Sabtu, 3 April 2010

Benarkah Perkasa oportunis politik ?

SALLEH SAAD:

Benarkah Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) sebuah pertubuhan oportunis politik seperti dakwaan sesetengah pihak ?

Jawapannya terpulang kepada tanggapan masing-masing . Namun bagi saya, saya tidak nampak dakwaan itu benar.

Bukan tujuan saya mempertahankan Perkasa kerana siapalah saya, namun saya kira tidak wajar bagi kita , terutama Melayu melabel sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Perkasa dengan lebal sedemikian .

Apakah yang ada pada Perkasa itu yang membolehkan ia dilebal sebagai oportunis ?

Sejauh diketahui ia hanya memperjuangkan hak-hak dan institusi-institusi Melayu seperti kedudukan agama Islam, bahasa Melayu, Raja-Raja Melayu dan lain-lain yang dimaktub dalam Perlembagaan .

Ia juga setakat ini tidak kelihatan condong ke arah mana-mana ideologi parti politik tertentu. Malah apa yang kelihatan tindak tanduknya lebih cenderung kepada mengisi keperluan kenegaraan .

Lagi pun kini pihak mana lagi yang boleh diharap untuk mempertahankan hak-hak dan institusi kepribumian Melayu yang sentiasa dicabar pihak tertentu , jika bukan kepada NGO seperti Perkasa.

Untuk mengharapkan sepenuhnya kepada parti-parti politik Melayu , nampaknya agak sukar kerana masing-masing kelihatan `berhempas pulas' mencari tempat bergantung yang lebih kukuh supaya tidak `hilang' pengaruh dan kuasa.

Oleh itu, biarkanlah NGO seperti Perkasa `berjuang' bersama misinya bagi mempertahan hak-hak Melayu sebagaimana dimaktub dalam Perlembagaan.

Masyarakat Melayu boleh berhenti memberi sokongan kepada NGO-NGO seperti Perkasa itu apabila mereka sudah jelas melanggar undang-undang dan Perlembagaan negara. Maknanya selama masih berjalan di atas landasan perundangan dan tidak mengancam keselematan tidak payahlah dilebal yang bukan-bukan.

Justeru, diharapkan agar masyarakat Melayu dan pihak-pihak tertentu , terutama dari pendukung parti politik Melayu tolonglah jangan `usik' perjalanan NGO seperti Perkasa mempertahankan hak-hak dan kepentingan pribumi yang sudah termaktub dalam Perlembagaan .

Tiada ulasan: