Rabu, 14 April 2010

Apa beza pendidikan seks dan pendidikan reproduktif ?

Salleh Saad :

Sebagai seorang Islam kita mestilah melihat sesuatu masalah atau isu yang berkaitan dengan masyarakat Islam itu dari perspektif Islam melebihi perspektif yang lain, begitu juga untuk mencari jalan mengatasinya . Ini termasuk isu buang bayi dan anak luar nikah.

Namun malangnya didapati sejauh menyentuh isu-isu ini terdapat sebahagian umat Islam, terutama sekali pemimpin politik parti Melayu Islam lebih berminat melihatnya dari perspektif selain Islam seperti perspektif sosial dan psikologi.

Tidak mengapa dari sudut apa pun, namun keutamaan mestilah diberikan kepada Islam sebab kita orang Islam dan kebanyakan yang melakukan perbuatan tersebut seperti dilaporkan media kebanyakannya Islam. Maka wajarlah Islam didahulukan.

Apabila isu buang bayi dan anak luar nikah berleluasa dan mencemaskan semua pihak maka terdapat cadangan supaya pendidikan seks diajar kepada pelajar-pelajar sekolah. Bagaimana pun berikutan cadangan itu timbul kritikan dari banyak pihak serta mencadangkan agar pendidikan Islam dikaji semula dan diajar secara lebih luas dan mendalam dari apa yang ada sekarang sebagai mengganti pendidikan seks.

Barangkali atas sebab-sebab kritikan sedemikian isu cadangan pendidikan seks tenggelam dan kini diganti dengan cadangan pendidikan reproduktif supaya diajar di sekolah . Lebih menyedihkan ada pemimpin politik di peringkat tertentu mencadangkan agar ia diajar kepada kanak-kanak seawal uisa 10 tahun.

Apa bezanya antara pendidikan seks dan pendidikan reproduktif (kesuburan) ? Rasa saya ilmu reproduktif antara lain, mengajar tentang waktu subur dan tidak subur untuk mencegah kejadian janin, dengan lain-lain perkataan mengawal kelahiran. Pendidikan seks juga membawa maksud lebih kurang serupa.

Punca yang membawa kepada mengandung sehingga melahirkan bayi tidak cuba dicari jalan mengatasinya . Apa salahanya jika diajar juga bersama tentang zina serta hukumnya mengikut ajaran Islam ?

Oleh itu , antara pendidikan seks dan pendidikan reproduktif itu hanya kelihatan berbeza dari segi istilah sahaja.

Sedangkan persoalan yang dihadapi masyarakat Melayu Islam sekarang ini ialah lebih kepada soal punca kepada lahir anak luar nikah dan buang bayi iaitu antara sebab utamanya ialah adanya perzinaan yang berleluasa antara muda mudi Islam.

Justeru perkara pokok yang harus ditekankan ialah hukum perbuatan zina itu sendiri dan hukum yang berkaitan dengan anasir yang membawa kepada perbuatan zina, serta hukum buang bayi mengikut kaca mata Islam.

Kita maklum mengikut syariat Islam jika melakukan zina bukan sahaja pihak perempuan yang wajib menerima hukuman tetapi lelaki juga sama dan terdapat had-had dan bentuk hukum tertentu. Ini adalah ketetapan Allah SWT Yang Maha Pencipta dan Maha Mengetahui.

Islam juga mengajar bagaimana hendak mengurus kematian seorang mengikut cara yang ditetapkan . Bukan boleh dibuat ikut suka hati sahaja , apatah lagi dibuang. Tetapi kenapa jadi begitu ?

Jelas ! Ia adalah masalah berkaitan pemahaman agama (Islam) , selain dari masalah moral dan sosial. Justeru cara penyelesaiannya hendaklah dilihat dari sudut agama sebagai kaedah utama, di samping kaedah-kaedah lain.

1 ulasan:

Ibn Rahim berkata...

saya bersetuju dan menyokong 100% pendapat saudara. Ianya juga sentiasa bermain di dalam kepala saya. Pendidikan seks@reproduktif seolah-olah mengajar murid untuk melakukan seks luar nikah dengan cara lebih selamat, bukan untuk mencegah seks luar nikah. Apa pun yang berlaku terhadap masyarakat, keluarga dan diri, kkta perlu kembali kepada agama yang syumul dan serba lengkap.

jazakallahu khairan kathira...