Jumaat, 30 April 2010

Menyeluruhkah peyediaan kemudahan asas kita ?

Utusan Malaysia hari ini menyiarkan laporan di muka 16 mengenai seorang warga emas di sebuah kampung di Hulu Tembeling dekat Jerantut, Pahang menanggung `seksa' selama lima jam semata-mata bagi mendapatkan rawatan moden ke atas penyakit yang dihidapinya.

Ini kerana di tempat tinggalnya , di Hulu Tembeling tidak ada kemudahan kesihatan seperti hospital atau klinik kesihatan. Dengan sebab itu demi mendapatkan rawatan beliau terpaksa `mengembara' begitu jauh dan terpaksa menghadapi pelbagai masalah dan cabaran, termasuk terpaksa mengharungi ombak dan jeram dalam perjalanannya ke sebuah hospital di Jerantut.

Saya mengurut dada ketika membaca laporan itu. Maklumlah negara kita telah mencapai kemerdekaan sudah melebihi 50 tahun. Rancangan pembangunan lima tahun sahaja pun sudah masuk yang ke sepuluh. Kita pula tidak henti-henti cakap atau canang pelbagai kemudahan dan kemajuan dibuat untuk rakyat di seluruh negara. Namun cerita seperti ini masih kedengaran lagi.

Di mana silapnya ? Apakah ini kerana sebahagian dari kita terlampau asyik memberi perhatian kepada benda besar-besar dan di kawasan besar-besar sehingga di kawasan terpencil benda macam ini terlepas pandang atau tidak dipedulikan !

Marilah kita sepakat merenungi nasib malang segolongan rakan senegara dengan kita - rakyat negara kita juga - yang masih dihantui dengan masalah perhubungan serta mendapatkan kemudahan asas prasarana sebagaimana kita  yang tinggal di tempat lain dapat.

Apakah mereka harus menunggu berlakunya pilihan raya kecil baru dapat merasai kemudahan asas seperti mana orang lain. Saya harap tidak perlulah sampai ke tahap itu. Pihak berwajib kenalah lihat-lihat sama kawasan-kawasan begini. Biarlah mereka boleh senang sebagaimana kita senang.

Kita ada berbagai institusi yang berkaitan dengan pengurusan pembangunan sosio ekonomi rakyat, baik di bandar atau di luar bandar. Kita ada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Penghulu, Pejabat Daerah, Wakil - Wakil Rakyat dan lain-lain lagi di seluruh negara.

Kepada merekalah tempat rakyat jelata bergantung harap bagi merangka serta menyediakan mereka kemudahan-kemudahan asas seperti dilakukan di tempat-tempat lain. Tentulah amanah itu tidak tercicir dek kerana kampung mereka terpencil . Jika tidak kepada institusi sedemikian diletakkan harapan, kepada siapa lagi ?

Oleh itu , kita amat berharap sepenuhnya agar cerita seperti ini tidak berlaku di pedalaman lain dalam negara kita dalam usia kemerdekaan negara semakin meningkat ini dan semoga tiada pertanyaan: meneyeluruhkah penyediaan kemudahan asas kita ?

Khamis, 29 April 2010

PRK Sibu - tunggu dan lihat

Selepas mengikuti pelbagai kisah , cerita, aksi, dan lain-lain di Hulu Selangor melalui pentas pertandingan Pilihan Raya Kecil (Parlimen) pada 25 April lalu, maka tidak berapa lagi seluruh rakyat Malaysia akan menyaksikan pula cerita sama di Sibu Sarawak. Juga untuk kawasan Parlimen.

Namun antara Hulu Selangor dengan Sibu terdapat beberapa perbezaan. Antaranya di Hulu Selangor penyandang sebelum ini daripada PKR , manakala di Sibu pula penyandang sebelum ini daripada BN (SUPP). Di Hulu Selangor terdapat 53 peratus daripada 64,500 pengundi berdaftar adalah Melayu , manakala di Sibu 67 peratus daripada 54,695 pengundi berdaftar adalah Cina.

Di Hulu Selangor Barisan Nasional(BN) , parti pemerintah di peringkat pusat berhadapan dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) rakan dalam Pakatan Rakyat (PR) yang memerintah Selangor. BN memilih calon dari parti sekutunya MIC - P.Kamalanathan dan PR pula memilih Datuk Zaid Ibrahim , seorang peguam dan bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dari parti PKR sebagai calon.

Keputusan PRK Hulu Selangor memihak kepada BN dengan memperoleh majoriti 1,725 undi. Sebanyak 76 peratus daripada 64,500 pengundi daftar telah keluar membuang undi. Namun keputusan yang diperolehi itu mmenunjukkan lebih ramai pengundi Cina menyokong tidak menyokong BN, sebaliknya memberi undi kepada PR (pembangkang) . 

Berikutan itu rata-rata pengkritik dan penganalisis pro BN menganggap sikap yang ditunjukkan oleh sebahagian pengundi Cina itu tidak wajar, kerana mendakawa kaum Cina seperti kaum-kaum lain juga turut mendapat faedah besar dari berbagai dasar BN, termasuk pendidikan, ekonomi dan sebagainya  .

Sementara itu pada PRK di Sibu nanti khabarnya BN akan meletakkan Robert Lau Hui Yew 45, seorang peguam yang juga ada hubungan keluarga dengan penyandang sebelum ini sebagai calonnya, manakala PR pula dijangka akan meletakkan Wong Ho Leng, yang juga seorang peguam dari DAP Sarawak sebagai calonnya.

Jadi, sama-sama kita tunggu dan lihat bagaimana pula lebih 54,000 pengundi di Sibu yang 67 peratus daripadanya Cina akan membuat keputusan - kepada BN atau DAP ?

Rabu, 28 April 2010

Serapkan penjawat kontrak dan sambilan ke dalam perkhidmatan tetap

Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) menjangka kira-kira 50,000 jawatan kosong akan wujud sepanjang tahun ini apabila penjawat yang berumur 58 tahun akan mula bersara wajib pada Julai depan. Sudah pasti kekosongan tersebut akan diisi .

Sebagaimana umum sedia maklum di bawah SPA terdapat beberapa jenis skim perkhidmatan seperti tetap, kontrak dan sambilan.

Berdasarkan perbezaan jenis skim perkhidmatan tersebut maka kedudukan perjawatan, hak kenaikan pangkat, skim penggajian serta kemudahan-kemudahan tertentu lain seperti jumlah cuti tahunan, elaun tetap serta elaun-elaun lain, hak mendapat pinjaman perumahan, pinjaman kenderaan dan sebagainya adalah juga berbeza.

Lebih malang lagi mereka di bawah skim sambilan. Ini kerana bukan sahaja masalah perbezaan hak di dalam mendapat elaun-elaun serta kemudahan tertentu bahkan gaji mereka juga dibayar mengikut bilangan hari mereka bekerja dalam sesuatu bulan.Maknanya jika pada bulan di mana terdapat banyak cuti umum maka kuranglah gaji yang diperolehi dalam bulan tersebut; sedangkan beban kerja dan tanggungjawab tugas yang diberikan kepada mereka tiada apa-apa perbezaan dengan rakan-rakan dalam perkhidmatan tetap.

Dengan lain-lain perkataan semua penjawat, tidak kira apa jenis skim perkidmatan yang diduduki sama ada tetap, kontrak atau sambilan , menjalankan tugas serta tanggungjawab yang sama mengikut kedudukan perjawatan dan gred yang disandang.

Oleh itu, kenapa tidak diserapkan sahaja mereka di dalam perkhidmatan kontrak dan sambilan itu secara automatis ke dalam skim perkhidmatan tetap , sedangkan mereka telah bekerja beberapa tahun namun kedudukan serta masa depan mereka masih belum terjamin.

Justeru dengan wujudnya jumlah kekosongan jawatan yang besar  itu wajar sangatlah mereka diserapkan ke dalam skim perjawatan tetap di samping itu kerajaan patut kaji semula kedudukan kedua-dua skim itu dari segi kesan baik & buruknya terhadap penjawat.

Sesungguhnya sebagai seorang insan saya amat bersimpati dengan mereka.

Selasa, 27 April 2010

Kekecohan DUN Kedah satu pengajaran

Salleh Saad:


Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah dilaporkan kecoh seketika kelmarin berikutan `kesilapan teknikal' dalam soalan yang dikemukakan oleh seorang ahlinya (ADUN) dari kawasan DUN Kubang Rotan (Pas), Mohd. Nasir Mustafa.

Seperti dipetik media soalan tersebut berbunyi:

*    Sejauh manakah bidang kuasa Sultan sebagai Ketua Agama Islam di negeri ini dihormati oleh Kerajaan Pusat ?

*    Setakat manakah tahap tidak boleh campur tangan Kerajaan Negeri Kedah dalam pentadbiran hal ehwal agama Islam ?

Ketua Pembangkang DUN Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid seperti dilapor media, mencadangkan supaya soalan itu dibatalkan kerana, katanya "tidak pernah berlaku dalam sejarah sidang DUN Kedah yang membahaskan tentang sejauh mana kuasa Sultan sebagai ketua agama Islam di negeri ini dan soalan tersebut seolah -olah mempertikaikan kuasa Sultan sebagai Ketua Agama Islam "

Di sini saya lihat ada dua petunjuk yang harus diberikan perhatian, pertama; niat dalam mengemukakan soalan, dan kedua, ketelitian terhadap pemilihan isu dan pengolahan soalan.

Niat asal dalam mengemukakan soalan tersebut saya fikir, mungkin bukan untuk `mepertikaikan' kuasa Sultan sebagai Ketua Agama Islam, tetapi sebaliknya ditujukan kepada pihak lain (Kerajaan Pusat ?).

Namun, cara menyusun `kata & ayat' terdedah kepada kelompongan yang boleh membawa atau dibawa kepada maksud lain atau boleh dimanipulasikan . Perkara ini barangkali tidak diteliti terlebih dahulu oleh pihak yang membuat soalan atau pihak yang `menerima' soalan.

Apapun insiden itu telah berlalu dan ia telah tersebar dengan meluas. Masyarakat telah mengetahuinya. Sungguhpun ia telah dibatalkan tetapi impaknya adalah besar kepada banyak pihak .

Oleh itu, ia wajar dijadikan pengajaran untuk masa-masa akan datang agar insiden seumpama itu tidak akan berlaku lagi. Maknanya isu-isu yang berkaitan dengan kuasa Sultan serta membawa kepada kontroversi perlu dielakkan sama sekali.

Orang politik , tak kira dari pihak mana sekali pun, harus faham bahawa politik itu adalah satu `mainan' . Jika kita tidak bijak bermain orang lain akan mainkan kita.

Dalam politik saya rasa elok kalau teori SWOT diberi perhatian iaitu Strength, Weakness, Opportunity, Threat . Manfaatkan di mana ruang sesuai. Tetapi awas ! Ia biarlah dengan cara yang menasabah dan tidak tersasar dari landasan agama.

.

Isnin, 26 April 2010

Peratus keluar mengundi tinggi, semua pihak wajar dihargai

Salleh Saad:

Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Hulu Selangor pada 25 April lalu, telah mencatatkan peratusan keluar mengundi sebanyak 76 peratus yakni 49,000 daripada 64,500 jumlah pengundi berdaftar . Angka itu dikira agak tinggi bagi suatu PRK. Ini kerana sebelum PRU ke-12 , 2008 angka sebanyak itu sukar diperolehi pada PRK.

Ia didorongi oleh banyak sebab. Antaranya , pada hemat saya ialah kerana sikap pengundi untuk mempertahankan habis-habisan imej parti masing-masing serta kerja keras jentera pilihan raya kedua-dua parti bertanding.

Tanpa `kerahan' bertubi-tubi oleh jentera parti terhadap penyokong mereka saya yakin peratusan keluar mengundi tidak mungkin boleh dicapai sebanyak itu sekalipun wujud faktor-faktor kondusif lain seperti cuaca dan sebagainya.

Selain dari jentera parti , saya percaya ada lagi `jentera' lain yang sama-sama bekerja keras bagi mempastikan para pengundi menunaikan hak mereka dalam sistem demokrasi di negara ini.

Untuk tujuan itu mereka sudah tentu memainkan peranan sebaik mungkin bagi mendorong pengundi agar keluar membuang undi sebanyak mungkin di samping mengurangkan kadar undi rosak.Ia mungkin melibatkan agensi komunikasi dan sebaran am bagi membantu SPR.

Mereka juga saya kira sudah tentu bekerja keras.

Faktor cuaca, pengangkutan, kawalan keselamatan bagi menjamin keselamatan pengundi adalah juga sebagai faktor penyumbang ke arah peratusan keluar mengudi melebihi 70 peratus.

Oleh itu, pihak berwajib yang mengendalikan pilihan raya dapat memahami hakikat ini dan jangan lupa menghargai sumbangan pihak-pihak yang disebutkan di atas , meski pun barangkali tidak diminta mereka.

Ahad, 25 April 2010

Syabas BN !

Salleh Saad:

Syabas BN di atas kemenangan kerusi Parlimen Hulu Selangor !

Dengan itu kerusi BN di Dewan Rakyat bertambah satu lagi, dan kerusi PR kurang satu.

Apa pun kemenangan itu adalah atas kepercayaan rakyat terhadap BN . Oleh itu, janji-janji yang dibuat semasa berkempen kena tunai selepas ini .

Harapan pengundi dan rakyat di Hulu Selangor jangan dihampakan.

Selamat menjalankan tugas dan selamat menggalas tanggungjawab.

Jumaat, 23 April 2010

Peratusan keluar mengundi, sekadar untuk catatan

Salleh Saad:

Sekadar untuk catatan. Trend peratusan keluar mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK)sebelum dan sesudah Pilihan Raya Umum (PRU) ke 12 , tahun 2008 adalah ketara berbeza.

Sebelum PRU ke-12, secara umumnya pengundi dilihat lebih cenderung untuk tidak keluar membuang undi pada PRK , dengan alasan `kerajaan sudah ditubuhkan'.

Ini mungkin disebabkan pada masa itu kerajaan yang ditubuhkan kuat, dengan majoriti besar; baik yang dapat membentuk kerajaan di peringkat pusat mahupun di peringkat negeri.

Justeru, sebahagian pengundi merasa selesa dan berpuas hati dengan kedudukan kerusi yang diperolehi . Kalau keluar pun sekadar untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi sahaja. Ia dirasakan tidak ada apa-apa signifikannya.

Oleh sebab itu peratusananya boleh dikatakan secara kesluruhannya mencatatkan tidak melebihi 70 peratus.

Namun, selepas PRU ke-12, trend ini berubah sama sekali. Malah dua PRK di negeri yang berbeza mencatatkan peratusan keluar mengundi melebihi 80 peratus. Ini terbukti pada PRK Manek Urai di Kelantan dan Bagan Pinang di Negeri Sembilan.

Perubahan itu, secara kasarnya boleh dirumuskan bahawa pihak kerajaan dan pihak pembangkang menang atau kalah tidak besar. 

Angka perbezaan tidak besar. Justeru masing-masing mesti berhempas pulas untuk mempertahankan kerusi yang sedia ada atau di pihak lain pula berusaha sedaya upaya bagi menambahkan seberapa banyak bilangan kerusi  .

Berbeza dengan sebelum ini, kini  yang pernah memerintah sudah menjadi pembangkang di beberapa negeri, manakala yang pernah menjadi pembangkang menjadi pemerintah pula di beberapa negeri. Pun begitu bukan banyak sangat beza kerusi yang diperolehinya.  Bak kata orang silap-silap langkah akan terbalik dan tenggelam. Bahkan  ini telah pun berlaku.

Sebagaimana kita sedia maklum, kedudukan kerusi parti-parti tertentu di Dewan Rakyat sekarang ini berada di dalam keadaan `tidak menentu'. Ini tentulah merisaukan sesetengah pihak. Jumlah keluar mengundi yang rendah akan memberi impak yang besar kepada parti. Oleh itu, langkah `mengerahkan' para penyokong mesti diperhebatkan oleh pihak-pihak yang bertanding.Atas faktor inilah agaknya tiba-tiba trend itu berubah dengan peratusan keluar mengundi  meningkat dengan mendadak.


Oleh itu jangkaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa jumlah keluar mengundi sebanyak 75 peratus pada  PRK Hulu Selangor itu , saya percaya boleh menjadi kenyataan. Apatah lagi ia pilihan raya untuk Parlimen.






Saat pertemuan dengan bekas guru

Salleh Saad:


Kelamrin saya dan isteri bersama seorang anak perempuan pergi ke Alor Setar kerana ada urusan peribadi. Saya pun sudah tiga bulan lebih tidak ke Alor Setar. Memang pun sejak bersara saya memang jarang-jarang menjenguk bandar Alor Setar.

Kami bertolak dari Sungai Petani kira-kira pukul 10.00 pagi dan mengguna laluan lebuh raya kerana lebih cepat dan selesa. Kami sampai ke bandar Alor Setar sebelum pukul 12.00 tengah hari. Alhamdulillah.

Tempat pertama yang kami pilih ialah gerai nasi sotong di belakang bangunan Peruda, dekat Bulatan Teluk Wan Jah. Kami sekeluarga memang gemar makan nasi tomato lauk sotong lembik dan kuah campur ala nasi kandar itu. Bagi kami memang berselera dengannya.

Setelah selesai makan, saya bangun ke kaunter bayaran untuk membayar. Ketika itu saya dapati seorang warga emas (lebih tua dari saya) sedang memerhati saya. Lalu saya pun perhatikannya sama untuk mempastikan siapa beliau.

Lama-lama memerhati baru saya teringat beliau adalah bekas guru saya semasa di sekolah umum (rendah) tahun 1950-an dulu. Lantas saya segera menegurnya.

Kata saya, " Cik gu Nan ke ni ? Jawabnya," Ya." Saya merapatkan diri dengannya dan terus memeluknya.

Lepas itu kami berbual sektika berkaitan dengan hal-hal peribadi - maklumlah masing-masing sudah tua, sudah bersara, bercucu dan sebagainya.

Sebaik selesai beliau membuat pesanan dan mendapat tahu harganya saya minta izin  untuk membayarnya.  Sesudah diizinkan saya membayar bersekali dengan harga makanan saya sekeluarga.

Saya amat gembira dengan kesempatan itu yang mana saya dapat membelanja bekas guru saya makan. Sungguh pun ini bukan kali pertama buat saya, namun untuk beliau ini adalah kali pertama. Ia kerana saya amat jarang bertemu dengannya.

Sebagai seorang bekas murid, saya rasa itulah kesempatan yang wajar saya ambil sebagai mengenang jasa guru saya yang tidak terkira banyaknya itu.

Dan sekalipun nilai belanja saya tidak seberapa namun saya amat bersyukur dan amat berpuas hati.

Juga sekali pun beliau hanya mengajar saya dalam masa setahun sahaja tetapi perasaan hormat dan kasih kepada guru itu tetap serupa seperti mengajar beberapa tahun.

Ketika saya meminta izin untuk membelanjanya makan saya lihat matanya digenangi air. Saya faham, dan serentak itu saya rasa sebak. Kami masing-masing dilanda emosi.

Begitulah perasaan antara bekas seorang murid dan bekas seorang gurunya. Sesaat yang tidak boleh dilupakan.

Saya sedar tanpa guru mengajar dan mendidik saya, saya tidak mungkin berada dan menikmati nikmat kehidupan seperti sekarang. Dengan tidak menafikan ketetapan qada dan qadar Allah, kita tidak harus menafikan jasa dan budi kedua-dua ibu bapa dan guru-guru kita.

Dipendekkan cerita , setelah beredar dari tempat itu saya katakan kepada anak perempuan saya yang juga seorang guru dan mengajar di sebuah Kolej Matrikulasi, " Orang zaman dulu anggap guru macam ibu bapa . Orang sekarang bagaimana ?"

Akhir kata kunjungan saya ke Alor Setar kelmarin, selain dapat memenuhi urusan peribadi saya juga ditakdirkan berjumpa serta dapat membelanja guru saya makan. Satu saat yang cukup bermakna dalam usia semakin tua ini. Pesanan saya kepada pengunjung halaman ini, hormatilah guru walaupun sepatah perkataan yang diajarkan kepada kita, mudah-mudahan kita diberkati dan dirahmati Allah.

Khamis, 22 April 2010

Gugur kompaun RM1,000 langkah betul

Salleh Saad:


Kerajaan mengambil langkah betul apabila menarik balik kompaun RM1,000 yang dicadangkan di dalam Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (pindaan) 2010 Fasal 46 yang dibentangkan isnin lalu di Dewan rakyat untuk bacaan kali pertama.

Selain dari fasal tersebut Fasal 8 mengenai kuasa membuat, mengeluar, mengedar,menjual dan memasang plat nombor pendaftaran yang hanya diberikan kepada Ketua Pengarah, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sahaja; dan fasal 22 mengenai had umur kelayakan memohon lesen memandu dari 16 ke 17 tahun juga ditarik balik.

Ketiga-tiga Fasal berkenaan difahamkan akan dibentangkan semula pada sidang Dewan Rakyat Jun akan datang bagi bacaan kali pertama.

Satu perkara yang juga tidak kurang pentingnya untuk ditulis serta disebutkan kan di sini ialah langkah penarikan balik Fasal-Fasal berkenaan adalah atas maklum balas atau pandangan Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC).

BNBBC dilihat teramat peka dengan masalah yang akan dihadapi rakyat akibat dari kompaun yang tinggi disebabkan terbabit dengan kesalahan `ringan' lalu lintas seperti tidak memakai tali pinggang keledar dan seumpamanya.

Sekali gus membuktikan BNBBC sangat prihatin dengan perasaan rakyat yang mereka wakili. Inilah cara dan pendekatan yang diperlukan rakyat. Rakyat tidak perlukan apa-apa anugerah kebesaran kepada mereka tetapi kprihatinan terhadap mereka. Itu sudah cukup.

Keselahan trafik akan melibat semua lapisan masyarakat, tak kira tua atau muda, miskin atau kaya, di dalam atau di luar bandar , petani, nelayan, pekebun kecil getah, pegawai kerajaan , swasta, ahli perniagaan atau sesiapa juga yang menggunakan jalan raya secara berkenderaan . Jika tidakpun selalu, sekali sekala pasti ada, selagi bernama manusia.

Kesalahan-kesalahan yang berkaitan dengan trafik boleh berlaku  sama ada dengan sengaja atau tidak sengaja. Maklumlah di jalan raya. Ada masa berlaku dengan tidak disedari, ada masa berlaku dengan sebab-sebab lain yang tidak diduga dan sebagainya. Tidak dinafikan mungkin ada juga berlaku atas sebab suka-suka.

Ia juga berbeza dengan perbuatan jenayah seperti merompak, menyamun, membunuh, merogol, membuang bayi, menyeluk saku, meragut, memecah rumah , memberi atau menerima rasuah dan lain-lain. Semua perbuatan tersebut berlaku atas sebab-sebab dirancang .

Justeru wajarlah kalau dikenakan hukuman yang sewajarnya termasuk mengenakan kadar denda yang tinggi . Kerajaan hendaknya melihat perkara ini dan mengkaji semula undang-undang yang sedia ada. Ini adalah satu cara membendung gejala sosial yang semakin berleluasa .

Kalau dinaikkan kompaun trafik dengan tujuan untuk mendidik rakyat rasanya langkah itu kurang tepat. Ada cara lain boleh mendidik mereka, misalnya dengan menggantung lesen selama tiga, lima atau enam tahun bergantung kepada kekerapan kesalahan yang dilakukan bagi menginsafi mereka. Saya rasa cara ini leibih baik. Cumanya kerajaan mungkin hilang sebahagian dari revenue.

Tidak mengapa, kerana kerajaan ada banyak sumber . Kompaun yang rendah pun jika dilakukan dengan jumlah yang besar kerajaan akan mendapat jumlah kutipan yang banyak juga. Apa yang penting perasaan rakyat harus dijaga; jika tidak dibimbangi rakyat pula akan `menghukum' kerajaan apabila sampai waktunya- pilihan raya. Ini sepatutnya diberi perhatian dan dielakkan.

Oleh itu, sekiranya disemak semula diharapkan kerajaan tidak lagi menaikkan kadar kompaun sehingga berkali-kali ganda . Tidak tertanggung nanti oleh rakyat yang kurang mampu untuk membayarnya. Kesihan mereka !

Selasa, 20 April 2010

Pengundi Hulu Selangor sudah boleh buat ketetapan :BN atau PKR

Salleh Saad:

Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor asalnya ditandingi empat penjuru tetapi kini hanya tinggal dua penjuru sahaja. Dua calon bebas V.S.Chandran dan Johan Md. Diah menarik diri . Masing-masing `berasal' dari MIC dan UMNO.

Kita patut ucapkan tahniah kepada kedua-duanya kerana mengambil langkah bijak dan menyedari lebih awal bahawa `kancil' tidak mampu berlawan dengan `gajah'. Jadi buat apa buang masa, tenaga, wang dan sebagainya.

Bagaimana pun itu adalah satu pengalaman. Malah mungkin satu pengajaran. Bertanding dalam pilihan raya bukan perkara ringan, meskipun nampak ringan. Ia bukan sekadar mengisi borang dan menyerahkannya kepada SPR tetapi lebih dari itu.

Tenaga, otak, wang ringgit, masa, jentera, perlatan tertentu, perhubungan , pengangkutan dan banyak lagi diperlukan untuk menguruskan pertandingan. Itupun menang belum tentu lagi. 

Pengundi di Hulu Selangor tentu merasa lega dengan tindakan kedua-duanya. Yang lebih merasa lega sudah tentu adik beradik, saudara mara terdekat, dan sahabat karib. Mereka terlepas dari berada di dalam kepungan keadaan serba tidak kena.

Tindakan kedua-duanya mempermudahkan mereka membuat ketetapan bersama pengundi-pengundi lain. Sekarang mereka boleh tetapkan fikiran untuk memilih yang mana satu - BN atau PKR.

Pengundi Atas Pagar  (AP) juga sudah boleh buat keputusan . Tidak perlu fikir-fikir dan tunggu-tunggu lagi. Pilih yang mana satu idaman kalbu. 

Bagi pengundi kalangan penyokong tegar kedua-dua parti sudah jelas mereka memang awal-awal lagi sudah buat ketetapan demi mempastikan parti mereka menang . 

Isnin, 19 April 2010

Isu besar isu kecil kempen pilihan raya

Kempen Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor sudah bermula. Empat calon bertanding. Masing-masing mewakili Barisan Nasional (BN), Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan dua lagi Bebas.

Kempen itu akan berakhir menjelang 25 April ini di mana tarikh membuang undi bermula. Dalam tempoh itu pengundi-pengundi seramai 64,500 orang di situ akan diliputi oleh seberapa banyak mungkin dan seberapa kerap mungkin oleh juru kempen-juru kempen bagi pihak parti dan calon yang bertanding.

Tentulah pelbagai isu akan dibangkit, diungkit dan dimanipulasikan oleh juru kempen-juru kempen untuk meyakinkan para pengundi dengan tujuan untuk menang.

Para pengundi akan terdedah dengan pelbagai isu, namun mereka ada `kuasa' memilih. Ini kerana dalam tempoh kempen pilihan raya pengundi berada dalam suasana `pendedahan dalam pemilihan' . Ia bermakna mereka boleh memilih yang sesuai sahaja. Jangan mudah terkeliru dengan hujah kempen oleh mana-mana pihak.

Juru kempen-juru kempen pula harus tahu kehendak pengundi dan keperluan isu kepada khalayak kempen mereka. Isu besar hanya untuk orang besar-besar, manakala isu kecil untuk orang kecil-kecil. Juru kempen harus tahu dan faham ini semua.

Menceritakan isu besar-besar dan olahan secara besar-besar pula iaitu dengan disertakan pelbagai  `facts & figures" kepada orang kecil- kecil seperti penduduk desa, petani, pekebun kecil, warga emas dan sebagainya maka itu akan memeningkan kepala mereka.

Begitu juga sekiranya menceritakan isu kecil-kelcil kepada khalayak orang besar-besar seperti golongan kaya, berpendapatan tinggi, berpelaaran tinggi, berjawatan tinggi, berkedudukan tinggi dan sebagainya, mereka akan mudah mengantuk, mual, gelisah, merasa leceh dan lain-lain seumpama.

Apa kah isu besar ? Ia seperti isu Model Ekonomi Baru (MEB), APCO Worldwide, hubungan luar, lawatan pemimpin ke luar negara dan seumpama. Semua itu bukan sesuai dengan khalayak orang kecil-kecil. Itu untuk khalayak 0rang besar-besar . Khalayak orang kecil-kecil akan gembira kalau dicerita tentang harga minyak tidak naik, harga barang keperluan dikawal ketat dan sebagainya. Begitu juga mereka akan merasakan sebaliknya kalau diterbalikkan .

Isu-isu seperti itu akan menyentuh hati dan minda orang kecil-kecil. Pembangkang boleh memanipulasikan isu seperti itu dengan menterbalikkan apa ysng dilakukan kerajaan, manakala di pihak kerajaan pula perlu tonjolkan untuk menggembirakan hati dan minda khalayak (pengundi)

Harus diingat pengundi akan memilih parti dan/atau calon yang telah `menggembirakan' hati dan minda mereka pada waktu berkempen dan waktu tidak berapa lama sebelumnya, sama ada mereka itu orang besar-besar atau orang kecil-kecil..

Kalau hati dan minda mereka dicalar dan dilukai beberapa ketika sebelum kempen dan lebih-lebih lagi semasa kempen ia memang akan memberi kesan negatif. Begitu juga dengan isu-isu yang dimanipulasi secara melampau seperti isu moral calon pihak lawan dan sebagainya ia juga akan memberi kesan negatif kepada pihak yang memulakan. Bagaimanapun ini terpulang kepada bagaimana isu itu dibangkit , diolah atau ditangkiskan.

Ahad, 18 April 2010

Bersama kita baca dan renung ayat 11,12, dan 13 surah Al-Hujurat

Salleh Saad:


Mari sama-sama kita membaca dan merenungi maksud ayat-ayat al-Quran seperti berikut iaitu ayat 11, 12 dan 13 surah Al-Hujurat .

Ini agar kita dapat mengawal naluri ego kita supaya tidak melonjak terlalu tinggi dan dapat mengawal perasaan buruk sangka kita kepada sahabat-sahabat atau rakan-rakan kita serta dapat memelihara lidah kita dari memberi gelaran yang bukan-bukan kepada sudara-saudara kita yang lain.

Firman Allah SWT, maksudnya, " Hai orang-orang beriman, janganlah suatu kaum (puak) dari kalangan lelaki mengolok-olokkan puak yang lain (kerana) boleh jadi mereka (yang diolok-olokkan) lebih baik dari mereka (yang mengolok-olokkan) dan jangan pula dari kalangan wanita-wanita (mengolok-olokkan) wanita-wanita lain (kerana) boleh jadi wanita-wanita (yang diolok-olokkan) lebih baik dari wanita-wanita (yang mengolok-olokkan) dan jangan kamu mencela dirimu sendiri (yakni sesama mukmin kerana orang mukmin seperti satu badan) dan janganlah kamu panggil memanggil dengan gelar-gelar yang buruk. Seburuk-buruk panggilan ialah (panggilan) yang buruk sesudah beriman (yakni seperti panggil hai fasik, hai kafir dll) ; dan barang siapa yang tidak bertaubat maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim . " 

Seterusnya firman Allah (maksudnya): "   Hai orang-orang beriman , jauhilah kebanyakan dari prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan atau keaipan orang lain dan janganlah sebahagian kamu mengumpat-umpat sebahagian yang lain. Sukakah kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati ? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang."  

" Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha mengenal."

Dengan doa semoga kita mendapat taufik dan hidayah dari Allah SWT dengan berkat al-Quranul Karim.

Kenapa pilih premis masjid sebagai tempat berdemonstrasi ?

Salleh Saad :

Masjid adalah rumah Allah. Allah sendiri tegaskan di dalam al-Quran yang bermaksud," Sesungguhnya orang-orang yang memakmurkan (memeriahkan) masjid ialah mereka yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, dan yang mendirikan solat dan yang mengeluarkan zakat dan yang tidak takut melainkan kepada Allah sahaja".

Premis masjid walaupun bukan masjid tetapi perlulah difahami sebagai sebahagian dari tempat yang wajar dihormati seperti masjid juga. Justeru segala perbuatan yang tidak menjurus kepada ibadah dan zikrullah hendaklah dielakkan sama sekali.

Demonstrasi bukanlah layak untuk ditakrifkan sebagai ibadah atau zikrullah. Apatah lagi jika di dalamnya terdapat perbuatan yang tidak senonoh seperti membaling batu atau lain-lain `benda' ke arah masjid. Perbuatan seperti itu tidak mencermin syiar Islam , sedangkan masjid juga tempat mempamerkan syiar (lambang kebesaran) Islam di samping tempat beribadah.

Kita amat sedih jika ada sebahagian umat Islam menjadikan masjid sebagai tempat melepaskan perasaan terhadap pihak-pihak tertentu. Demonstrasi adalah sebahagian cara melepaskan perasaan tidak puas hati terhadap sesuatu perkara atau pihak tertentu.

Kita yang `jahil' dalam agama ini sentiasa bertanya diri sendiri kenapa masjid dijadikan tempat untuk berdemonstrasi , sedangkan kita tahu di dalam demonstrasi yang disertai oleh ramai orang itu akan ada pebuatan yang tidak sesuai dengan konsep dan fungsi sebuah masjid ?

Kita juga bertanya diri sendiri siapakah yang ada di belakang pihak yang menjadikan masjid sebagai tempat melepaskan perasaan ? Lebih menghairankan lagi jika ditambah dengan tingkah laku dan tutur kata yang terpesong dari konsep ibadah dan zikrullah . 

Adakah memilih masjid kerana ia dianggap `kawasan selamat' dari tindakan pihak berkuasa ? Jika begitulah anggapannya maka anggapan begitu rasanya tidak betul. 

Oleh itu , janganlah jadikan premis masjid sebagai tempat berdemonstrasi sewenang-wenangnya. Marilah kita letakkan masjid pada tempat yang sewajarnya seperti yang diajarkan kepada kita oleh Allah dan Rasul-Nya. Piliharalah masjid dan premisnya dari diambil kesempatan oleh orang tertentu untuk mencemarinya.

Jumaat, 16 April 2010

BN boleh kalah di Hulu Selangor jika jentera kempen lemah semangat

Salleh Saad :

Kepimpinan Barisan Nasional (BN) telah memutuskan memilih Ketua Penerangan MIC, P. Kamalanathan sebagai calon BN untuk Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor pada 25 April ini.

Keputusan itu diumumkan oleh Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bukit Sentosa, Hulu Selangor kelmarin.

Presiden MIC, Datuk Seri Samy Vellu menenerima pencalonan P.Kamalanathan dengan `hati terbuka' walaupun sebelum itu beliau dilaporkan mencadangkan Timbalannya, Datuk G. Palanivel .

Bagaimana pun pendirian keseluruhan ahli-ahli MIC di seluruh Selangor, khasnya di kawasan Hulu Selangor setakat ini belum jelas lagi .

Sebelum itu media melaporkan 18 bahagian MIC di Selangor, termasuk Hulu Selangor menyatakan secara terbuka mereka mahukan G. Palanivel dicalonkan , sama seperti hasrat  Presiden mereka, Datuk Seri S. Samy Vellu.

Manakala G. Palanivel pula dilaporkan tidak hadir di majlis pengumuman itu kerana mungkin merasa `kecewa' beliau tidak dipilih seperti kata Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada media.

Maka kalau beliau merasa `kecewa' di atas pemilihan K. Kamalanathan itu, bagaimana dengan ahli-ahli MIC yang lain, terutama penyokong-penyokong beliau ?

Jika semua atau sebahagian besar ahli MIC `kecewa' dengan pemilihan itu apa akan jadi dengan kedudukan BN pada PRK itu .

Kalau dilihat di sisi lain nampaknya sebahagian ahli-ahli UMNO juga patut merasa kecewa kerana hasrat mereka supaya calon dipilih dari kalangan mereka tidak tercapai.

Maka sekiranya semua pihak dilanda kecewa bagaimana jentera pilihan raya dapat digerakkan.

Kegagalan menggerakkan jentera kempen akan mengundang padah kepada parti .

Bagaimana jentera hendak bergerak dengan lancar jika banyak pihak dilanda kecewa .

Jika semangat sudah lemah dan tiada kerja kuat macam mana nak menang .

Sedangkan untuk menang perlukan kerja kuat serta semangat yang tinggi dari semua pihak  .

Oleh itu, sekarang ini penyokong-penyokong BN di seluruh negara sedang menunggu serta memerhati apa yang akan dilakukan oleh penyokong BN di Hulu Selangor , khususnya ahli MIC sendiri. 

Rabu, 14 April 2010

Apa beza pendidikan seks dan pendidikan reproduktif ?

Salleh Saad :

Sebagai seorang Islam kita mestilah melihat sesuatu masalah atau isu yang berkaitan dengan masyarakat Islam itu dari perspektif Islam melebihi perspektif yang lain, begitu juga untuk mencari jalan mengatasinya . Ini termasuk isu buang bayi dan anak luar nikah.

Namun malangnya didapati sejauh menyentuh isu-isu ini terdapat sebahagian umat Islam, terutama sekali pemimpin politik parti Melayu Islam lebih berminat melihatnya dari perspektif selain Islam seperti perspektif sosial dan psikologi.

Tidak mengapa dari sudut apa pun, namun keutamaan mestilah diberikan kepada Islam sebab kita orang Islam dan kebanyakan yang melakukan perbuatan tersebut seperti dilaporkan media kebanyakannya Islam. Maka wajarlah Islam didahulukan.

Apabila isu buang bayi dan anak luar nikah berleluasa dan mencemaskan semua pihak maka terdapat cadangan supaya pendidikan seks diajar kepada pelajar-pelajar sekolah. Bagaimana pun berikutan cadangan itu timbul kritikan dari banyak pihak serta mencadangkan agar pendidikan Islam dikaji semula dan diajar secara lebih luas dan mendalam dari apa yang ada sekarang sebagai mengganti pendidikan seks.

Barangkali atas sebab-sebab kritikan sedemikian isu cadangan pendidikan seks tenggelam dan kini diganti dengan cadangan pendidikan reproduktif supaya diajar di sekolah . Lebih menyedihkan ada pemimpin politik di peringkat tertentu mencadangkan agar ia diajar kepada kanak-kanak seawal uisa 10 tahun.

Apa bezanya antara pendidikan seks dan pendidikan reproduktif (kesuburan) ? Rasa saya ilmu reproduktif antara lain, mengajar tentang waktu subur dan tidak subur untuk mencegah kejadian janin, dengan lain-lain perkataan mengawal kelahiran. Pendidikan seks juga membawa maksud lebih kurang serupa.

Punca yang membawa kepada mengandung sehingga melahirkan bayi tidak cuba dicari jalan mengatasinya . Apa salahanya jika diajar juga bersama tentang zina serta hukumnya mengikut ajaran Islam ?

Oleh itu , antara pendidikan seks dan pendidikan reproduktif itu hanya kelihatan berbeza dari segi istilah sahaja.

Sedangkan persoalan yang dihadapi masyarakat Melayu Islam sekarang ini ialah lebih kepada soal punca kepada lahir anak luar nikah dan buang bayi iaitu antara sebab utamanya ialah adanya perzinaan yang berleluasa antara muda mudi Islam.

Justeru perkara pokok yang harus ditekankan ialah hukum perbuatan zina itu sendiri dan hukum yang berkaitan dengan anasir yang membawa kepada perbuatan zina, serta hukum buang bayi mengikut kaca mata Islam.

Kita maklum mengikut syariat Islam jika melakukan zina bukan sahaja pihak perempuan yang wajib menerima hukuman tetapi lelaki juga sama dan terdapat had-had dan bentuk hukum tertentu. Ini adalah ketetapan Allah SWT Yang Maha Pencipta dan Maha Mengetahui.

Islam juga mengajar bagaimana hendak mengurus kematian seorang mengikut cara yang ditetapkan . Bukan boleh dibuat ikut suka hati sahaja , apatah lagi dibuang. Tetapi kenapa jadi begitu ?

Jelas ! Ia adalah masalah berkaitan pemahaman agama (Islam) , selain dari masalah moral dan sosial. Justeru cara penyelesaiannya hendaklah dilihat dari sudut agama sebagai kaedah utama, di samping kaedah-kaedah lain.

Pertimbangkan semula caj kenderaan di kawasan sesak

Salleh Saad :

Rang Undang-Undang Pengangkutan Awam Darat 2010 telah dibentangkan di Dewan Rakyat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Mohamed Yakcop beberapa hari lepas untuk bacaan kali petama.

Dalam rang undang-undang tersebut , antara lainnya kerajaan akan mengenakan caj ke atas pemilik kenderaan yang berada di kawasan-kawasan tertentu yang akan diumumkan nanti bersekali dengan kada caj oleh menteri berkaitan setelah rang undang-undang itu diluluskan Parlimen.

Apa yang sangat menyentuh hati rakyat daripada rang undang-undang itu ialah hukuman yang bakal dikenakan ke atas rakyat yang didapati `gagal' membayar caj berkenaan iaitu denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Walaupun difahamkan menteri ada kuasa untuk mengecualikan caj atau kelas kenderaan tertentu tetapi rakyat merasakan itu tidak memadai dan bimbang akan wujudnya keadaan pilih kasih dalam menentukan siapa dan kenderaan yang bagaimana yang akan terlepas dari dikenakan caj.

Perlu diambil perhatian serta dicarikan jawapan apakah punca sebenar kesesakan di kawasan-kawasan tertentu dan waktu bila dan apakah ia berpunca dari masalah sikap rakyat atau penyediaan sistem pengangkutan awam?

Jawapan paling paling mudah dan lazim tentulah kerana kenderaan `berhimpun' serentak pada waktu tertentu seperti waktu puncak.

Kenapa jadi begitu ? Apakah masalah pengangkutan awam yang ada telah memenuhi keperluan pengguna ? Apakah sistemnya menarik minat pengguna ? Apakah pengangkutan awam hanya untuk rakyat biasa sahaja ?

Ini adalah beberapa persoalan yang perlu terlebih dahulu diambil peduli serta dicari jalan mengatasinya. Ia dilihat lebih baik daripada kerajaan membuat satu undang-undang mengenakan caj dan denda atau penjara kepada mereka (rakyat) yang didapati `gagal' membayar caj.

Undang-undang tersebut bila dilaksanakan nanti bukan sahaja dilihat membabitakn penghuni di ibu kota tetapi mereka di luar ibu kota yang ada urusan di ibu kota. Mereka termasuk yang datang dari negeri-negeri lain yang sesetengahnya jauh dari ibu kota. Tidak mustahil mereka juga akan terperangkap dengan keadaan kesesakan dan menjadi `mangsa' undang-undang berkenaan.

Kesihan kepada rakyat yang tinggal dan bekerja di ibu kota khasnya . Waktu puncak ialah waktu mereka sedang bergegas ke tempat kerja atau pulang ke tempat tinggal. Maknanya bukan waktu bersuka-suka (enjoy) atau makan angin.

Saya harap kerajaan akan pertimbangkan langkah tersebut (caj) untuk ditarik balik atau kurangkan kadar denda maksimum atau mencari jalan lain yang lebih wajar sebagai sumber perolehan negara. Lagi difahamkan pun urusan `kutipan' itu akan diserahkan kepada satu badan yang akan dilantik kerajaan.

Timbul juga persoalan mengapa perlu satu badan lain ? Mengapa tidak diserahkan kepada PBT berkaitan sahaja?

Isnin, 12 April 2010

Ada pengajaran di sebalik isu penyamaran sebagai VVIP

Salleh Saad :

Saya tertarik untuk berkongsi pandangan mengenai isu seorang remaja berusia 18 tahun menyamar sebagai keluarga di raja Pahang dan berjaya `memperdaya' sebuah agensi kerajaan melalui `lawatan rasmi' yang melibatkan beberapa orang kenamaan kerajaan.

Selain ia diklasfikasikan sebagai kes `jenayah' kerana menyamar dan sebagainya ia juga perlu dilihat sebagai pengajaran, terutama dalam mengendali serta menguruskan lawatan VVIP ke sesuatu tempat tertentu, lebih-lebih lagi agensi kerajaan.

Untuk menguruskan sesuatu lawatan VVIP atau VIP ke sesuatu tempat tertentu ia memerlukan pematuhan kepada beberapa peraturan (prosedur) tertentu , bukan boleh diuruskan sembarangan sahaja.

Bagi mereka yang pernah berkhidmat dalam perkhidmatan awam dan pernah memegang jawatan di peringkat tertentu pasti tahu atau perlu tahu akan prosedur berkenaan.

Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri , khasnya bahagian protokol adalah satu-satunya tempat rujukan atau paling tidak pun pejabat Daerah yang berkaitan.

Cara paling baik ialah dengan merujuk atau berbincang dengan pejabat daerah (Pegawai Daerah)atau wakilnya terlebih dahulu sebelum langkah seterusnya diambil dengan berpandukan peraturan dan arahan tertentu .

Perkara protokol adalah aspek paling penting untuk dibincangkan selain aturcara lawatan dan jangkaan orang kenamaan lain yang akan turut serta dalam lawatan berkenaan.

Semua ini adalah sebahagian dari perkara `asas' di samping perkara lain, jika perlu. Demikian setakat pengetahuan dan pengalaman yang saya lalui semasa bekerja dulu.

Apa yang berlaku di sebuah agensi kerajaan di Pahang baru-baru ini dengan kes`lawatan' palsu itu, mungkin disebabkan oleh faktor `terlepas pandang' atau ketidakfahaman terhadap prosedur-prosedur tersebut atau lain-lain prosedur mengenai lawatan VIP/VVIP.

Apa pun kes itu ada pengajarannya , sesuatu yang mungkin kelihatan kecil tetapi hakikatnya adalah besar dalam konteks pengurusan. Agensi-agensi kerajaan perlu mengambil kes ini sebagai langkah peringatan ke arah mendedahkan pegawai di peringkat tertentu dengan prosedur berkenaan supaya insiden serupa tidak berlaku di tempat masing-masing.

Sabtu, 10 April 2010

Hormati prinsip permuafakatan

Salleh Saad :

Apabila pucuk pimpinan BN membuat keputusan akan meletakkan calon dari MIC bagi mewakili BN dalam Pilihan Kecil Parlimen Hulu Selangor pada 25 April ini, maka keputusan itu dilihat sebagai menceminkan kesungguhan pucuk pimpinan BN menghargai prinsip permuafakatan dan kerajasama yang diwujudkan dalam BN.

Berikutan itu orang ramai ingin melihat bagaimana pula penyokong-penyokong parti komponen dan pemimpin mereka menterjemahkan pendirian pucuk pimpinan BN itu ke dalam tindakan mereka semasa kempen dan seterusnya pada hari membuang undi.

Prinsip permuafakatan sama seperti kontrak sosial , perlu dihormati sepanjang masa oleh semua parti komponen, bukan sahaja semasa pilihan raya tetapi hendaklah juga pada waktu lain. Tuntutan yang melangkaui batas kedua-duanya wajar dielakkan.

Berbalik kepada PRK , rasanya pembangkang sukar memenangi kerusi kawasan itu pada PRK kali ini. Ini berdasarkan kemenangan tipis yang diperolehi penyandangnya Allah yarham Datuk Dr. Zainol Abidin Ahmad pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 12, 2008 lalu.

Pada hemat saya kemenangan beliau itu lebih terujurus kepada faktor `ketokohan' dan `kemasyhurannya' ketika itu dan sebelumnya. Dengan memegang pelbagai jawatan penting semasa beliau di dalam BN, termasuk EXCO memungkinkan beliau mendapat sokongan majoriti pengundi. Sementelah keadaan pengaruh BN waktu itu merudum.

Sekarang suasana sudah berubah. Pengaruh BN semakin meningkat naik. Isu BN yang boleh mengguris hati rakyat ketika ini didapati agak kurang berbanding pembangkang. Sebaliknya beberapa pendekatan provokasi pembangkang khususnya mengenai isu-isu sensitif merimaskan hati orang ramai, terutama Melayu. Kebetulan pengundi Melayu di kawasan itu melebihi 50 peratus.

Nampaknya siapa sahaja yang diletakkan sebagai calon (BN) di kawasan itu saya percaya akan menang. Soal berapa majoriti bakal diperolehi, kecil atau besar tidak penting, tolak ke tepi dulu.

Soal kemungkinan orang UMNO tidak memberi sokongan kerana kecewa disebabkan hasrat mereka supaya pucuk pimpinan BN memilih `orang' UMNO menjadi calon tidak berhasil,saya percaya isu itu juga tidak akan berbangkit. Ini kerana situasi seumpama itu bukan baru dan bukan kali pertama berlaku tetapi sebelum ini pun sudah ada, namun apabila sampai hari mengundi BN menang juga. Oleh itu isu ini tidak perlu digusarkan.

Isu-isu lain, selain politik saya kira tidak begitu mempengaruhi sikap pengundi untuk menjadi negatif terhadap BN. Isu sosial seperti pendatang asing, buang bayi, dan isu keselamatan seperti dakwaan `pencerobohan' pihak luar ke dalam agensi keselamatan negara mungkin dijadikan isu-isu utama kempen pembangkang.

Namun, ruang kempen terbuka luas . Akan tetapi perlu berhati-hati , jangan keterlaluan membuat janji kerana itu bukan masanya. Pemikiran pengundi sudah berubah ke depan. Sekarang rakyat memerlukan sesuatu yang berasaskan fakta dan bukti. Menari mesti ikut rentak paluan gendang.

Khamis, 8 April 2010

Tidak perlu semua peringkat kakitangan awam aktif politik

Salleh Saad :

Isu mengenai keperluan membenarkan kakitangan awam bergerak cergas dalam politik sekali lagi dibangkitkan. Seorang ahli akademik membangkitkannya di suatu majlis perbicangan umum.

Berhubung dengan isu ini saya tertarik untuk berkongsi pandangan . Saya kira cadangan itu ada pro dan kontranya. Apa yang perlu dilihat ialah kebaikannya secara menyeleruh, termasuk impaknya kepada kerajaan dan rakyat bila dilaksanakan.

Bagaimana pun saya fikir perkara yang perlu dibahaskan ialah kumpulan dan kategori kakitangan awam itu sendiri, seperti kumpulan dan kategori mana yang perlu diberi kebenaran aktif dalam politik, yakni dengan memegang pelbagai jawatan politik.

Ini kerana maksud aktif dalam politik ialah bilamana seseorang memegang jawatan tertentu dalam politik baik di peringkat cawangan, bahagian, negeri ataupun pusat. Ia juga bermaksud boleh bergerak cergas dalam mana-mana parti yang diminati dan didukunginya.

Ini bererti seseorang kakitangan awam boleh aktif dalam mana-mana parti politik yang disukainya sama ada kerajaan atau pembangkang.

Manakala kerajaan pula tidak boleh melarang seseorang kakitangannya itu jika bergerak cergas dalam parti pembangkang sekalipun, sekiranya ia dibenarkan oleh Perintah Am, Pekeliling Perkhidmatan dan sebagainya .

Justeru , keadaan begini ini akan mencetuskan suasana tidak sihat di dalam urusan pentadbiran dan di kalangan kakitangan awam itu sendiri .

Cuba kita bayangkan apabila dalam sebuah jabatan kerajaan misalnya ada dua kumpulan ideologi politik yang berbeza dan jentera kerajaan membuat dua `tugas' dalam satu masa - tugas politik dan pentadbiran - sudah tentu macam-macam boleh terjadi dan perjalanan pentadbiran pula besar kemungkinan tidak lancar. Maka impaknya kepada kerajaan dan rakyat bukan kecil.

Apatah lagi apabila kakitangan awam yang aktif dalam politik itu terdiri daripada mereka yang diberi `kuasa' berkaitan dengan pelaksanaan dasar dan projek di peringkat negeri, daerah dan sebagainya.

Tidak dapat tidak keputusan pentadbiran akan dipengaruhi kedudukannya dalam politik, sekalipun ia hanya di peringkat cawangan; apatah lagi jika di peringkat lebih tinggi. Ini kerana di bawahnya ramai `pengikut' dari kalangan akar umbi yang mana hati mereka perlu dijaga demi kesinambungan politik.

Andai kata senario seperti ini berlaku di seluruh negara nescaya suasana akan menjadi hiruk pikuk dan hura hara , bukan lagi `kemantapan' dan `kemeriahan' sebagaimana diharapkan.

Melainkan mereka yang dibenarkan itu adalah kakitangan yang secara tersurat `kelayakan tarafnya' tidak terlibat dengan membuat keputusan dalam pelaksanaan dasar atau projek atau mendapat `kuasa' tertentu seperti di dalam kumpulan sokongan. Bagaimanapun , jika tidak silap saya untuk pegawai kumpulan ini peraturannya sudah ada.

Kesimpulannya, kakitangan awam kumpulan tertentu seperti kumpulan Pengurusan dan Profesional serta lebih tinggi, tidak wajar diberikan kebenaran aktif dalam politik dengan memegang apa-apa jawatan (politik) di semua peringkat .

Rabu, 7 April 2010

Yang mana satu menjadi pilihan :kaduk atau sirih ?

Salleh Saad :

Mari kita sama-sama renungi kejadian Allah Yang Maha Berkuasa. Kemudian kita lihat hikmahnya di dalam kehidupan manusia, khususnya dalam masyarakat Melayu. Kejadian yang dimaksudkan itu ialah mengenai tumbuhan.

Kedua-dua jenis tumbuhan tersebut hampir serupa saiz dan bentuknya tetapi berlainan sifat dan rasanya. Namanya sirih dan kaduk.

Sirih, kebanyakannya mempunyai saiz yang lebih besar berbanding kaduk. Rasanya pedas tetapi kaduk rasanya sedikit pahit .

Kaduk tumbuh meliar di muka bumi dan lebih sesuai di kawasan yang agak lembab. Manakala sirih tumbuh membiak di tempat yang ada `pelantar' atau junjung.

Bagi orang Melayu sirih dimakan bersama pinang yang `dikacip' dan dan dicampur dengan bahan lain seperti kapur dan gambir. Tetapi kaduk dimakan dengan nasi, dibuat ulam setelah direbus atau gulai bersama ikan kering atau daging salai.

Selain dimakan, masyarakat dan budaya Melayu meletak sirih pada kedudukan yang lebih baik iaitu dijadikan `kepala' item untuk acara meminang. Dikenali sebagai `sirih junjung' atau `tepak sirih'.

Kaduk tidak lebih dari dimakan. Namun kedua-duanya dijadikan simbol atau makna dalam peribasa atau bidalan Melayu. Contohnya `seperti sirih pulang ke gagang' dan bagi kaduk `seperti kaduk naik junjung'.

Kedua-dua perumpamaan itu membawa makna yang cukup besar . Kaduk yang memang sifatnya tidak pernah naik junjung ditamsilkan kepada mereka yang gila kuasa lantaran tidak pernah mendapat kuasa. Jadi, apabila beroleh kuasa ada-ada sahaja yang nak dibuatnya.

Sirih pulang gagang ditamsilkan kepada mereka yang memang selayaknya seseorang itu berada di kedudukannya . Begitulah apa yang saya dapat rasakan hikmah di sebalik dua jenis tumbuhan itu dan kaitannya dengan nilai budaya dan sosial Melayu terhadap kedua-duanya.

Secara simbolik kaitan kedua-dua jenis tumbuhan tersebut dengan budaya dan masyarakat Melayu ialah sirih mempunyai status yang lebih baik, manakala kaduk adalah sebaliknya.

Merujuk simbolik fungsi kedua-duanya di dalam masyarakat Melayu , maka yang mana satu yang kita nak pilih untuk dimanfaatkan dalam kehidupan kita, kaduk atau sirih ?

Saya percaya dengan akal dan iman yang ada pada kita , kita pasti tahu membuat pilihannya. Apa yang harus direnungi ialah setiap kejadian Allah itu ada hikmahnya - ada baik dan buruk. `Tepuk dada tanya selera'.

Terima kasih kerana perkenalkan Akta Persaingan

SALLEH SAAD:


Daya usaha yang diambil oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenengahkan Akta Persaingan yang bertujuan untuk menyekat aktiviti monopoli barangan dan perkhidmatan oleh syarikat-syarikat besar wajar mendapat penghargaan rakyat selaku pengguna.

Akta tersebut akan dibentang di Parlimen hari ini bagi membolehkan ia dilaksanakan dan difahamkan ia akan dilaksanakan pada akhir tahun depan . Di samping itu juga dimaklumkan sebuah Suruhanjaya Persaingan akan diwujudkan sebagai pemantau.

Syabas di atas daya usaha tersebut ! Ia kerana selama ini pengguna seolah-olah tidak dilindungi langsung oleh akta yang berfungsi sebagai penyekat aktiviti monopoli barangan , khususnya barangan keperluan harian seperti gula, tepung, ikan , telor, ayam dan sebagainya.

Ini menyebabkan kedudukan harga dan juga barang-barang tersebut ditentukan sepenuhnya oleh pemilik syarikat tertentu.

Mereka boleh sewenang-wenangnya menetukan sama ada barangan tersebut mencukupi keperluan pasaran atau sebaliknya dan kedudukan harganya tanpa peduli langsung masalah pengguna, terutama pengguna kurang berada dan miskin.

Maka dengan adanya akta itu diharapkan fenomena seperti itu tidak akan berlaku lagi. Akta tersebut difahamkan bukan sahaja akan memberi kebaikan kepada pengguna tetapi juga kepada pengusaha-pengusaha kecil serta lain-lain pesaing.

Oleh itu, daya usaha serta langkah yang diambil oleh menteri berkenaan sangat wajar diterima baik dan dihargai rakyat selaku pengguna . Namun, apa pun jangan lupa keupayaan penguatkusaannya. Tanpa pemantauan serius serta penguatkuasaan apa juga akta diwujudkan tidak bermakna.

Isnin, 5 April 2010

Elakkan dari keterlaluan `janji bersyarat' dalam kempen pilihan raya

SALLEH SAAD:

Bagaikan tradisi yang tidak boleh diubah `janji bersyarat' parti politik menjelang pilihan raya sering berlaku di negara ini sejak mula merdeka hingga di saat ini. Ia biasanya berlaku di musim kempen. Tetapi ada juga berlaku sebelum apa-apa lagi.

Apa yang dimaksud dengan `janji bersyarat' ialah lebih kurang berbunyi begini " kalau parti...menang projek ini/itu akan diadakan di kawasan ini....

Pengundi di zaman tahun-tahun 1950-an dan dua tiga dekad selepasnya masih mudah lagi menerima janji seperti itu, terutama mereka yang tinggal di kawasan luar bandar kerana sesetengah mereka berada di dalam serba kekurangan.

Namun, kini tidak lagi. Setelah kehidupan semakin berubah maju dan daya fikir serta gaya hidup turut berubah bentuk janji bersyarat itu tidak relevan lagi dengan mereka.

Sebaliknya jika tersalah langkah janji bersyarat itu akan memakan diri sendiri. Oleh itu jika ada `projek' yang hendak dibuat sekalipun umumkan sahaja dan jangan kaitkan dengan kemenangan parti di dalam pilihan raya .

Sekiranya janji bersyarat itu masih terus diamalkan ia akan memberi kesan negatif kepada sikap pengundi, terutama pengundi di atas pagar.

Malah lebih buruk lagi bila belum apa-apa lagi `janji bersyarat' itu sudah disiarkan media . Pelbagai interpritasi boleh dibuat oleh pengundi dan lebih-lebih lagi parti lawan. Mereka akan semaksima mungkin memanipulasikannya . Perasaan meluat akan timbul di kalangan sebahagian rakyat dan pengundi.

Kepercayaan yang terbentuk lebih awal di fikiran pengundi besar kemungkinan akan hilang atau berkeadaan terawang-awang seketika. Di dalam keadaan begini jika pihak lain `masuk' jarum mereka mudah menelannya.

Inilah padah bagi sesetengah pendukung parti politik yang tidak peka dengan sikap pengundi semasa. Sepatuntnya dengan berulang kali pilihan raya pendudkung parti politk dapat mengambil banyak teladan dan pengajaran , termasuk memahami sikap dan kecenderungan pengundi.

Ini penting bagi membolehkan bagaimana strategi kempen berkesan harus dibuat semasa dalam tempoh kempen atau pada ketika sesuai untuk meyakini hati dan fikiran pengundi supaya penidirian mereka tidak berubah ke parti lain dengan mudah.

Harus kita sama-sama sedar bahawa pemikiran rakyat atau pengundi di alaf baru ini sudah jauh berubah berbanding dengan di alaf lalu. Oleh itu strategi serta pendekatan kempen mesti betul.

Sabtu, 3 April 2010

Benarkah Perkasa oportunis politik ?

SALLEH SAAD:

Benarkah Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) sebuah pertubuhan oportunis politik seperti dakwaan sesetengah pihak ?

Jawapannya terpulang kepada tanggapan masing-masing . Namun bagi saya, saya tidak nampak dakwaan itu benar.

Bukan tujuan saya mempertahankan Perkasa kerana siapalah saya, namun saya kira tidak wajar bagi kita , terutama Melayu melabel sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Perkasa dengan lebal sedemikian .

Apakah yang ada pada Perkasa itu yang membolehkan ia dilebal sebagai oportunis ?

Sejauh diketahui ia hanya memperjuangkan hak-hak dan institusi-institusi Melayu seperti kedudukan agama Islam, bahasa Melayu, Raja-Raja Melayu dan lain-lain yang dimaktub dalam Perlembagaan .

Ia juga setakat ini tidak kelihatan condong ke arah mana-mana ideologi parti politik tertentu. Malah apa yang kelihatan tindak tanduknya lebih cenderung kepada mengisi keperluan kenegaraan .

Lagi pun kini pihak mana lagi yang boleh diharap untuk mempertahankan hak-hak dan institusi kepribumian Melayu yang sentiasa dicabar pihak tertentu , jika bukan kepada NGO seperti Perkasa.

Untuk mengharapkan sepenuhnya kepada parti-parti politik Melayu , nampaknya agak sukar kerana masing-masing kelihatan `berhempas pulas' mencari tempat bergantung yang lebih kukuh supaya tidak `hilang' pengaruh dan kuasa.

Oleh itu, biarkanlah NGO seperti Perkasa `berjuang' bersama misinya bagi mempertahan hak-hak Melayu sebagaimana dimaktub dalam Perlembagaan.

Masyarakat Melayu boleh berhenti memberi sokongan kepada NGO-NGO seperti Perkasa itu apabila mereka sudah jelas melanggar undang-undang dan Perlembagaan negara. Maknanya selama masih berjalan di atas landasan perundangan dan tidak mengancam keselematan tidak payahlah dilebal yang bukan-bukan.

Justeru, diharapkan agar masyarakat Melayu dan pihak-pihak tertentu , terutama dari pendukung parti politik Melayu tolonglah jangan `usik' perjalanan NGO seperti Perkasa mempertahankan hak-hak dan kepentingan pribumi yang sudah termaktub dalam Perlembagaan .

Khamis, 1 April 2010

Gerabak komuter khas wanita satu transformasi

Oleh : Salleh Saad

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) khabarnya akan memperkenalkan gerabak khas komuternya untuk penumpang wanita bagi menjamin keselamatan dan keselesaan mereka .

Syabas ! Ia satu idea yang cukup baik - satu transformasi.

Idea itu bila direalisasikan kelak bukan sahaja dapat memberi keselesaan serta keselamatan kepada wanita tetapi juga dilihat sejajar dengan ajaran Islam dan keperluan kemanusiaan dan keadaan sosial semasa .

Namun ia perlu diperincikan lagi. Kita tunggu pengumuman mengenai keperinciannya daripada pihak KTMB. Sementara itu halaman ini ingin tahu wanita yang berkeadaan macam mana yang hendak `dikhaskan' gerabak untuk mereka.

Barangkali agaknya bukan semua. Mungkin hanya untuk mereka yang bersendirian tanpa ditemani oleh lelaki, khususnya ahli keluarga terdekat atau muhram seperti suami, anak lelaki, anak saudara lelaki, bapa, bapa saudara dan seumpama. Tetapi bukan `boy friend'.

Sedangkan mereka yang bersama dengan golongan lelaki seperti disebut di atas dan seumpama, rasanya tentu tidak menasabah untuk diasingkan.

Ini kerana logiknya apabila mereka ditemani oleh golongan lelaki berkenaan keselesaan dan keselamatan mereka, baik dari segi jenayah mahupun gangguan seksual adalah lebih terjamin.

Apapun cetusan idea itu adalah satu langkah yang sangat baik yang sewajarnya disokong. Ia tidak harus dilihat dari sudut `penganiaan atau diskriminasi gender' seperti pendapat sesetengah pihak yang kononnya `membela' nasib wanita.

Harap penuhi dahulu harapan rakyat

Oleh : Salleh Saad

Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dilaporkan berlaku lagi suasana `kecuh' dan `huru hara' dan dikatakan penuh dengan `lakonan' dan `dialog' di luar konteks dan `skrip' apabila memulakan sesi kelmarin.

Ia mungkin baik untuk `diilustrasikan' tetapi tidak baik untuk ditonton. Ini kerana mereka yang melakukan itu bukan sebarangan orang dan tempat berlakunya itu juga bukan sebarangan tempat.

Sebagaimana kita semua maklum orang yang melakukan itu adalah orang terpilih dan dipilih .

Terpilih kerana kebolehan, kepakaran, keilmuan, kebijaksanaan dan sebagainya yang ada pada mereka dan barangkali tidak ada pada sesetengah orang lain.

Dipilih kerana mereka adalah segolongan individu yang dipilih oleh orang ramai yang dikenali sebagai pengundi yang berdaftar dengan sebuah suruhanjaya , dengan tujuan dan harapan yang amat jelas iaitu untuk membela nasib mereka mengikut lunas Perlembagaan dan undang-undang, sesuai dengan nilai dan sistem demokrasi bagi sesebuah negara.

Itulah harapan pengundi khususnya dan orang ramai amnya . Harapan itu terlalu tinggi, melebihi tingginya sebuah gunung yang paling tinggi di dunia ini.

Sekiranya itulah harapan pengundi dan rakyat, eloklah jika harapan itu dipenuhi terlebih dahulu sebelum memenuhi yang selain daripada itu.

Oleh itu, teramat patut mana-mana pihak sekalipun menggunakan kesempatan yang ada di tempat yang `mulia' itu sebagai wadah dan medan untuk berhujah mengenai sesuatu yang boleh mendatangkan faedah kepada rakyat secara keseluruhannya.