Jumaat, 5 Mac 2010

Tertarik dengan cara penyelesaian isu KIBFG

Oleh Salleh Saad

Saya ikuti isu penggunaan Kotak Ikan Berinsulasi Bergred Makanan (KIBFG) dengan penuh minat. Ini kerana ada beberapa perkara yang menarik perhatian serta meruntun perasaan saya:-

i - Ia melibatkan harga ikan di pasaran. Saya suka makan ikan. Naik turun harga ikan mempengaruhi bajet harian saya.

ii - Pendekatan dan strategi serta hujah yang digunakan oleh Menteri Pertanian dan Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar dalam menangani isu ini dengan para pengimport dan pemborong ikan Malaysia.

iii - Cara para pengimport dan pemborong ikan melihat isu penggunaan KIBFG dan cara mereka memohon kerajaan menerima cadangan mereka untuk tidak menggunakan KIBFG.

Akhirnya isu ini yang pada mulanya kelihatan agak `panas' menjadi sejuk dan dapat diselesaikan secara baik dan boleh diterima oleh pihak-pihak yang terlibat.

Apa yang saya nampak pendekatan, strategi dan hujah yang digunakan oleh menteri berkenaan adalah lebih condong kepada `pendekatan perhubungan awam' (PR). Dalam hal ini nampaknya beliau berjaya. Syabas Datuk Seri !

Antara lain yang boleh dilihat ialah beliau turun padang berjumpa dengan pihak pengimport dan pemborong serta memberi penjelsan kepada mereka tentang baik buruk penggunaan KIBFG itu dari beberapa segi. Antaranya dari segi nilai maruah bangsa, ekonomi , keperluan serantau dan sebagainya.

Di samping itu beliau kelihatan dapat merungkaikan tanggapan awal terhadap akibat penggunaan KIBFG itu sebagai mewujudkan suasana `monopoli', kerana didakwa ia dipunyai oleh satu syarikat pembekal sahaja.

Namun, berasaskan laporan media (termasuk laporan wawancara dengan beliau) beliau bukan sahaja telah menjelaskan kedudukan sebenar perkara ini kepada mereka tetapi `menyediakan' mereka ruang alternatif untuk memilih pembekal.

Kaedah ini tentulah menggembirakan mereka dan sekali gus mengurangkan ketegangan emosi yang mereka hadapi terhadap isu itu.Lalu isu itu dapat diselesaikan dengan masing-masing mengambil jalan `tolak ansur' di antara satu sama lain. Inilah jalan terbaik.

Perkara pokok yang boleh dilihat di sebalik `kemelut' isu ini ialah masalah komunikasi (communication gap). Masalah jurang komunikasi ini bukan sahaja berlaku terhadap isu ini tetapi dilhat berlaku pada beberapa isu lain lagi sebelum ini. Tetapi mungkin ia kurang atau tidak diberi perhatian oleh pihak-pihak tertentu. Justeru kaedah penyelesaiannya tidak berorientasikan PR.

Jadi, apa yang saya ingin rumuskan di sini ialah jika isu-isu yang melibatkan kelompok tertentu maka diharapkan pihak-pihak berwajib lebih baik gunakan pendekatan dan strategi PR dengan sebaik mungkin. Turun padang, berjumpa, berbincang, cari jalan keluar dan dapat persetujuan secara `menang-menang' antara kedua-dua pihak dan sebagainya. Saya yakin cara ini mampu merungkaikan kekusutan dan masalah .

Nota: Pandangan ini berasaskan laporan media sahaja.

Tiada ulasan: