Khamis, 11 Mac 2010

Warga emas bukan warga `sampah'


Sebuah akhbar harian arus perdana melalui laporan beritanya 10 Mac lalu memetik kenyataan Pengarah Bahagian Warga Tua dan Keluarga Jabatan kebajikan Masyarakat (JKM) , Mohd. Hafizal Mohd. Salleh sebagai berkata, statistik Jabatan Perangkaan menunjukkan jumlah warga emas meningkat dua kali ganda antara 2010 hingga 2035.

Menurutnya , bilangan warga emas di Malaysia ketika ini adalah 1.8 juta orang atau tujuh peratus daripada jumlah penduduk. Ia dijangka meningkat kepada 3.4 juta orang atau 10 peratus menjelang tahun 2020 dan seterusnya 5.1 juta pada 2035.

Ketika ini saya adalah termasuk dalam jumlah warga emas yang dinyatakan itu . Saya bersyukur kerana dipanjangkan umur dan masih boleh membuat sesuatu untuk agama, masyarakat dan negara.

Warga emas adalah umumnya mereka yang berusia 50 tahun ke atas. Mereka adalah salah satu kelompok dalam kehidupan manusia . Mereka wujud dalam semua sektor sosio ekonomi. Sebahagian dari mereka terdiri dari kumpulan yang telah meninggalkan bidang kerjaya masing-masing kerana `cukup umur' untuk bersara atau sebab-sebab lain .

Namun terdapat juga segelintir yang terus mencari kerjaya baru atau ditawarkan menyambung kerjaya lama sesudah bersara apabila tenaganya masih diperlu oleh institusinya.

Apapun yang pentingnya warga emas bukan warga `sampah'. Mereka boleh terus memberi khidmat atau bakti kepada agama, masyarakat dan negara menerusi pelbagai cara mengikut bakat, kebolehan, idea dan sebagainya yang dianugerahkan tuhan kepada mereka .

Sementara bagi orang Islam, di samping mereka boleh terus menyumbang khidmat bakti kepada masyarakat dan negara mereka sepatutnya juga mengambil peluang serta ruang yang semakin sedikit itu untuk lebih mendekati tuhan. Maknanya membanyakkan amal soleh dan ibadat (sunat). Ini sebagai bekalan untuk akhirat.

Menganggap warga emas sebagai `beban' kepada sesiapa adalah sesuatu yang tidak wajar. Adalah menjadi kewajipan kepada setiap individu, lebih lagi anak-anak untuk `menjaga' orang tuanya sementara mereka masih hidup.

Kita di Malaysia agak bernasib baik kerana pihak kerajaan sangat prihatin terhadap warga emas. Sebuah kementerian diwujudkan khusus yang antara lain berfungsi untuk menjaga warga emas yang tiada dipedulikan waris. Kempen masyarakat penyayang pernah diadakan bagi menyedarkan masyarakat , namun kesannya kurang jelas.

Masyarakat harus melihat isu ini dengan penuh perhatian serta keinsafan. Dengan itu barulah wujud keadaan di mana sesetengah warga emas tidak terbiar .

Oleh itu , peningkatan jumlah warga emas di negara ini tidak harus dilihat sebagai cabaran kepada pihak kerajaan sahaja bagi menyediakan mereka prasarana tertentu, seperti tempat kediaman, perubatan , kesihatan dan lain-lain. Seluruh masyarakat termasuk NGO, institusi dan orang perseorangan perlu mengambil bersama tanggungjawab ini. Harus diingat semua orang akan menjadi warga emas bila sampai masanya.

Tiada ulasan: