Rabu, 10 Mac 2010

Pilihan raya kerajaan tempatan tidak perlu

Oleh: Salleh Saad

Kerajaan negeri Pulau Pinang baru-baru ini dilaporkan telah membuat permohonan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengadakan pilihan raya bagi memilih ahli-ahli majlis mesyuarat kerajaan tempatan. Juga turut mengambil langkah sama negeri Selangor. Kedua-duanya adalah negeri yang ditadbir parti Pakatan Rakyat.

Memilih ahli majlis mesyuarat kerajaan tempatan melalui sistem pilihan raya telah pertama kali diadakan beberapa tahun sebelum merdeka. Saya masih ingat ketika itu di tempat saya ada beberapa calon mengambil bahagian. Waktu itu saya dalam darjah satu.

Setelah merdeka pilihan raya seumpama itu sudah tidak ada lagi. Saya kurang jelas sama ada ia dimansuhkan atau tidak. Dalam Perlembagaan dinyatakan ada tiga jenis kerajaan, iaitu kerajaan Persekutuan, kerajaan Negeri, dan kerajaan Tempatan. Sesudah merdeka hingga sekarang yang diadakan pilihan raya untuk memilih ahli-ahlinya ialah kerajaan Persekutuan dan kerajaan Negeri.

Melihat kepada bagaimana pilihan raya untuk kedua-dua jenis kerajaan itu diadakan, saya berpendapat pilihan raya untuk kerajaan Tempatan yang dicadangkan itu tidak perlu lagi. Sudah cukup setakat ini dengan dua jenis kerajaan itu.

Ia kerana salah satu elemen yang dilihat sangat popular dalam sistem pilihan raya yang diadakan ialah kempen . Tetapi gaya berkempen di Malaysia nampaknya lain dari yang lain kerana ia digunakan untuk menghentam peribadi `lawan' habisa-habisan , semata-mata bagi menawan hati pengundi.

Gaya berkempen semacam inilah yang dilihat tidak sihat kerana boleh membawa kepada perpecahan masyarakat dan seterusnya rakyat. Lihatlah sejak pilihan raya umum 2008 diadakan hingga sekarang, seolah-olah kita masih berada di dalam `suasana' kempen pilihan raya. Inilah gaya kita berkempen.

Lainlah jika gaya kita berkempen lebih mmengutamakan atau menjurus kepada menonjol atau mempamerkan kebolehan diri seperti gaya kepimpinan, hala tuju yang jelas, dan sebagainya sebagai senjata menawan hati pengundi dan orang ramai.

Selain itu, jika sistem pilihan raya diwujudkan untuk memilih ahli-ahli majlis mesyuarat kerajaan tempatan saya lihat akan wujud beberapa kerumitan , terutama untuk menentukan siapakah `pengundi' sebenar ? Apakah ia perlu kepada pendaftaran ? Adakah ia hanya untuk pemastautin sahaja atau terlibat juga mereka yang tinggal sementara ? Dan banyak lagi.

Oleh itu, saya fikir tidak perlulah memilih ahli majlis mesyuarat kerajaan tempatan melalui sistem pilihan raya. Sebaliknya buatlah seperti yang sedia ada. Lantiklah mereka yang layak yang boleh memberi perkhidmatan yang cemerlang, adil dan saksama kepada orang ramai. Lagi pun sistem yang sedia ada masih boleh diterima rakyat .

Tiada ulasan: