Rabu, 24 Mac 2010

Tidak perlu tukar prinsip Rukunegara

Oleh: Salleh Saad

Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Pas-Marang) mencadangkan di Parlimen baru-baru ini supaya prinsip pertama Rukunegara ditukar daripada kepercayaan kepada Tuhan kepada kepercayaan kepada Allah.

Menurut laporan media, alasan yang diberikan Hadi adalah kerana orang bukan Islam kini telah `menerima kalimah Allah'.

Membincang isu agama di Malaysia adalah sesuatu yang sangat sensitif dan memerlukan langkah lebih berhemah dan berhati-hati. Jadi, tidak perlulah kita bincang isu tersebut dengan lanjut.

Berbalik kita kepada isu cadangan menukar istilah `tuhan' dalam prinsip Rukunegara yang pertama itu kepada Allah. Pada pandangan saya ia tidak perlu . Lebih baik kekalkan sahaja dengan istilah tuhan seperti sedia ada.

Ini kerana, penggubalannya berasaskan penelitian terperinci serta mendalam oleh beberapa pihak terbabit, termasuk Majlis Perundingan Negara (MPN) yang diwujudkan tidak lama selepas peristewa 13 Mei 1969.

Persoalan mengapa memilih istilah tuhan dan tidak Allah ini telah dibangkitkan sejak lama. Jika tidak salah ingatan saya, sewaktu menghadiri kursus `pemahaman dasar-dasar kerajaan' di awal tahun 1970-an selepas memasuki perkhidmatan awam , persoalan ini telah dibangkitkan dan jawapan yang diberikan sangat mudah tetapi cukup meyakinkan, iaitu untuk disesuaikan dengan kepelbagaian agama di negara ini serta kepelbagaian `ketuhanan' mengikut kepercayaan agama masing-masing.

Fakta ini adalah satu realiti yang sangat jelas, bukan pada waktu itu dan sebelumnya sahaja tetapi hingga ke hari ini. Allah tuhan bagi penganut Islam, manakala agama lain ada tuhan-tuhan mereka tersendiri seperti budha, hindu, kristian, sikh dan sebagainya.

Tetapan kepercayaan kepada tuhan pada prinsip Rukunegara itu adalah, antara lain sebagai menunjukkan bahawa seluruh rakyat negara ini harus beragama, mengikut kepercayaan masing-masing dan menolak fahaman komunisme.

Seperti sedia maklum asas pemerintahan negara ini sejak merdeka adalah `sistem demokrasi berparlimen dan Raja berperlembagaan' . Rukunegara dianggap sebagai `ideologi negara'yang terdapat padanya lima cita-cita dan lima rukun (tidak perlu diperincikan)

Kepercayaan kepada Allah adalah menjadi salah satu rukun kepada Rukun Iman. Sesiapa yang suka rela menerima Islam sebagai agamanya maka wajib baginya mempercayai Allah sebagai tuhannya seperti tetapan dalam rukun iman.

Jadi, kenapa kita harus kelirukan antara rukun negara dan rukun iman ? Jangan banyak sangat wujudkan keadaan celaru dan keliru di dalam masayarakat kita, terutama masyarakat Melayu Islam yang disebabkan oleh sedikit kepentingan politik.

Tiada ulasan: