Selasa, 27 April 2010

Kekecohan DUN Kedah satu pengajaran

Salleh Saad:


Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah dilaporkan kecoh seketika kelmarin berikutan `kesilapan teknikal' dalam soalan yang dikemukakan oleh seorang ahlinya (ADUN) dari kawasan DUN Kubang Rotan (Pas), Mohd. Nasir Mustafa.

Seperti dipetik media soalan tersebut berbunyi:

*    Sejauh manakah bidang kuasa Sultan sebagai Ketua Agama Islam di negeri ini dihormati oleh Kerajaan Pusat ?

*    Setakat manakah tahap tidak boleh campur tangan Kerajaan Negeri Kedah dalam pentadbiran hal ehwal agama Islam ?

Ketua Pembangkang DUN Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid seperti dilapor media, mencadangkan supaya soalan itu dibatalkan kerana, katanya "tidak pernah berlaku dalam sejarah sidang DUN Kedah yang membahaskan tentang sejauh mana kuasa Sultan sebagai ketua agama Islam di negeri ini dan soalan tersebut seolah -olah mempertikaikan kuasa Sultan sebagai Ketua Agama Islam "

Di sini saya lihat ada dua petunjuk yang harus diberikan perhatian, pertama; niat dalam mengemukakan soalan, dan kedua, ketelitian terhadap pemilihan isu dan pengolahan soalan.

Niat asal dalam mengemukakan soalan tersebut saya fikir, mungkin bukan untuk `mepertikaikan' kuasa Sultan sebagai Ketua Agama Islam, tetapi sebaliknya ditujukan kepada pihak lain (Kerajaan Pusat ?).

Namun, cara menyusun `kata & ayat' terdedah kepada kelompongan yang boleh membawa atau dibawa kepada maksud lain atau boleh dimanipulasikan . Perkara ini barangkali tidak diteliti terlebih dahulu oleh pihak yang membuat soalan atau pihak yang `menerima' soalan.

Apapun insiden itu telah berlalu dan ia telah tersebar dengan meluas. Masyarakat telah mengetahuinya. Sungguhpun ia telah dibatalkan tetapi impaknya adalah besar kepada banyak pihak .

Oleh itu, ia wajar dijadikan pengajaran untuk masa-masa akan datang agar insiden seumpama itu tidak akan berlaku lagi. Maknanya isu-isu yang berkaitan dengan kuasa Sultan serta membawa kepada kontroversi perlu dielakkan sama sekali.

Orang politik , tak kira dari pihak mana sekali pun, harus faham bahawa politik itu adalah satu `mainan' . Jika kita tidak bijak bermain orang lain akan mainkan kita.

Dalam politik saya rasa elok kalau teori SWOT diberi perhatian iaitu Strength, Weakness, Opportunity, Threat . Manfaatkan di mana ruang sesuai. Tetapi awas ! Ia biarlah dengan cara yang menasabah dan tidak tersasar dari landasan agama.

.

Tiada ulasan: