Sabtu, 10 April 2010

Hormati prinsip permuafakatan

Salleh Saad :

Apabila pucuk pimpinan BN membuat keputusan akan meletakkan calon dari MIC bagi mewakili BN dalam Pilihan Kecil Parlimen Hulu Selangor pada 25 April ini, maka keputusan itu dilihat sebagai menceminkan kesungguhan pucuk pimpinan BN menghargai prinsip permuafakatan dan kerajasama yang diwujudkan dalam BN.

Berikutan itu orang ramai ingin melihat bagaimana pula penyokong-penyokong parti komponen dan pemimpin mereka menterjemahkan pendirian pucuk pimpinan BN itu ke dalam tindakan mereka semasa kempen dan seterusnya pada hari membuang undi.

Prinsip permuafakatan sama seperti kontrak sosial , perlu dihormati sepanjang masa oleh semua parti komponen, bukan sahaja semasa pilihan raya tetapi hendaklah juga pada waktu lain. Tuntutan yang melangkaui batas kedua-duanya wajar dielakkan.

Berbalik kepada PRK , rasanya pembangkang sukar memenangi kerusi kawasan itu pada PRK kali ini. Ini berdasarkan kemenangan tipis yang diperolehi penyandangnya Allah yarham Datuk Dr. Zainol Abidin Ahmad pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 12, 2008 lalu.

Pada hemat saya kemenangan beliau itu lebih terujurus kepada faktor `ketokohan' dan `kemasyhurannya' ketika itu dan sebelumnya. Dengan memegang pelbagai jawatan penting semasa beliau di dalam BN, termasuk EXCO memungkinkan beliau mendapat sokongan majoriti pengundi. Sementelah keadaan pengaruh BN waktu itu merudum.

Sekarang suasana sudah berubah. Pengaruh BN semakin meningkat naik. Isu BN yang boleh mengguris hati rakyat ketika ini didapati agak kurang berbanding pembangkang. Sebaliknya beberapa pendekatan provokasi pembangkang khususnya mengenai isu-isu sensitif merimaskan hati orang ramai, terutama Melayu. Kebetulan pengundi Melayu di kawasan itu melebihi 50 peratus.

Nampaknya siapa sahaja yang diletakkan sebagai calon (BN) di kawasan itu saya percaya akan menang. Soal berapa majoriti bakal diperolehi, kecil atau besar tidak penting, tolak ke tepi dulu.

Soal kemungkinan orang UMNO tidak memberi sokongan kerana kecewa disebabkan hasrat mereka supaya pucuk pimpinan BN memilih `orang' UMNO menjadi calon tidak berhasil,saya percaya isu itu juga tidak akan berbangkit. Ini kerana situasi seumpama itu bukan baru dan bukan kali pertama berlaku tetapi sebelum ini pun sudah ada, namun apabila sampai hari mengundi BN menang juga. Oleh itu isu ini tidak perlu digusarkan.

Isu-isu lain, selain politik saya kira tidak begitu mempengaruhi sikap pengundi untuk menjadi negatif terhadap BN. Isu sosial seperti pendatang asing, buang bayi, dan isu keselamatan seperti dakwaan `pencerobohan' pihak luar ke dalam agensi keselamatan negara mungkin dijadikan isu-isu utama kempen pembangkang.

Namun, ruang kempen terbuka luas . Akan tetapi perlu berhati-hati , jangan keterlaluan membuat janji kerana itu bukan masanya. Pemikiran pengundi sudah berubah ke depan. Sekarang rakyat memerlukan sesuatu yang berasaskan fakta dan bukti. Menari mesti ikut rentak paluan gendang.

Tiada ulasan: