Isnin, 12 April 2010

Ada pengajaran di sebalik isu penyamaran sebagai VVIP

Salleh Saad :

Saya tertarik untuk berkongsi pandangan mengenai isu seorang remaja berusia 18 tahun menyamar sebagai keluarga di raja Pahang dan berjaya `memperdaya' sebuah agensi kerajaan melalui `lawatan rasmi' yang melibatkan beberapa orang kenamaan kerajaan.

Selain ia diklasfikasikan sebagai kes `jenayah' kerana menyamar dan sebagainya ia juga perlu dilihat sebagai pengajaran, terutama dalam mengendali serta menguruskan lawatan VVIP ke sesuatu tempat tertentu, lebih-lebih lagi agensi kerajaan.

Untuk menguruskan sesuatu lawatan VVIP atau VIP ke sesuatu tempat tertentu ia memerlukan pematuhan kepada beberapa peraturan (prosedur) tertentu , bukan boleh diuruskan sembarangan sahaja.

Bagi mereka yang pernah berkhidmat dalam perkhidmatan awam dan pernah memegang jawatan di peringkat tertentu pasti tahu atau perlu tahu akan prosedur berkenaan.

Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri , khasnya bahagian protokol adalah satu-satunya tempat rujukan atau paling tidak pun pejabat Daerah yang berkaitan.

Cara paling baik ialah dengan merujuk atau berbincang dengan pejabat daerah (Pegawai Daerah)atau wakilnya terlebih dahulu sebelum langkah seterusnya diambil dengan berpandukan peraturan dan arahan tertentu .

Perkara protokol adalah aspek paling penting untuk dibincangkan selain aturcara lawatan dan jangkaan orang kenamaan lain yang akan turut serta dalam lawatan berkenaan.

Semua ini adalah sebahagian dari perkara `asas' di samping perkara lain, jika perlu. Demikian setakat pengetahuan dan pengalaman yang saya lalui semasa bekerja dulu.

Apa yang berlaku di sebuah agensi kerajaan di Pahang baru-baru ini dengan kes`lawatan' palsu itu, mungkin disebabkan oleh faktor `terlepas pandang' atau ketidakfahaman terhadap prosedur-prosedur tersebut atau lain-lain prosedur mengenai lawatan VIP/VVIP.

Apa pun kes itu ada pengajarannya , sesuatu yang mungkin kelihatan kecil tetapi hakikatnya adalah besar dalam konteks pengurusan. Agensi-agensi kerajaan perlu mengambil kes ini sebagai langkah peringatan ke arah mendedahkan pegawai di peringkat tertentu dengan prosedur berkenaan supaya insiden serupa tidak berlaku di tempat masing-masing.

Tiada ulasan: