Ahad, 18 April 2010

Kenapa pilih premis masjid sebagai tempat berdemonstrasi ?

Salleh Saad :

Masjid adalah rumah Allah. Allah sendiri tegaskan di dalam al-Quran yang bermaksud," Sesungguhnya orang-orang yang memakmurkan (memeriahkan) masjid ialah mereka yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, dan yang mendirikan solat dan yang mengeluarkan zakat dan yang tidak takut melainkan kepada Allah sahaja".

Premis masjid walaupun bukan masjid tetapi perlulah difahami sebagai sebahagian dari tempat yang wajar dihormati seperti masjid juga. Justeru segala perbuatan yang tidak menjurus kepada ibadah dan zikrullah hendaklah dielakkan sama sekali.

Demonstrasi bukanlah layak untuk ditakrifkan sebagai ibadah atau zikrullah. Apatah lagi jika di dalamnya terdapat perbuatan yang tidak senonoh seperti membaling batu atau lain-lain `benda' ke arah masjid. Perbuatan seperti itu tidak mencermin syiar Islam , sedangkan masjid juga tempat mempamerkan syiar (lambang kebesaran) Islam di samping tempat beribadah.

Kita amat sedih jika ada sebahagian umat Islam menjadikan masjid sebagai tempat melepaskan perasaan terhadap pihak-pihak tertentu. Demonstrasi adalah sebahagian cara melepaskan perasaan tidak puas hati terhadap sesuatu perkara atau pihak tertentu.

Kita yang `jahil' dalam agama ini sentiasa bertanya diri sendiri kenapa masjid dijadikan tempat untuk berdemonstrasi , sedangkan kita tahu di dalam demonstrasi yang disertai oleh ramai orang itu akan ada pebuatan yang tidak sesuai dengan konsep dan fungsi sebuah masjid ?

Kita juga bertanya diri sendiri siapakah yang ada di belakang pihak yang menjadikan masjid sebagai tempat melepaskan perasaan ? Lebih menghairankan lagi jika ditambah dengan tingkah laku dan tutur kata yang terpesong dari konsep ibadah dan zikrullah . 

Adakah memilih masjid kerana ia dianggap `kawasan selamat' dari tindakan pihak berkuasa ? Jika begitulah anggapannya maka anggapan begitu rasanya tidak betul. 

Oleh itu , janganlah jadikan premis masjid sebagai tempat berdemonstrasi sewenang-wenangnya. Marilah kita letakkan masjid pada tempat yang sewajarnya seperti yang diajarkan kepada kita oleh Allah dan Rasul-Nya. Piliharalah masjid dan premisnya dari diambil kesempatan oleh orang tertentu untuk mencemarinya.

Tiada ulasan: