Ahad, 28 Mac 2010

Siapakah patut jadi calon BN Parlimen Hulu Selangor ?

Oleh : Salleh Saad

Siapakah yang akan mewakili Barisan Nasional (BN) untuk Parlimen Hulu Selangor yang kosong berikutan penyandangnya Datuk Dr. Zainol Abidin Ahmad 71, dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) meninggal dunia baru-baru ini?

Inilah persoalan yang berligar-ligar di kepala pemerhati politik di negara ini khususnya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dilaporkan akan bemesyuarat dan menugumumkan tarikh penamaan calon dan pembuangan undi pada 2 April (Jumaat) ini.

Antara UMNO dan MIC nampaknya awal-awal lagi sudah mencadangkan bakal calon masing-masing kerana mendakwa ada kemenasabahan untuk meletakkan tokoh masing-masing sebagai calon di kawasan tersebut.

Bagi MIC, mereka mendakwa menduduki kerusi kawasan itu sejak tahun 1990 lagi. Orang mereka yang dipilih mewakili BN ialah Datuk G. Palanivel. Beliau adalah Timbalan Presiden MIC, maknanya bukan calang-calang orang.

Beliau kalah pada pilihan raya umum lalu di tangan Datuk Dr. Zainol Abidin Ahmad dengan kekalahan tipis iaitu 198 undi sahaja.

Justeru, pada kali ini nama beliau sekali lagi dicadangkan pucuk pimpinan MIC, Datuk Seri Samy Vellu untuk dipilih pucuk pimpinan BN sebagai calon.

Pada masa sama UMNO juga dilihat ada kemenasabahan untuk mewakili kawasan itu kerana berdasarkan nisbah pengundi iaitu 53.94 peratus Melayu, India 18.98 peratus, Cina 26.67 peratus dan lain-lain 0.41 peratus.

Setakat ini, mengikut laporan media individu yang mungkin dipilih bagi pihak UMNO ialah Tan Sri Muhammad Muhd. Taib. Beliau adalah bekas Menteri Besar. Juga bukan calang-calang orangnya di Selangor.

Dari satu sudut `perebutan' ini memang tidak sihat kerana boleh berlaku perpecahan undi akibat adanya keadaan ketidakpuasan hati oleh pihak yang gagal dipilih.

Isu ini akan timbul sebab masing-masing mendakwa ada kemenasabahan. Maka keputusannya haruslah berdasarkan kebijaksanaan dan keterbukaan masing-masing dalam permuafakatan BN itu sendiri.

BN patut menang di kawasan itu . Ini kerana ketiga-tiga DUN di bawah kawasan Parlimen itu semuanya dibolot oleh BN. Oleh itu mengapa tidak Parlimennya ?

Maka mungkin kemenangan arwah Datuk Dr. Zainol Abidin Ahmad yang mewakili PKR pada PRU 2008 itu atas sifat ketokohan dirinya, bukan partinya.

Jika ini diambil kira, maka untuk kali ini BN harus memilih seseorang yang dilihat sebagai tokoh oleh pengundi. Tidak kira dari parti UMNO atau MIC.

Ketokohan seseorang itu hendaklah bukan darti sudut pandangan pucuk pimpinan BN sahaja tetapi hendaklah lebih kepada apa yang dilihat oleh pengundi.

Selain Tan Sri Muhammad Taib (UMNO) dan Datuk G. Palanivel (MIC) mungkin ada banyak lagi `tokoh-tokoh' yang disenaraikan oleh BN.

Untuk memastikan kedudukan siapakah tokoh yang sebenar dari sudut pandang pengundi saya rasa amat baik jika pihak BN mulai sekarang membuat satu kajian pendapat umum mengenai `ketokohan' individu yang dicadangkan.

Kaedah ini dlihat paling baik untuk mengelak kemungkinan berbangkit perasaan ketidakpuasan hati oleh pihak-pihak yang tidak terpilih dan sekali gus mengurangkan ketegangan perasaan dan mental menjelang hari berkempen dan seterusnya.

3 ulasan:

Basuh Baju berkata...

Tolonglah jangan amek calon2 yang dah tua spt Mat Taib. Kami generasi muda ni rasa bagilah peluang kepada generasi muda.

Kalau Tun Mahathir pun boleh bersara dari politik kenapa tidak pemimpin di zaman beliau?

M. FITRI RAHMAN berkata...

Pembahagian kawasan2 pilihan raya di kalangan parti-parti komponen BN telah ditentukan. parlimen Hulu Selangor adalah kawasan MIC. Walaubagaimanapun hal ini adalah tidak mutlak, bergantung kepada kebijaksanaan Pengerusi BN.

Pandangan Orang Kampung berkata...

Terima kasih kerana sudi berkongsi pandangan. Dalam politik perkiraannya bukan begitu. Itu hanya `tradisi' permuafakatan sahaja. Ia boleh berubah bila-bila masa mengikut keadaan. Perjalanan hidup politik sangat anjal. Sifir politik tidak sama dengan sifir matematik. Dan dalam politik tidak boleh menggunakan sifir matematik, nanti susah kemudiannya. Cuba lihat kenyataan PM yang disiarkan media hari ini. Ia satu kenyataan yang amat baik untuk rujukan.