Ahad, 21 Mac 2010

Perjuangan Perkasa sama dengan perjuangan UMNO ?

Oleh : Salleh Saad

Selaku rakyat Malaysia saya sentiasa mengikuti perkembangan isu-isu yang berkaitan dengan kenegaraan. Ini termasuk pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan aktiviti-aktiviti yang dijalankan mereka seperti yang dilaporkan media.

Maka tidak ketinggalan dalam hubungan ini Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang dipimpin oleh Datuk Ibrahim Ali, seorang Ahli Parlimen (Bebas) dari Kelantan.

Mengikuti perkembangan , program dan aktiviti pertubuhan tersebut menerusi media massa, saya dapati ia sangat lantang memperjuang serta mempertahankan semua hak dan institusi yang berkaitan dengan orang Melayu di negara ini.

Perkara-perkara yang dipertahankannya itu saya lihat kesemuanya telah dimaktubkan dan institusikan di dalam Perlembagaan Persekutuan yang mana telah diterima oleh semua pihak dan menjadi teras kepada pemerintahan negara.

Namun, ia dikatakan mendapat kritikan dari beberapa pihak tertentu yang memandangnya sebagai condong kepada satu kaum tertentu sahaja.

Sebenarnya saya rasa kewujudan Perkasa adalah lantaran merasakan institusi-institusi yang berkaitan Melayu yang dimaktub di dalam Perlembagaan tercabar selepas Pilihan Raya Umum ke -12, 2008 lalu dan ada keperluan kepada sebuah badan sepertinya untuk mempertahankan kepentingan-kepentingan tersebut.

Justeru, sangat wajarlah saya kira baginya mendapat sokongan padu dari semua pihak agar perjuangan mempertahankan institusi-institusi berkaitan Melayu yang termaktub di dalam Perlembagaan itu dapat diteruskan dengan jayanya.

Jika UMNO pada zaman permulaan pertubuhannya di sekitar penghujung tahun 1940-an dahuluh mendapat bantahan dan kritikan sesetengah pihak yang berkepentingan pada waktu itu, maka Perkasa juga saya lihat menghadapi kekangan dan cabaran yang hampir sama.

Jika dahulu UMNO berjuang untuk menentang gagasan Malayan Union kerana dianggap mengancam kedudukan dan hak-hak tertentu orang Melayu tidak disenangi oleh sesetengah pihak , maka begitu juga kini dilihat Perkasa menghadapi keadaan yang hampir sama.

Cuma perbezaannya pada ketika itu UMNO memperjuangkan serta mempertahankan `hak-hak' dan kepentingan orang Melayu adalah untuk menginstitusikan hak-hak dan kepentingan itu di dalam Perlembagaan yang akan diwujudkan, sedangkan apa yang dilakukan Perkasa ketika ini adalah mempertahan hak-hak yang telah diinstitusikan supaya tidak hilang.

Saya amat bersetuju dengan pendapat sesetengah pihak bahawa Perkasa telah banyak berjasa kepada orang-orang Melayu khususnya dan negara negara amnya di mana hak-hak dan kepentingan institusi berkaitan Melayu tercabar.

Oleh itu,sebagai rakyat Malaysia saya kira wajarlah kita memberi sokongan kepada perjuangan Perkasa, selagi mana ia tidak bertentangan Perlembagaan dan undang-undang negara .

Saya amat bersetuju dengan pendapat sesetengah pihak bahawa Perkasa telah banyak berjasa kepada orang-orang Melayu ketika ini dan ketika hak-hak dan kepentingan institusi berkaitan Melayu tercabar.

Tiada ulasan: