Selasa, 23 Mac 2010

Orang Melayu sangat sensitif dengan warna biru dan hijau

Oleh : Salleh Saad

Assalamu alaikum,

Hari ini saya akan mencatatkan pemerhatian dan pengalaman saya mengenai nilai, sikap, kelakuan serta sensitiviti masyarakat Melayu, khususnya di luar bandar atau kampung terhadap dua jenis warna- biru dan hijau .

Isu yang ingin saya ketengahkan ini meskipun bukan dari hasil penyelidikan atau kajian kes , namun saya rasa ia sangat baik untuk dijadikan bahan renungan dan iktibar terhadap sistem nilai yang ada dalam masyarakat orang Melayu sejak sekian lama dan masih lagi hingga kini.

Pengamatan serta pengalaman ini saya lalui sejak lebih 30 tahun lalu . Ini kerana kampung sangat nostalgik buat saya . Saya bukan sahaja dilahirkan dan dibesarkan di kampung tetapi lebih dari itu.

Sewaktu bekerja dulu `pelaggan' profesion saya sebahagian besarnya terdiri dari masyarakat Melayu kampung. Bahkan ketika ini pun saya masih lagi `berhadapan' dengan masyarakat kampung kerana sebahagian besar kawasan kariah di mana saya tinggal sekarang adalah kampung-kampung tradisional Melayu.

Proses pengalaman ini memberikan saya ruang untuk diamati dan dicatatkan di ruangan ini , dengan niat supaya dapat saya kongsikan dengan pengunjung halaman ini.

Berbalik kepada sensitiviti orang Melayu terhadap dua warna yang disebutkan di tas tadi, pada hemat saya berlakunya hal ini ada kaitan dengan sentimen terhadap ideologi-ideologi parti politik. Ia kerana kedua-dua jenis warna tersebut ada hubung kait dengan parti-parti utama orang-orang Melayu.

Justeru, tidak mengejutkan jika kita mengunjungi kampung-kampung tradisional Melayu , atau berhadapan dengan penduduk-penduduknya kita akan bertemu dengan susana pewarnaan ini, yang jika silap langkah kita akan berdepan dengan isu-isu lain pula.

Kedua-dua jenis warna itu boleh dilihat sama ada pada pakaian, rumah, pagar rumah , gerai-gerai makan, bangunan-bangunan awam seperti dewan `orang ramai', garaj kereta , bahkan bangunan-bangunan ibadat seperti surau atau masjid.

Realitinya warna-warna tertentu itu menjadi simbol kepada kecenderungan penduduknya terhadap mana-mana ideologi parti tertentu yang khusus bagi orang Melayu.

Juga ia memberi petunjuk baik kepada kita untuk cara mana kita boleh berinteraksi dengan mereka dengan lebih mudah, terutama sekiranya kita `orang luar' yang ingin berurusan dengan kampung-kampung tertentu.

Bagaimanapun sikap begini bukan berlaku pada setiap kampung dan setiap orangnya. Ia berlaku pada mereka yang sangat taksub dengan ideologi partinya sahaja. Namun kesannya agak besar juga, lebih-lebih lagi jika kita ingin berurusan dengan mereka.

Saya percaya perasaan terlalu sensitif sebegini akan terus membara dan berterusan pada kehidupan masayarakat Melayu di kampung-kampung jika ada pihak-pihak tertentu , khususnya pemimpin politik membakarnya dari luar.

Ini adalah satu bentuk `assabiah'. Warna dijadikan elemen dalam pembentukan assabiah terhadap ideologi politik di kalangan masyarakat Melayu. Tujuannya memang baik supaya pengikut menjadi lebih `setia' kepada parti. Tetapi dari segi kemasyarakatan dan perhubungan dilihat tidak begitu baik.

Saya rasa suasana seperti ini tidak berlaku dalam sistem nilai masyarakat bukan Melayu .

Kita juga perlu ingat bahawa warna adalah sebahagian makhluk ciptaan Allah yang indah bukan untuk dirinya sahaja tetapi juga untuk mengindahkan lagi kehidupan dan perasaan manusia.

Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab bersama supaya jangan mengambil dan menjadikan warna-warna tertentu sebagai elemen assabiah yang melampau kerana ia merugikan . Dekatilah ia dengan penuh kebijaksanaan.

2 ulasan:

ROBAH berkata...

Pengaruh warna, juga dikaitkan dengan mood dan suasana semasa, contoh jika berlaku kematian, ada bangsa yang berpakaian hatim tanda berkabong, berpakaian putih dilihat berjiwa bersih.

Masyarakat bukan Melayu juga ada pengaruh warnanya tetapi tidak dari segi politik. Merah bagi kalangan masyarakat cina membawa tuah, berpakaian merah menggambarkan kegembiraan.

Saya bersetuju, pengaruh warna di kalangan masyarakat melayu agak lain kerana dikaitkan dengan fahaman politik dan dikaitkan juga kononnya warna hijau itu warna Islam, warna syurga.

Fenomena ini, lebih berat, sehingga majlis kenduri, ada air minuman warna hijau dan ada pula yang menunggu, penyokong baru nak minum atau tidak air hijau. Terdapat juga penyokong biru berkata air hijau hanya layak untuk membasuh tangan selepas makan sahaja.

Pandangan Orang Kampung berkata...

Terima saudara,
Sebab itulah saya katakan warna itu indah lagi mengindahkan...oleh itu, kenapa tidak digunakannya untuk mengindahkan kehidupan.....