Selasa, 30 Mac 2010

Satu pengorbanan besar AJK UMNO Bukit Bendera

Oleh : Salleh Saad


Saya cukup terharu dengan semua 36 orang ahli jawatankuasa (AJK) UMNO Bahagian Bukit Bendera, terutama sekali ketuanya, Abd. Jalil Ariffin yang telah mengambil kata sepakat melepaskan jawatan masing-masing kelmarin bagi membolehkan Datuk Ahmad Ismail, bekas Ketua Bahagian, mengambil alih semula jawatan tersebut.

Seperti sedia maklum, Datuk Ahmad Ismail terlepas jawatannya dan digantung dari parti (UMNO) pada tahun 2008 lalu atas sebab-sebab yang dikaitkan dengan membuat `kenyataan perkauman' pada suatu majlis ceramah semasa kempen Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh.

Pihak yang mengaitkan itu pula bukanlah dari dalam bahagian berkenaan tetapi dari luar bahagian, meski pun berada dalam satu `khemah'. Dari segi hala tuju perjuangan dan khidmat bakti, rasanya tiada perbezaan. Jadi, bila berlaku `peristewa' itu nampak seperti `kawan makan kawan' sahaja.

Bagaimana pun perkara itu telah beberapa tahun berlalu. Tapi kuasa Allah siapa tahu. Bila sampai masanya segala-galanya boleh berlaku tanpa disangka-sangka. Bak kata orang, kebenaran akan datang bila-bila masa sahaja, asalkan sabar dan jujur di dalam melakukan sesuatu untuk bangsa, agama dan negara.

Nah ! Sekarang tanpa didorong oleh perasaan `taksub' atau kerana `wang' mereka yang telah `mengambil alih' tempat beliau itu merasakan perlu melakukan sesuatu bagi mengembalikan `hak' kepada tuanpunya yang sewajarnya .

Oleh itu, atas prinsip kejujuran dan atas rasa kesedaran bahawa `yang benar itu benar' dan yang `batil itu batil' mereka dengan suka rela dan lapang dada menyatakan hasrat secara beramai-ramai untuk mengambalikan semula `hak' itu kepada Datuk Ahmad Ismail .

Justeru, masyarakat Melayu Islam, khususnya UMNO sendiri harus melihat perkara itu dengan penuh positif dan amat wajar menghargai pengorbanan yang ditunjukkan oelh mereka terbabit, terutama Ketua Bahagian sendiri, Abd. Jalil Ariffin.

Ini kerana kita harus akui bahawa dalam konteks persekitaran dunia sekarang tindakan seperti mereka lakukan itu sukar untuk kita temui, malah ramai yang lebih gemar kepada merebut-merebut. Maka itu tindakan mereka merupakan satu pengorbanan yang amat besar.

Sekiranya dari segi perlembagaan parti tidak menimbul apa-apa masalah dan kerumitan, eloklah ia terus direalisasikan . Tidak perlu banyak bicara lagi.

Bagaimanapun, apa yang telah berlaku ke atas Datuk Ahmad Ismail dulu itu amat baik untuk dijadikan pengajaran manakala apa yang dilakukan oleh semua AJK sekarang amat wajar dijadikan teladan .

Tiada ulasan: