Khamis, 11 Mac 2010

Terima kasih kerajaan kerana mansuhkan bayaran wad hospital

Oleh: Salleh Saad


Selaku pesara kerajaan dan mempunyai sebahagian anak-anak dan menantu yang sedang berkhidmat dengan kerajaan, saya rasa tidak adillah jika saya tidak berterima kasih kepada kerajaan kerana memansuhkan bayaran wad bagi kakitangan kerajaan dan pesaranya yang mendapat rawatan di hospital kerajaan mulai 1 April ini.

Saya percaya bukan saya seorang sahaja yang patut berasa demikian tetapi juga hampir dua juta lagi kakitangan kerajaan dan pesaranya di seluruh negara. Tindakan kerajaan itu menggambarkan betapa kerajaan mengambil berat terhadap kebajikan kakitangannya , bahkan bekas kakitanganya juga.

Ini kerana ia dapat mengurangkan sebahagian dari bebanan kewangan yang terpaksa dihadapi oleh kakitangan kerajaan dan pesaranya ketika memerlukan rawatan perubatan dan kesihatan di hospital, terutama bagi mereka di peringkat sederhana dan rendah. Langkah itu juga amat bertepatan dengan slogan "rakyat didahulukan".

Ini bermakna segala `titik peluh' yang dicurahkan kepada kerajaan selama berkhidmat dan sesudahnya tidak dipersia-siakan begitu sahaja. Malah sekali gus saya lihat ia memperlihatkan satu lagi ciri ketokohan dan kebijaksanaan Datuk Seri Najib Razak dalam strategi mewujudkan `repo' yang baik antara kerajaan dengan kakitangan dan pesara perkhidmatan awam. Terima kasih kerajaan !

Tiada ulasan: