Rabu, 3 Mac 2010

Sokong isu royalti minyak diselesaikan di mahkamah

Oleh Salleh Saad

Saya kira Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan mengambil langkah betul apabila mengusulkan isu royalti minyak untuk negeri itu dibawa ke mahkamah menerusi usul tergempar di dewan itu baru-baru ini dan mendapat persetujuan sebulat suara dari 45 ahli, termasuk pembangkang.

Saya berkata cara itu betul kerana saya lihat sejak isu itu timbul hanya `perbalahan' yang tidak habis-habis antara kerajaan negeri di bawah pimpinan Pas dan kerajaan pusat di bawah pimpinan Umno. Kedua-duanya parti orang Melayu. Rakyat negeri Kelantan pun majoritinya orang Melayu.

Perbelahan yang berpanjangan tidak membawa apa-apa kebaikan. Biarlah mahkamah memberi kata putus atau muktamad yang berdasarkan fakta perundangan. Kita harus percaya mahkamah akan berlaku adil terhadap semua pihak . Tidak kisah siapa yang menang atau kalah. Yang pentingnya ia tidak lagi menjadi episod perbalahan yang panjang .

Sebelum ini pun rasanya kerajaan pusat seolah-olah mahukan isu itu dimuktamadkan di mahkamah , meskipun royalti itu `diganti' dengan wang ehsan. Beberapa kenyataan daripada pemimpin tertentu Umno menggambarkan keinginan itu. Jika langkah itu menjadi kenyataan , semua kita harus terima dengan lapang dada, sekalipun mungkin ada implikasi poltiknya.

Tiada ulasan: