya kawan ; kalau nak tahu buruk seseorang tanya lawan (musuh).

Tidak mengapalah sebab kita manusia dan yang menjadi sasaran pun adalah juga manusia sama seperti kita . Tetapi bagaimana dengan Allah yang menciptakan kita, yang menghidupkan kita, dan akan mematikan kita . Yang memberikan kita rezeki sehingga sesetengahnya melimpah ruah dan sebagainya.

Dialah juga yang mengangkat darjat kita hingga sesetengah dari kita menjadi seseorang yang dihormati dan disegani di kalangan manusia dan sebagainya.

Semua ini sebenarnya kadang kala kita boleh lupa. Kita lupa darjat kita sudah diangkat, kita lupa rezeki kita telah dimewahkan, kita lupa kita diberikan kekuatan seperti akal, tenaga , kekuasaan dan lain-lain .

Atas sebab-sebab lupa itu juga kadang-kadang kita mudah terlajak, kita mudah terlajak dengan kata-kata, kita terlajak dengan kerja buat kita, dan kita terlajak dengan niat dan tujuan kita.

Misalnya jika ada ruang dan peluang untuk kita menghentam seseorang kita akan menghentamkannya habis-habisan, kita akan luahkan segala isi hati kita yang terpendam serta seolah-olah berdendam dengan penuh emosi dan seperti keterlaluan, bahkan sekali sekala dilihat dengan penuh keghairahan.

Tetapi kita lupa di dalam keghairahan itu ada makhluk lain bersama kita. Makhluk itulah juga yang akan membawa kita ke jalan yang tidak diredai Allah dan kita pula dek kerana dijadikan berkeadaan `lemah' kita tidak mampu mencongak bagaimana pula balasan Allah kepada kita . Oleh itu kita jangan terlalu ghairah berkata-kata kerana dibimbangi akan memakan diri kita sendiri pada satu ketika nanti.

Namun , Allah sediakan kita jalan keluar bagi kita mengatasinya. Sekiranya kita ambil jalan ajaran Islam sebagai pedumannya , maka ia sangatlah mudah . Ia sebagaimana kita sedia maklum bahawa kita disuruh supaya membanyakkan taubat dan istighfar .

Maksudnya , kita disuruh supaya memohon Allah ampunkan kita di atas segala kelupaan kita dan semoga Allah pulihkan semula ingatan kita bahawa Allah itu Maha Melihat lagi Maha Mendengar segala tutur kata kita, segala perbuatan kita dan bahkan segala bisikan hati nurani kita.

Tiada ulasan: