Isnin, 5 April 2010

Elakkan dari keterlaluan `janji bersyarat' dalam kempen pilihan raya

SALLEH SAAD:

Bagaikan tradisi yang tidak boleh diubah `janji bersyarat' parti politik menjelang pilihan raya sering berlaku di negara ini sejak mula merdeka hingga di saat ini. Ia biasanya berlaku di musim kempen. Tetapi ada juga berlaku sebelum apa-apa lagi.

Apa yang dimaksud dengan `janji bersyarat' ialah lebih kurang berbunyi begini " kalau parti...menang projek ini/itu akan diadakan di kawasan ini....

Pengundi di zaman tahun-tahun 1950-an dan dua tiga dekad selepasnya masih mudah lagi menerima janji seperti itu, terutama mereka yang tinggal di kawasan luar bandar kerana sesetengah mereka berada di dalam serba kekurangan.

Namun, kini tidak lagi. Setelah kehidupan semakin berubah maju dan daya fikir serta gaya hidup turut berubah bentuk janji bersyarat itu tidak relevan lagi dengan mereka.

Sebaliknya jika tersalah langkah janji bersyarat itu akan memakan diri sendiri. Oleh itu jika ada `projek' yang hendak dibuat sekalipun umumkan sahaja dan jangan kaitkan dengan kemenangan parti di dalam pilihan raya .

Sekiranya janji bersyarat itu masih terus diamalkan ia akan memberi kesan negatif kepada sikap pengundi, terutama pengundi di atas pagar.

Malah lebih buruk lagi bila belum apa-apa lagi `janji bersyarat' itu sudah disiarkan media . Pelbagai interpritasi boleh dibuat oleh pengundi dan lebih-lebih lagi parti lawan. Mereka akan semaksima mungkin memanipulasikannya . Perasaan meluat akan timbul di kalangan sebahagian rakyat dan pengundi.

Kepercayaan yang terbentuk lebih awal di fikiran pengundi besar kemungkinan akan hilang atau berkeadaan terawang-awang seketika. Di dalam keadaan begini jika pihak lain `masuk' jarum mereka mudah menelannya.

Inilah padah bagi sesetengah pendukung parti politik yang tidak peka dengan sikap pengundi semasa. Sepatuntnya dengan berulang kali pilihan raya pendudkung parti politk dapat mengambil banyak teladan dan pengajaran , termasuk memahami sikap dan kecenderungan pengundi.

Ini penting bagi membolehkan bagaimana strategi kempen berkesan harus dibuat semasa dalam tempoh kempen atau pada ketika sesuai untuk meyakini hati dan fikiran pengundi supaya penidirian mereka tidak berubah ke parti lain dengan mudah.

Harus kita sama-sama sedar bahawa pemikiran rakyat atau pengundi di alaf baru ini sudah jauh berubah berbanding dengan di alaf lalu. Oleh itu strategi serta pendekatan kempen mesti betul.

Tiada ulasan: