Khamis, 18 Mac 2010

Nikah cilik , jangan buat mudah

Oleh : Salleh Saad

Tiba-tiba sahaja pada minggu lalu meletup cerita pernikahan cilik antara kanak-kanak yang berusia sekitar 10 -11 tahun dengan lelaki dewasa yang mana perbezaan usia agak jauh. Riuh rendahlah di seluruh negara dan mengejutkan banyak pihak, termasuk menteri.

Yang riuh rendah dan mengejutkan itu bukan kerana jarak usianya tetapi kerana pernikahan cilik itu sendiri. Ini kerana ia tidak lagi berlaku di zaman ini - zaman semua kanak-kanak perlu berada di bangku sekolah. Walaupun ia mungkin pernah berlaku di zaman dahulu kala. Itu cerita lain.

Barangkali agaknya ramai di antara kita sebenarnya tidak sedar bahawa bagi umat Islam di negara ini, mereka tertakluk dengan tiga jenis utama perundangan ; iaitu undang-undang syariah yang tertulis di dalam al-Quran, al-Hadis dan Ijmak Ulamak, undang pentadbiran Agama Islam yang digubal pihak berkuasa negeri-negeri dan Wilayah Persekutuan, dan undang-undang sivil.

Bahkan di samping terikat dengan undang-undang tersebut sebagai undang-undang bertulis , secara tidak langsung kita juga masih terikat dengan peraturan sosial dan budaya bangsa kita yang disifatkan sebagai undang-undang tidak bertulis, yakni kita ada norma-norma tertentu yang mungkin berbeza dengan masyarakat , bangsa atau negara lain.

Oleh kerana adanya berbagai undang-undang dan peraturan seumpama itu di negara kita maka sayugialah kita lebih berhati-hati di dalam mengorak langkah untuk melakukan sesuatu.

Sekiranya langkah kita itu bertentangan dengan undang-undang bersurat implaksinya ialah kita akan disiasat dan didakwa. Sebaliknya jika perlakuan kita itu bertentangan dengan norma-norma masyarakat atau budaya kita, masyarakat akan menghukum kita dan sudah tentu kita akan dipandang serung oleh masyarakat.

Bahkan seterusnya jika kita melanggari semua undang-undang itu - yang bertulis dan tidak bertulis - sudah tentu padahnya lebih dahsyat dan hebat lagi yang mana kita kena hadapi dan kena tanggung.


Oleh itu, halaman ini ingin berkongsi pandangan dengan masyarakat kita sekaliannya agar jangan kita mudah lalai dan `terpa' ikut suka dan begitu sahaja. Sebaliknya hendaklah lebih berhati-hati serta berfikir panjang tentang baik buruknya sesuatu perlakuan yang kita ingin lakukan itu.

Taatilah ajaran agama, patuhilah undang-undang negara dan hormatilah norma sosial dan budaya kita.

Tiada ulasan: