Khamis, 22 April 2010

Gugur kompaun RM1,000 langkah betul

Salleh Saad:


Kerajaan mengambil langkah betul apabila menarik balik kompaun RM1,000 yang dicadangkan di dalam Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (pindaan) 2010 Fasal 46 yang dibentangkan isnin lalu di Dewan rakyat untuk bacaan kali pertama.

Selain dari fasal tersebut Fasal 8 mengenai kuasa membuat, mengeluar, mengedar,menjual dan memasang plat nombor pendaftaran yang hanya diberikan kepada Ketua Pengarah, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sahaja; dan fasal 22 mengenai had umur kelayakan memohon lesen memandu dari 16 ke 17 tahun juga ditarik balik.

Ketiga-tiga Fasal berkenaan difahamkan akan dibentangkan semula pada sidang Dewan Rakyat Jun akan datang bagi bacaan kali pertama.

Satu perkara yang juga tidak kurang pentingnya untuk ditulis serta disebutkan kan di sini ialah langkah penarikan balik Fasal-Fasal berkenaan adalah atas maklum balas atau pandangan Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC).

BNBBC dilihat teramat peka dengan masalah yang akan dihadapi rakyat akibat dari kompaun yang tinggi disebabkan terbabit dengan kesalahan `ringan' lalu lintas seperti tidak memakai tali pinggang keledar dan seumpamanya.

Sekali gus membuktikan BNBBC sangat prihatin dengan perasaan rakyat yang mereka wakili. Inilah cara dan pendekatan yang diperlukan rakyat. Rakyat tidak perlukan apa-apa anugerah kebesaran kepada mereka tetapi kprihatinan terhadap mereka. Itu sudah cukup.

Keselahan trafik akan melibat semua lapisan masyarakat, tak kira tua atau muda, miskin atau kaya, di dalam atau di luar bandar , petani, nelayan, pekebun kecil getah, pegawai kerajaan , swasta, ahli perniagaan atau sesiapa juga yang menggunakan jalan raya secara berkenderaan . Jika tidakpun selalu, sekali sekala pasti ada, selagi bernama manusia.

Kesalahan-kesalahan yang berkaitan dengan trafik boleh berlaku  sama ada dengan sengaja atau tidak sengaja. Maklumlah di jalan raya. Ada masa berlaku dengan tidak disedari, ada masa berlaku dengan sebab-sebab lain yang tidak diduga dan sebagainya. Tidak dinafikan mungkin ada juga berlaku atas sebab suka-suka.

Ia juga berbeza dengan perbuatan jenayah seperti merompak, menyamun, membunuh, merogol, membuang bayi, menyeluk saku, meragut, memecah rumah , memberi atau menerima rasuah dan lain-lain. Semua perbuatan tersebut berlaku atas sebab-sebab dirancang .

Justeru wajarlah kalau dikenakan hukuman yang sewajarnya termasuk mengenakan kadar denda yang tinggi . Kerajaan hendaknya melihat perkara ini dan mengkaji semula undang-undang yang sedia ada. Ini adalah satu cara membendung gejala sosial yang semakin berleluasa .

Kalau dinaikkan kompaun trafik dengan tujuan untuk mendidik rakyat rasanya langkah itu kurang tepat. Ada cara lain boleh mendidik mereka, misalnya dengan menggantung lesen selama tiga, lima atau enam tahun bergantung kepada kekerapan kesalahan yang dilakukan bagi menginsafi mereka. Saya rasa cara ini leibih baik. Cumanya kerajaan mungkin hilang sebahagian dari revenue.

Tidak mengapa, kerana kerajaan ada banyak sumber . Kompaun yang rendah pun jika dilakukan dengan jumlah yang besar kerajaan akan mendapat jumlah kutipan yang banyak juga. Apa yang penting perasaan rakyat harus dijaga; jika tidak dibimbangi rakyat pula akan `menghukum' kerajaan apabila sampai waktunya- pilihan raya. Ini sepatutnya diberi perhatian dan dielakkan.

Oleh itu, sekiranya disemak semula diharapkan kerajaan tidak lagi menaikkan kadar kompaun sehingga berkali-kali ganda . Tidak tertanggung nanti oleh rakyat yang kurang mampu untuk membayarnya. Kesihan mereka !

2 ulasan:

M. FITRI RAHMAN berkata...

Langkah berkenaan sememangnya wajar.

Pandangan Orang Kampung berkata...

Terima kasih.